Akibat tukar agama tanpa pengetahuan waris

Akibat tukar agama tanpa pengetahuan waris

  • July 5, 2019
  • 0 comments

KUMAR (bukan nama sebenar), 40, memeluk agama Islam di sebuah pejabat agama di sekitar Lembah Klang pada tahun 1998.

Nama Islamnya ialah Khalid Abdullah. Namun, pengislamannya tidak dikhabarkan kepada isteri dan ahli keluarganya yang lain.

Bagaimanapun, beliau mendaftarkan di bawah majlis agama Islam negeri berkenaan selaras dengan akta berkaitan permohonan masuk agama Islam.

Sudah tertulis di luh mahfuz, hayat Kumar tidak panjang. Kumar meninggal dunia pada tahun 2005 di sebuah hospital tanpa sempat beliau memaklumkan kepada keluarganya.

Dari situ, tercetus konflik kerana berita arwah menukar agama tidak diketahui keluarganya. Ia benar-benar memeranjatkan isteri Kumar, Letchumi (bukan nama sebenar).

Sukar untuk Letchumi menerima perkhabaran itu. Mereka mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut agama Hindu yang menjadi anutan mereka selama ini.

Letchumi mendakwa, beliau tidak tahu langsung tentang pengislaman suaminya. Menurut wanita itu, sejak berkahwin dengan Kumar pada tahun 1995 di sebuah kuil di Lembah Klang, boleh dikatakan suaminya mengamalkan adat-adat agama Hindu pada setiap masa.

Kumar juga pernah terlibat dengan kemalangan sekitar tahun 1997. Akibatnya, beliau lumpuh.

Sejak itu, lelaki itu terpaksa menggunakan kerusi roda. Beliau juga kerap sakit dan daya ingatannya sentiasa hilang.

Sementara itu, daripada pihak majlis agama Islam pula, mereka mempunyai hujahnya tersendiri dan bukti yang menunjukkan Kumar memang beragama Islam. Mereka turut menuntut jenazah lelaki itu untuk dikebumikan mengikut agama Islam.

Oleh sebab kedua-dua pihak itu enggan mengalah berebut jenazah Kumar, maka pihak hospital mengambil keputusan tidak akan menyerahkan jenazah si mati kepada mana-mana pihak sehingga mendapat perintah daripada pihak berkuasa.

Ia untuk mengenal pasti status agama Kumar. Kes itu dibicarakan di mahkamah syariah.

Akhirnya, pihak mahkamah memutuskan bahawa jenazah lelaki itu dikebumikan mengikut syariat Islam. Dalam penghakimannya, hakim membuat tiga keputusan iaitu Kumar beragama Islam, jenazahnya perlu dikebumikan mengikut syariat Islam dan mana-mana pihak yang menjaga mayatnya hendaklah membantu melaksanakan menurut syariat.

Akhirnya, jenazah Kumar selamat dikebumikan mengikut agama Islam.

Selesaikan proses dokumentasi, maklumkan waris semasa hidup

Sementara itu, peguam syarie, Raihan Mustafa Kamal menasihatkan mereka yang memeluk agama Islam agar melakukan proses pendaftaran dan dokumentasi berkaitan serta maklumkanlah kepada waris mengenainya semasa hidup.

Beliau berkata, ia bagi mengelak kesan-kesan yang lebih mudarat dan besar apabila berlaku kematian seperti mana kes Kumar.

“Ia bukan sahaja melibatkan soal pengebumian, tetapi juga bab harta pusaka atau status agama anak seandainya saudara baharu itu bercerai dengan suami atau isterinya,” katanya yang pernah membantu mengendalikan kes-kes sebegitu bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Mengulas tentang kes Kumar, Raihan berkata, sekiranya tiada apa-apa dokumentasi berkaitan pengislaman didaftarkan dan dibuat di pejabat agama, kebarangkalian besar jenazah Kumar akan dikebumikan menurut adat agama Hindu kerana tiada apa-apa maklumat daripada pihak Majlis Agama Islam Negeri mengenai pengislamannya.

Bagaimanapun, jika maklumat pengislaman didaftarkan di pejabat agama dan dikemaskini di dalam MyKad, Raihan berkata, pihak majlis agama Islam ialah badan yang berhak menuntut jenazah mualaf berkenaan untuk dikebumikan mengikut cara Islam, sekiranya mualaf tersebut tidak mempunyai waris-waris Islam yang lain.

“Meskipun pada dasarnya, tiada peruntukan khas berkaitan pengurusan jenazah mualaf, namun peranan MAIS membantu dan menasihati Sultan Selangor dalam semua perkara berkaitan agama Islam di dalam negeri terutama dalam urusan kemajuan dan sosial orang Islam selari Seksyen 6 dan 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, menjadikan MAIS badan yang bertanggungjawab terhadap keseluruhan orang Islam di negeri Selangor termasuklah mualaf,” jelas beliau.

Cadangan Raihan: “Sekiranya mualaf tersebut takut untuk memaklumkan pengislaman mereka kepada waris-waris yang bukan Islam atas apa-apa alasan yang munasabah seperti terdapatnya ancaman terhadap keselamatan, mereka hendaklah mendaftarkan pengislaman mereka di mana-mana pejabat agama terdekat.

“Mereka juga hendaklah mendapatkan beberapa individu yang rapat yang tahu status pengislaman mereka,” katanya.

Adakah waris-waris bukan Islam boleh terlibat dalam urusan pengebumian jenazah orang Islam? Beliau menjelaskan: “Agama Islam turut membenarkan waris-waris bukan Islam untuk membantu pengurusan jenazah dengan bantuan masjid.

“Kita sepatutnya menggalakkan perkara ini kerana air yang dicincang tidak akan putus. Ini juga merupakan salah satu dakwah kepada waris-waris bukan Islam untuk menunjukkan Islam ialah agama yang harmoni dan rahmah.”



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge