#Drapebydidi signatur lilitan Didiyana

#Drapebydidi signatur lilitan Didiyana

PARA-PARA nuansa putih yang tersusun kemas kotak tudung pelbagai jenama, sepatu dan pelengkap gaya di dalam sebuah kamar merupakan signatur utama penata gaya hijab, Didiyana Ehsan.

Ia merupakan sudut wajib buat Didiyana atau mesra disapa Didi ‘berinteraksi’ bersama 113,000 pengikutnya menerusi laman sosial, Instagram pada setiap minggu.

“Berlatarkan rak kayu putih ini dan ditemani sehelai hijab, saya akan merakamkan tutorial tudung sebelum disiarkan untuk tontonan umum khususnya buat wanita berhijab.

“Video berdurasi selama 58 saat itu akan memaparkan teknik menggayakan tudung step-by-step yang stailo, trendy dan mudah digayakan dalam apa jua acara dan busana,” tuturnya ketika ditemui WOW Femina di kediamannya di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Bicara wanita berusia 30 tahun itu, beliau tidak menyangka pengalaman menemani bekas majikannya, Jezmine Zaidan, 35, menata gaya seorang klien bertudung sekitar sembilan tahun lalu membuka lembaran baharu buatnya.

Masakan tidak, daripada seorang pereka fesyen, anak kelahiran Ipoh, Perak tersebut memilih untuk beralih pada kerjaya penata gaya hijab sepenuh masa secara profesional.

“Kekal segar dalam ingatan pada ketika itu tatkala Jezmine meminta saya menggayakan tudung yang dipakai klien. Saya kaget sekejap kerana tiada pengalaman apatah lagi kemahiran untuk melilit hijab.

“Maklumlah, sebelum ini pun kehidupan saya hanya dikelilingi mannequin (patung fesyen), fabrik, jarum, mesin jahit dan kertas lakaran. Bagaimanapun, enggan menyerah kalah saya menyahut cabaran Jezmine dan teruja apabila klien berpuas hati dengan stail tudung yang dihasilkan.

“Lebih menyeronokkan selepas episod itu, hari demi hari saya bukan sahaja menerima tawaran tugasan melilit tudung pihak persendirian, malah model untuk sesi fotografi majalah, kempen iklan dan kini berpeluang menata gaya hijab selebriti serta personaliti tanah air,” jelasnya yang pernah bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza, Neelofa, Datin Vivy Yusof, Datin Norjuma, Ella, Ziana Zain dan Rozita Che Wan.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, beliau bersyukur apabila kerjaya tersebut semakin mendapat perhatian dan mendapat permintaan tinggi.

Ujarnya, dia lebih cenderung menerapkan konsep lilitan kemas ala draped selari dengan signatur hashtag peribadinya #drapedbydidi.

“Draped antara teknik yang ideal dipadankan untuk variasi busana kerana lilitannya kemas dan membantu mengelakkan wanita kelihatan ‘berat’.

“Bayangkan, pakaian dan lilitan hijab yang diaplikasi terlalu sarat, ia akan menjejaskan penampilan dan menyukarkan kita fokus pada bahagian mana,” katanya yang memasang impian menggayakan tudung Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan penyanyi, Yuna.

Tip gaya hijab drapedbydidi

Sifon merupakan material yang bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap di negara ini.

-Wanita yang ingin menghadiri majlis formal dinasihatkan menggayakan tudung berasaskan satin untuk tampak glamor.

-Bagi ke pejabat pula elak tudung berwarna terang, perincian dan kain yang berkilat kerana kurang bersesuaian dengan imej korporat.

-Bermacam-macam lilitan tudung dapat dipelajari menerusi tutorial dalam Instagram, Facebook dan YouTube.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *