Cakra Khan Bakal Memukau Panggung di Zepp Kuala Lumpur dalam Dream Festival Collaboration Vol. 4 pada 17 September 2023

Cakra Khan Bakal Memukau Panggung di Zepp Kuala Lumpur dalam Dream Festival Collaboration Vol. 4 pada 17 September 2023

Cakra Khan tidak asing lagi namanya di Malaysia kerana banyak lagunya yang terkenal seperti ‘Harus Terpisah’, ‘Kekasih bayangan’ dan banyak lagi dikagumi oleh rakyat Malaysia. Kemunculan beliau di sesi uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 menarik perhatian peminat-peminat di serata dunia.

Pada episod uji bakat yang disiarkan pada 18 Julai lalu, Cakra Khan, yang berusia 31 tahun, telah mengagumkan juri dalam program realiti yang terkenal dengan persembahannya. Beliau membawakan lagu “Make It Rain” yang dipopularkan oleh Ed Sheeran dan “No Woman, No Cry” yang asalnya dinyanyikan oleh Bob Marley.

Kemantapan vokalnya yang unik dan mempunyai karakter tersendiri ketika membawakan kedua-dua lagu ini telah menjadikan penyanyi yang berasal dari Pangandaran, Jawa Barat, berjaya mendapatkan empat “Yes” daripada juri yang hadir.

Keunikan suara Cakra juga mendapat pujian yang meluas, dengan juri ternama seperti Simon Cowell yang mengakui kagum terhadap bakat luar biasanya. Komen pujian ini bukan sahaja mengakui kehebatan Cakra, tetapi juga membukakan pintu bagi langkahnya ke peringkat persaingan seterusnya. “Pencapaian besar itu, tidak mungkin dicapai tanpa sokongan semua, terutama sekali peminat yang sentiasa mempercayai kemampuan saya”, kata Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman.

Meskipun ruang untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa semakin luas terbuka, Cakra tidak sesekali melupakan peminat di rantau Nusantara yang sentiasa menjadi tulang belakang kekuatannya.

Menghargai sokongan yang diberikan, Cakra mengotakan janji dengan kembali ke Kuala Lumpur bagi menyempurnakan konsert, Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dalam memenuhi rangka Dream Festival Collaboration Vol. 4.

Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023, penyanyi yang memiliki karisma tersendiri itu akan memukau para penggemar dengan penampilan spektakular membawakan himpunan lagu popularnya.

Konsert itu juga bakal membawa peminat menelusuri perjalanan kerjaya nyanyian Cakra selama lebih sedekad, bermula dengan single perdana, Harus Terpisah yang pantas melonjakkan popularitinya di Indonesia dan Malaysia sejak 2012. Pengarah Projek Dream Festival, Rama Ananda Ambri atau mesra disapa dengan Anda berkata, acara itu menjanjikan hiburan luar biasa menerusi persembahan istimewa Cakra bersama penyanyi undangan khas dari Malaysia.

“Kemunculan Cakra bersama penyanyi undangan misteri itu bakal menghangatkan lagi siri Dream Festival Collaboration Vol. 4, sekali gus membawa penonton merentasi magis perjalanan hiburan yang tidak terlupakan.

“Sebagai penyanyi, Cakra dilihat sebagai sosok yang sangat berbakat dan memiliki karisma tersendiri setiap kali beraksi di pentas. Dikenali dengan kehebatan vokal dan aksinya yang penuh energetik, kami yakin kemunculan terbaharu Cakra pasti memberikan kepuasan jitu kepada penggemarnya,” katanya. Tambahnya lagi, profil seni Cakra yang pernah meraih pelbagai penghargaan, selain mengukir nama sebagai antara artis terbaik dalam industri hiburan Nusantara memberi nilai tambah pada acara yang dibawakan Inspire IDN dengan kerjasama Laskar Entertainment itu.

“Bersama artis undangan yang masih dirahsiakan, kami yakin elemen kejutan itu bakal menambah daya tarikan acara, sekali gus memacu antusiasme penggemar muzik untuk memeriahkan konsert tersebut.

“Dream Festival Collaboration Vol. 4 dirancang dengan begitu teliti untuk memastikan semua yang hadir terhibur. Kami komited untuk memberikan pengalaman konsert yang tidak terlupakan kepada semua penonton.

“Acara ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa sokongan penaja rasmi seperti Sari Ratu Prima, Hotbox dan Chatime. Sokongan mereka memberikan sumbangan besar dalam memastikan acara ini sukses,” katanya.

Tiket menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur dijual pada harga RM178 (Kepada Hati), RM198 (Terlanjur Cinta), RM318 (Kekasih Bayangan), RM508 (Tanpa Batas Waktu) dan RM5,880 (Royal Box untuk lapan penonton) boleh diperoleh dengan melayari: www.ticket2u.com bermula 15 Julai 2023.