Bank Islam mahu lahirkan ramai jutawan

Bank Islam mahu lahirkan ramai jutawan

BANK Islam menyasarkan akaun pelaburan inovatif berisiko rendah dan berdasarkan konsep Mudarabah iaitu perkongsian untung Al-Awfar mencapai saiz dana sebanyak RM732 juta pada tahun 2020.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkeyakinan sasaran itu dicapai kerana Al-Awfar telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan sehingga merekodkan saiz dana berjumlah RM2.93 bilion menerusi 868,710 akaun setakat Januari 2020.

Menurutnya, sasaran itu juga dipacu oleh usaha Bank Islam yang mengadakan promosi berterusan untuk memastikan tawaran produk mereka terus menepati keperluan pelanggan.

“Bank Islam berhasrat untuk memperkenalkan beberapa lagi kempen menarik dalam produk Al-Awfar antaranya ialah Kempen Gen Z dan Kempen Elit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kempen Al-Awfar yang diadakan di Menara Bank Islam, Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Perniagaan, Mizan Masram dan Ketua, Deposit dan Pengurusan Tunai, Mohd Noor Jab.

Mohd Muazzam (lima dari kiri) bersama pemenang Cabutan Khas.

Mohd Muazzam (lima dari kiri) bersama pemenang Cabutan Khas.

Mohd Muazzam berkata, Al-Awfar antara produk signatur Bank Islam sejak ia diperkenalkan pada tahun 2009.

“Al-Awfar merupakan sebuah akaun pelaburan inovatif berisiko rendah dan berdasarkan konsep Mudarabah iaitu perkongsian untung.

“Dana dikutip dilaburkan dalam portfolio Pembiayaan Perumahan dan Aset Tetap sedia ada bagi memastikan pelaburan yang kukuh,” katanya.

Katanya, pelaburan tersebut terbuka kepada individu, entiti perniagaan, persatuan, badan agama, sekolah, universiti, kelab dan pertubuhan.

“Peningkatan pelaburan yang memberangsangkan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap produk Al-Awfar.

“Justeru, kami sentiasa berinovasi dan berusaha untuk memastikan Al-Awfar kekal relevan di pasaran,” katanya.

Tawar ganjaran menarik.

Dalam menggalakkan pelaburan dan penglibatan lebih ramai pelanggan, Al-Awfar memberi peluang kepada lebih 10,000 pemenang dengan 31 pemenang dari setiap negeri pada setiap bulan.

“Kami juga menyediakan hadiah suku tahunan dan dua undian istimewa sebagai satu usaha mengukuhkan lagi penzahiran penghargaan kami kepada pelanggan.

“Kami berterima kasih di atas sokongan dan keyakinan pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam sedang merancang untuk memperkenalkan Kempen Gen Z yang menyasarkan pelanggan berusia antara 18 hingga 28 tahun atau lebih dikenali sebagai Gen Z dan Milenial.

“Kempen ini menawarkan imbuhan berupa wang tunai atau gajet secara mingguan atau dua minggu sekali.

“Ia bertujuan untuk memberi cabaran kepada kelompok pelanggan ini untuk menyertai dan menambah jumlah pelaburan dalam akaun Al-Awfar masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Bank Islam juga sedang berusaha dengan KiplePay iaitu rakan strategik bank berkenaan bagi program KipleUNI yang dilancarkan baru-baru ini untuk menambah baik hadiah dan menjadikan kempennya lebih menarik.

“Bank Islam juga memperkenalkan Kempen Elit yang membolehkan pelanggan melabur dana baharu ke dalam akaun Al-Awfar layak mendapat gandaan peluang untuk cabutan Al-Awfar.

“Terdapat tiga kategori unit kelayakan Al-Awfar mengikut jumlah dana baharu yang dilaburkan iaitu RM10,000 untuk lima kali kelayakan unit, kedua berjumlah RM50,000 untuk tujuh kali kelayakan unit dan ketiga pula berjumlah RM100,000 dan ke atas iaitu 10 kali kelayakan unit,” katanya.

Tambahnya, kempen-kempen baharu itu juga bertujuan untuk meningkatkan lagi akses pelaburan kepada segmen pelanggan baharu dan lebih khusus.

Beliau berkata, ia juga bertujuan menggalakkan serta meningkatkan kesedaran umum terhadap kelebihan pelaburan untuk masa depan, sekali gus memperkukuhkan lagi jenama Al-Awfar Bank Islam.

“Dengan adanya kempen-kempen ini, lebih ramai pihak akan berpeluang untuk meraih pelbagai ganjaran menarik yang kami sediakan bagi setiap pelaburan mereka melalui perluasan kempen ini,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam meraikan tujuh pemenang bagi cabutan Al-Awfar Disember 2019 yang terdiri daripada kategori Cabutan 1 Juta dan Cabutan Khas dengan keseluruhan hadiah bernilai RM2.85 juta.

“Al-Awfar memberi peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah wang tunai dan ganjaran bernilai lebih RM14 juta setahun.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2009 Bank Islam telah melahirkan seramai 26 Jutawan Al-Awfar,” katanya.

Sementara itu, dua pelanggan diumumkan sebagai Jutawan Al-Awfar baharu iaitu Mohamad Rafezi Jamaluddin dan Jamaliah Abdullah.

Kedua-dua individu berasal dari Kuantan dan Jerantut, Pahang itu masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1 juta.

Turut diraikan pada majlis sama, pemenang kategori Cabutan Khas iaitu Azrenda Mohd Ismail dari Muar, Johor memenangi hadiah utama berupa sebuah kereta Mercedes C200 Avantgarde manakala empat buah kereta Honda Civic 1.5TC-P dibawa pulang oleh Zainal Abas (Negeri Sembilan); Nor Aine Ibrahim (Kedah); Nur Syahirah Zainal Abidin dan Abdul Rahman Omar (Selangor).



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *