Bangkit jadi wanita hebat 2020

Bangkit jadi wanita hebat 2020

Bersama: Pakar Perhubungan dan Keintiman, Diyana Tahir

SEMESTINYA pada setiap kali tahun baharu, kaum Hawa memasang matlamat untuk tenang dalam menjalani kehidupan. Paling signifikan pastilah melibatkan soal perhubungan bersama yang tersayang.

Benar, semua wanita seantero dunia pada dasarnya, menginginkan teman yang baik, setia dan memiliki ‘selera’ humor yang bagus.

Namun, tidak selalu sesuatu hubungan berada dalam kondisi rukun, aman dan tenteram. Ada pasang surutnya.

Sesekali meletus pertengkaran yang sulit untuk dikawal disebabkan beragam alasan. Tatkala berlaku kemelut itu, siapa yang selalu dipersalahkan?

Ya, kaum wanita yang kerap dituduh sebagai punca. Ketika emosi stabil, kaum Hawa masih boleh bersabar dan mampu tersenyum lebar walaupun senyuman itu palsu. Jika sebaliknya, perilaku mereka ibarat gunung berapi sedang meledak.

Ketepikan seketika segala tohmahan dan kesakitan yang pernah dirasai, semua wanita sepatutnya bangkit dan kuat berdepan dengan apa jua konflik.

Pada tahun 2020 ini, apa kata kaum Hawa membangunkan aura lebih positif dan melemparkan jauh-jauh fikiran negatif yang membenakkan fikiran.

Sempena Perspektif Wanita pada minggu ini, saya berkongsi tiga tip terbaik yang berupaya membantu kejayaan wanita dalam perhubungan.

DIYANA

DIYANA

1 Belajar menghargai diri

Penyayang, sentiasa mengambil berat dan berusaha membahagiakan orang lain sehingga kadangkala terlupa memberi perhatian kepada diri sendiri merupakan antara sifat semula jadi seorang wanita.

Bagi mereka, kebahagiaan adalah saat melihat insan tersayang tersenyum bahagia. Apabila wujud suasana itu, segala penat lelah dan pengorbanan dirasakan sangat berbaloi.

Persoalannya, adakah berkorban untuk membahagiakan orang lain memadai membuatkan wanita akan berasa lebih ceria dan gembira?

Jawapannya, tidak. Kenapa? Ini kerana dengan menghargai dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu adalah kunci sebenar kebahagiaan peribadi dan keluarga.

Kasih sayang yang disuntik untuk diri sendiri dari segi aspek penjagaan kesihatan rohani dan jasmani, pemakanan dan amalan gaya hidup sihat sebenarnya akan membantu membentuk emosi dan pemikiran yang lebih positif.

Jika kaum wanita ingin melakukan transisi dan mencapai keberuntungan, langkah pertama yang wajar dilakukan adalah dengan mencipta rutin harian yang memfokuskan kepada konsep menyayangi diri sendiri.

Usah menunggu orang lain melayani atau menyayangi, sebaliknya berusaha melakukan perkara yang disenangi seperti melakukan rawatan di spa, menikmati makanan lazat dan menyarungkan busana elegan.

Percayalah, sekiranya rutin mencipta kedamaian dalam diri sendiri mampu dilaksanakan dengan baik, bukan sahaja hati semakin tenang, bahkan kebahagiaan yang terpancar pada diri memercikkan rasa cinta dan sayang yang lebih mendalam baik kepada kekasih, suami mahupun ahli keluarga.

2 Ikhlas memaafkan orang lain

Kehidupan merupakan proses pembelajaran yang menjadikan manusia lebih baik, matang dan dewasa. Justeru, jadikan setiap pengalaman yang dilalui sama ada baik ataupun buruk sebagai pengajaran bermakna.

Berhenti menghukum diri sendiri dan orang lain atas sebarang kesilapan yang sudah berlaku.

Seperkara, peri penting untuk memaafkan orang lain. Ketahuilah, setiap individu layak mendapat kemaafan daripada kita.

Dengan bersikap demikian, kita sebenarnya telah membuka peluang kepada diri sendiri untuk bebas daripada perasaan dendam yang memudaratkan.

Selain itu, belajarlah untuk menerima bantuan daripada pihak lain demi ketenangan hati.

Tidak bermakna pertolongan yang diterima itu menunjukkan wanita lemah, sebaliknya ia menunjukkan bahawa kehidupan yang fana ini saling melengkapi antara satu sama lain.

Kaum Hawa juga tidak seharusnya menjadi terlalu ‘maskulin’ untuk mengawal setiap perkara sehingga terlupa membangkitkan nilai-nilai feminin dalam diri.

3 Jangan mengharapkan balasan

Selepas berjaya menghargai dan melayani diri dengan penuh kasih sayang, jangan pula kedekut untuk melimpahkan rasa kasih tersebut kepada orang lain.

Secara psikologi, kebahagiaan sebenar juga diukur apabila seseorang berjaya memberi dan melihat orang lain bahagia tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Ia berikutan konflik lazimnya berlaku disebabkan diri sentiasa meminta-minta kasih sayang dan penghargaan daripada orang lain atau pasangan.

Impaknya pada kemudian hari tanpa disedari baik kita mahupun pasangan, kasih sayang yang disemai selama ini mengalami kadar defisit. Disebabkan faktor itu, wanita akan berasa kecewa terhadap diri sendiri dan pasangan masing-masing.

Justeru, mulai hari ini ayuh ubah corak pendirian demi kebahagiaan bersama. Salurkan kasih sayang tanpa menetapkan sebarang syarat dan balasan.

Keikhlasan melimpahkan kasih sayang akan mendidik dan mempengaruhi insan sekeliling untuk merasai perasaan yang sama.

Yakinlah, perasaan cinta dan kasih akan hadir dalam pelbagai cara yang hebat dan mungkin tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Selamat kembali bercinta untuk wanita-wanita hebat di Malaysia!



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *