Al-Quran penyembuh penyakit hati dan tekanan

Al-Quran penyembuh penyakit hati dan tekanan

SHAH ALAM – Kitab suci al-Quran adalah mukjizat luar biasa sehingga ia menjadi penyembuh penyakit hati dan tekanan yang dihidapi masyarakat.

Pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali Dai Fuad Mokhtar berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, satu daripada tiga rakyat di negara ini mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan.

“Dan ubatnya adalah al-Quran kerana di dalamnya terkandung kepakaran untuk menyelesaikan masalah yang melibatkan kerohanian selain penyembuh kepada penyakit seperti kanser.

“Al-Quran itu bukan sahaja mengubati masalah hati tetapi ia juga benteng dan penyelesaian kepada masalah di dunia dan di akhirat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, al-Quran perlu dibaca dengan penuh kekhusyukan seolah-olah ia memahami apa yang diminta.

“Sebagai contoh, orang yang gelisah, serabut fikiran dan perasaannya maka bacalah surah Yasin kerana itu adalah ubat kepadanya.

“Individu yang mahu menjaga kediamannya atau memasuki rumah baharu pula perdengarkanlah bacaan surah al-Baqarah nescaya ia akan menjadi benteng daripda gangguan makhluk halus dan manusia berniat jahat,” katanya.

Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW juga bersabda yang bermaksud bahawa “rumah yang tidak dibacakan al-Quran maka ia sama seperti kuburan.” Kitab Riyadussolihin

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini al-Quran masih menjadi sumber rujukan dan kajian kepada agama lain.

“Orang bukan Islam dan agama lain turut mengkaji al-Quran. “Kitab ALLAH sangat dimuliakan oleh-Nya dan apabila orang bukan Islam mengkaji, mereka melihat penggunaan bahasa yang sangat tinggi dan mereka berasakan bahawa ini bukan tulisan manusia tetapi orang yang sangat hebat iaitu Rabbulizzati,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *