Cherita Empat kombinasi klasik moden, imej pahlawan Melayu

Cherita Empat kombinasi klasik moden, imej pahlawan Melayu

BAGAIKAN mengimbau nostalgia dahulukala, imej ikon pahlawan Melayu lengkap persalinan baju silat dan bertanjak terletak kemas pada bahagian hadapan baju-T itu memberikan definisi baharu fesyen tempatan.

Menariknya, sisi kemelayuan pada item fesyen moden itu tidak terhad di situ sahaja. Logo tulisan berangkai Cherita Empat turut dieja persis Melayu klasik menonjolkan lagi keunikan rekaan Gondola31 tersebut.

Setiap elemen dan motif yang diketengahkan bukannya sekadar hiasan semata-mata. Hakikatnya, ia memiliki takrif tersendiri termasuk pemakaian tanjak membawa simbol kekuatan kepahlawanan Melayu asli yang tidak ditelan dek zaman.

Lakaran ikon pahlawan yang menunduk dan tersenyum itu menjadi simbolik pada sifat kesopanan para jejaka. Sinonim dengan fesyen lelaki, koleksi edisi terhad berkenaan hanya memiliki rona ungu gelap dan putih.

Bagi mengelakkan rekaan tampak polos, corak bunga raya menghiasi bahagian kolar, pergelangan dan lengan baju selain cetakan songket konsep samar pula diterapkan pada keseluruhan baju-T terbabit.

Menyentuh dari segi material, baju-T Cherita Empat diperbuat daripada fabrik jersi demi keselesaan si pemakai lebih-lebih lagi sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap.

Untuk kelihatan lebih swag, baju-T itu boleh dipadankan dengan aksesori jaket bomber atau jaket kulit dan cermin mata hitam ketika keluar bersantai.

ANEKDOT

KOLEKSI Cherita Empat

Saiz: XS hingga XXL

Harga: RM50

Instagram: @gondola.31

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *