Baju anak patung ciptaan pertama Rico Rinaldi

Baju anak patung ciptaan pertama Rico Rinaldi

KISAH hidupnya telah membawa lelaki ini melayari satu kerjaya yang memuntahkan segala idea dan gagasan kreatif terhadap rona fesyen negara

“Bayangkan pada satu ketika dulu, keluarga saya masih terikat dengan pandangan bahawa kerjaya pereka fesyen ini hanya untuk wanita. Namun, melihat kesungguhan saya, ibu saya merelakan. Alhamdulillah, restunya masih didambakan.”- Rico Rinaldi

NAMA Rico Rinaldi menjadi siulan ramai awal Januari lalu. Ini semua kerana penangan busana pengantin aktres, Elfira Loy.

Media memburunya untuk mendapatkan perincian lanjut mengenai rekaan luar biasa itu. Rico berbicara ringkas dengan memberitahu, beliau mengambil masa lima hari menyiapkan persalinan itu.

“Saya terjemahkan kain songket Palembang dalam konsep tradisional kontemporari dan mengangkat elemen Jawa. Songket itu dijadikan aksesori luaran sebagai samping dan selendang,” tuturnya.

Hasilnya, cukup wow! Agak lama jugalah kisah busana Elfira dan nama Rico menjadi perbualan hangat di alam maya. Siapa sebenarnya sosok lelaki bernama Rico sebelum menempah nama di persada fesyen tempatan?

Pertemuan Oh! Lelaki dengannya bermula tanpa kesulitan. Dengan satu panggilan, empunya diri terus bersetuju diwawancara. Pada saat kaki melangkah ke butiknya di Bandar Baru Bangi, Selangor, jujur penulis katakan, aura premisnya menjadi refleksi kepada lelaki penuh imaginatif ini.

Sesungguhnya, mukadimah bicara bermula dengan lingonya tersendiri. Ujarnya, yang ada di depan mata, direntas dengan beraneka perasaan. Ada gembira. Ada sadis.

Mengimbas siapa dirinya sebelum memiliki jenama sendiri, beliau nampak sentimental. Rico atau nama sebenarnya Rico Rinaldi Tono berkata, bakat anugerah Ilahi itu diperoleh dengan cara yang unik.

“Ibu saya bukan seorang tukang jahit. Namun, ibu ada membeli sebuah mesin jahit. Disebabkan sibuk dengan perniagaan menjual sayur, mesin itu tersadai di dalam bilik.

“Saya pula, ketika masih budak, suka bermain dengan mesin jahit itu dan akhirnya timbul minat untuk menjahit,” imbasnya dengan senyuman meleret.

Tahukah jahitan pertama dihasilkan Rico? Ia berupa sehelai baju anak patung dan kotak pensil kain!

Bermula dari saat itu, beliau telah menjadi orang penting yang akan menjahit jika ada kain atau baju keluarganya yang koyak. Memori itu nampaknya masih menerawang di benaknya sehingga kini. “Sungguh indah!,” getusnya.

Langkah permulaan

Rico berkata, beliau menilai dirinya. Ya, bidang jahitan dan rekaan begitu sinonim dengan diri. Justeru, dirinya mengikuti program Diploma Fesyen dan Rekaan di Universiti Lim Kok Wing pada tahun 2006. Matlamatnya mahu bergelar pereka fesyen berjaya bila sudah tiba waktunya.

Langkahnya diperluaskan selain menuntut ilmu di menara gading. Jadi, beliau segera bertindak.

“Saya ambil keputusan untuk menyertai pertandingan fesyen. Saya cabar diri untuk melakukannya. Saya ingat lagi, pertama kali, saya sertai pertandingan fesyen Yayasan Budi Penyayang tahun 2006 yang memberi fokus kepada rekaan batik ketika saya berada pada semester kedua,” ujarnya.

Rico tidak menoleh ke belakang apabila terus mengambil bahagian pada pertandingan Piala Seri Endon (2009), Anugerah Pesona Tenun hingga membawanya terbang ke London untuk Fashion Week (2010).

“Syukur ke hadrat ALLAH kerana saya menang setiap kali bertanding. Ia umpama langkah kanan. Dari situlah, nama saya dikenali dan mula meniti di bibir media dan pereka fesyen lain,” kongsinya.

Kerjasama kreatif

Pejam celik, sudah 11 tahun figura ini menghiasi rona fesyen tanah air.

Bermula dengan dengan mengambil tempahan baju, Rico meluaskan empayarnya dengan menjahit baju perkahwinan, busana untuk wanita, pakaian ready to wear dan pakaian sempena hari raya yang dikenali sebagai Summeraya yang sudah memasuki tahun ke-8.

Kepada peminat fesyen, signatur Rico pasti mudah dicam. Katanya, beliau berkecenderungan dengan motif flora dan fauna serta manik.

Lihat sahaja kolaborasi Rico XX Starbucks untuk koleksi mug dan tumbler. Rangkaian kopi terbesar di dunia itu sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan pereka fesyen antarabangsa seperti Anna Sui, Vivienne Tam dan Paul & Joe. Boleh anda rumuskan sendiri di mana kedudukan Rico kini? Memang hebat bukan? Sesungguhnya, ini penghormatan terbesar untuk lelaki ini.

Kolaborasi

Wah! ketika dikunjungi, Rico teruja berkongsi tentang rekaan paling baharu dalam Summeraya.

Bagi menyuntik kelainan, beliau telah membuat usaha sama dengan pereka fesyen dari Jepun, Tomita Seng Kogei.

Dalam masa terdekat ini, Rico mendedahkan, beliau akan bergabung tenaga dengan seorang lagi pereka dari negara Matahari Terbit itu dikenali sebagai Takasima. Mahu tahu lebih lanjut, semuanya akan dihebahkan pada Februari depan. Tunggu!

“Bagi saya, kerjasama ini penting untuk seorang pereka fesyen untuk meluaskan jenama bukan setakat di Malaysia tetapi juga di negara luar.

“Bersama dengan Tomita, saya dapat ambil inspirasi kimononya untuk diubahsuai menjadi baju kurung, kurung Kedah dan kebaya dengan motif bunga kecil sakura.

“Apabila mengeluarkan sesuatu rekaan, sudah tentu kita mengharapkan ia akan laris di pasaran. Tetapi yang penting sekali, orang tahu Rico Rinaldi masih ada dalam industri fesyen ini. Atas alasan itulah, setiap tahun saya akan pastikan keluarkan tiga koleksi setiap tahun iaitu busana perempuan, pakaian ready to wear dan Summeraya. Setiap koleksi akan ada 20 jenis baju,” katanya yang turut mempunyai pelanggan setia dari Indonesia, Brunei dan mempunyai vendor di Tehran dan Jepun.

Jangka Panjang

“Saya mahu terus bertahan dan relevan dalam industri fesyen. Saya juga mahu menjadi inspirasi kepada pereka lain,” itu kata yang terpacul daripada mulutnya sebaik ditujukan soalan mengenai perancangan masa depannya.

Rico memberitahu Oh! Lelaki, beliau mahu menembusi pasaran Thailand. Sememangnya dirinya layak. Lihat sahaja profil kerjayanya yang gilang-gemilang!

“Di sini, saya juga mahu terus buktikan kepada orang tua bahawa restu mereka selama ini tidak akan disia-siakan.

“Bayangkan pada satu ketika dulu, mereka masih terikat dengan pandangan bahawa kerjaya pereka fesyen ini hanya wanita. Namun, melihat kesungguhan saya, ibu saya merelakan. Alhamdulillah, restunya masih didambakan,” tuturnya yang sedaya upaya menambat gelombang rasa terharu terhadap syurganya seorang wanita bernama Jasiah Jakpar, ketika ditemu bual.

Kejayaan yang dititinya kini, bukan untuk dirinya seorang, kata figura yang sangat merendah diri itu.

Dengan nada ikhlas, Rico berkata, beliau dengan tangan terbuka mahu berkongsi ilmunya tentang fesyen dengan pelajar lain. Beliau sedia dijemput oleh mana-mana kampus yang sudi mendapatkan khidmatnya.

“Ramai tidak sedar dengan mengikuti jurusan fesyen dan rekaan ini tidak semestinya menjadi pereka, banyak lagi kerjaya lain yang bersesuaian. Antaranya boleh menjadi wartawan fesyen, tukang potong yang baik, penggaya fesyen, pereka visual. Dan ya, ia sesuai dengan semua orang termasuk lelaki!,” katanya mengakhiri perbualan.

Nama: Rico Rinaldi Tono

Jenama: Rico Rinaldi

Umur : 32

Asal: Kajang

Adik-Beradik : Anak ketiga daripada empat beradik

ibu: Jasiah Jakpar

Status: Bujang

Hobi: Melancong

Idola: Bernard Chandran dan Karl Lagerfeld (Chanel)

Falsafah hidup: Tiada jalan pintas dalam kehidupan

Rekaan busana selebriti: Elfira Loy, Neelofa, Hanis Zalikha, Atilia Haron, Stacy dan Datuk Khatijah Ibrahim.

Kata Rico: “Dahulu saya boleh katakan orang mengenali jenama saya bukan kerana saya banyak menggunakan artis. Namun, kini saya sedar, artis memainkan peranan besar dalam pemasaran jenama. Dengan bantuan sosial media, artis ada pengikutnya, ia membantu menaikkan jenama Rico Rinaldi. Terima kasih semua.”

Pencapaian terbaik:

1. Anugerah Pertama Antarabangsa Gaun Pengantin Terbaik oleh ELLE SPOSE Paris – 2017

2. Pereka Klasik Terbaik Anugerah Gaya ELLE – 2016

3. Pemenang Anugerah Pereka Muda Terbaik – 2011



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *