Aidilfitri Juwairiya berbeza selepas bergelar YB

Aidilfitri Juwairiya berbeza selepas bergelar YB

  • June 2, 2019
  • 0 comments
PADA Pilihan Raya Umum lalu, nama Juwairiya Zulkifli yang berusia 33 tahun ketika itu tiba-tiba meledak. Masakan tidak, beliau merupakan calon bidan terjun menggantikan pilihan asal Parti Keadilan Rakyat (PKR). Itu semua gara-gara calon pilihan terdahulu tidak menepati peraturan.

Pun demikian, wanita itu tetap dianggap layak dan mempunyai aura tersendiri. Ternyata, isu cukai barang dan perkhidmatan, masalah masyarakat setempat membabitkan nelayan dan beberapa isu relevan yang diketengahkan berjaya menawan hati rakyat.

Atas kepercayaan yang diberikan, Juwairiya akhirnya sebulat suara dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati. Kini, beliau bergelar Yang Berhormat (YB).

Dalam satu sesi wawancara dan fotografi khas bersama Femina baru-baru ini, Juwairiya mengaku kehidupannya telah berubah 360 darjah.

“Dulu, saya milik ahli keluarga, namun saya kini milik semua rakyat. Saya bertugas demi anak bangsa,” katanya dengan nada bersungguh.

Bercerita tentang perubahan, memang banyak sekali yang perlu dihadapinya termasuk ketika meraikan Aidilfitri. Bagaimana Aidilfitri beliau kali ini? Adakah beliau sempat membantu ahli keluarga memasak? Bagaimana beliau membahagikan masa beraya bersama dengan keluarga dan rakyat?

Kepada Femina, Juwairiya meleraikan semuanya. Ikuti temu bual wartawan, Nor Azihan Md Ghazali bersama ADUN Bukit Melawati baru-baru ini.

1) Rasanya ini merupakan Ramadan ke-2 buat YB Juwairiya sebagai ADUN Melawati. Apa definisi Ramadan buat YB?

Bagi saya, Ramadan ialah bulan paling mulia. Ia masa yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Waktu ini sangat sesuai untuk kita bermuhasabah diri termasuk melakukan lebih ibadah berbanding hari biasa. Maksud saya, ia bukan waktu rehat tetapi masa yang lebih untuk refleksi dan memperbaiki diri sendiri untuk menjadi seseorang yang lebih baik.

Tidak salah andainya kita memperlahankan kerja di pejabat dan sebagainya. Sebaliknya, kita tumpukan amalan yang boleh menambahkan pahala. Pada bulan ini, kita kena ambil peluang memperbaiki iman dan ibadat kita. Saya juga seperti orang lain akan mengambil peluang untuk menambahkan pahala termasuk menunaikan solat tarawih.

Jadi, saya fikir inilah masa yang sesuai untuk saya merapatkan silaturahim dengan penduduk di DUN Melawati. Justeru itu, saya akan solat di masjid yang berbeza-beza. Secara tidak langsung, saya dapat berjumpa dua mata dengan orang ramai.

2) Saya mengandaikan rutin YB berubah sama sekali selepas dipilih menggalas jawatan sebagai ADUN Melawati. Jadi, bagaimana sambutan raya YB kali ini, masih seperti dahulu?

Seperti tahun-tahun lepas, tahun ini saya merancang untuk beraya di kampung halaman ibu di Bukit Badong, Kuala Selangor. Tidak jauh dari DUN saya. Pun begitu, pada pagi raya pertama, saya akan berada dalam DUN untuk menyambut kehadiran pengundi termasuk mengadakan rumah terbuka untuk mereka.

Seperti kebiasaan, malam raya merupakan waktu paling sibuk buat saya apatah lagi saya merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga. Jadi, sudah menjadi kewajipan saya membantu ibu di dapur menyiapkan menu untuk dinikmati keesokannya.

Beliau cukup mesra ketika melayan tetamu di pagi Aidilfitri.

Beliau cukup mesra ketika melayan tetamu di pagi Aidilfitri.

3) Apa masakan wajib YB di pagi raya? Pada pagi raya juga, apa aktiviti yang biasa dilakukan?

Ibu saya berketurunan Jawa. Sudah pasti masakannya lebih terarah kepada tradisional Jawa. Tumisan menjadi menu wajib kami sekeluarga setiap kali raya. Kalau tak ada tumisan, rasanya tidak lengkap raya kami. Pada pagi raya pula, kami juga seperti umat Islam lain akan menunaikan solat Aidilfitri.

Kami memilih untuk bersolat di Masjid Ar-Rahman yang terletak tidak jauh dari lokasi rumah nenek. Mungkin raya ketiga atau keempat, kami akan ke Alor Setar, Kedah untuk menziarahi keluarga di sebelah ayah pula.

4) Kebiasaannya baju raya merupakan perkara wajib buat kaum wanita. Bagi YB pula bagaimana? Berapa pasang baju diperuntukkan pada Aidilfitri kali ini?

Ya, tepat sekali. Baju raya memang keperluan wajib buat para wanita. Tidak terkecuali juga dengan saya. Pada kali ini, saya memperuntukkan empat pasang baju. Fesyen baju kurung moden merupakan fesyen yang menjadi kegemaran saya sejak dahulu lagi.

Saya jarang beli baju yang siap dijahit kerana akan berlaku masalah pada saiz. Jadi, saya akan hantar baju kepada tukang jahit. Baju yang dijahit ini membuatkan saya rasa lebih selesa dan padanan juga sesuai pada badan saya.

5) YB mempunyai tukang jahit kegemaran?

Ya, saya memang ada tukang jahit yang menjahit baju saya sejak di bangku sekolah lagi. Beliau seorang wanita Cina yang membuka kedai jahit di Seri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Lokasinya tidak jauh dari rumah keluarga saya sebenarnya.

Beliau memang pakar menjahit segala jenis baju dan jahitannya juga kemas. Pelanggannya pula terdiri daripada pelbagai seperti orang kenamaan, kakitangan kerajaan dan sebagainya.

Kehidupan Juwairiya nyata berbeza selepas beliau bergelar wakil rakyat.

Kehidupan Juwairiya nyata berbeza selepas beliau bergelar wakil rakyat.

6) Jika ditanya berkenaan sambutan pasti ada perbezaan ketika YB bergelar orang biasa dan setelah menjadi wakil rakyat. Apa perbezaan sambutan terdahulu dan sekarang?

Banyak sangat bezanya, kalau dahulu saya bebas menguruskan masa sendiri untuk beraya. Pada raya pertama dan kedua, saya pasti akan ke rumah saudara mara untuk berziarah. Namun, kini semua berubah, tidak seperti dahulu lagi. Sekarang bukan masa untuk diri sendiri tetapi untuk orang lain, untuk rakyat yang mengundi saya.

Bab duit raya, memang saya kena sediakan sebagai penghargaan untuk anak-anak pengundi yang datang menziarahi saya. Saya tidak perlu cari mereka.

Sebaliknya, mereka yang akan cari saya. Berkenaan persediaan raya pula, dahulu memang rutin wajib saya akan membeli-belah di tempat-tempat tumpuan ramai termasuk di Jalan Tuanku Abdul Rahman Namun sekarang berbeza, saya akan curi masa membeli apa yang patut. Mana-mana kedai yang saya lalu ketika menghadiri program saya akan singgah.

7) Saya ingin mengalih topik Aidilfitri kepada topik lain sedikit. Jika dilihat latar belakang pendidikan, bidang yang YB ceburi sekarang jauh berbeza. Sejak bila YB berkecimpung dalam dunia politik?

Boleh dikatakan saya seorang yang akan berusaha untuk mencapai sesuatu. Saya jenis yang aktif. Sejak di bangku sekolah saya sudah membabitkan diri dalam pelbagai program. Saya akui cukup berminat dengan program dan persatuan yang dianjurkan pihak sekolah.

Rentetan itu, saya dilantik sebagai penolong ketua pengawas dan dari situ sifat kepimpinan kian bercambah dalam diri saya. Tidak terhenti di situ, ketika saya melangkah ke alam universiti, saya aktif dengan pertubuhan badan bukan kerajaan, saya juga memegang jawatan di fakulti melalui Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia.

Saya juga aktif sejak tahun pertama hingga tahun akhir pembelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Bagi saya, kita kena sertai program-program sebegini tidak kira di sekolah mahupun di peringkat universiti jika kita mahu pergi jauh. Jangan tumpukan pada bidang akademik semata-mata. Sebaliknya, fokuskan keseimbangan dalam kedua-duanya.

8) Kebolehan pemimpin wanita kerap dipandang sebelah mata oleh kaum lelaki khususnya. Jadi, bagaimana YB menangkis persepsi itu?

Sebelum saya menyertai dunia politik, saya sedari awal sudah mengkaji berkenaan risiko dan juga kesan positif dan negatif yang bakal saya hadapi. Ya, bermula dari situ, saya sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Saya nekad tidak akan berpatah balik meskipun dugaan dan cabaran yang bakal dilalui amat getir.

Saya akui sebagai pemimpin wanita, kita perlu bersaing dengan pemimpin lelaki yang lebih agresif. Kadang-kadang ada yang suka saya dan tidak kurang juga yang tidak menyukai saya. Tipu jika saya katakan semua orang bersetuju dengan sebarang pandangan dan pendapat saya.

Dalam dunia politik, kebersamaan dan perbezaan pendapat itu sentiasa wujud dalam mana-mana parti sekalipun. Namun, saya bertuah berada dalam Keadilan kerana parti itu sentiasa memberi peluang kepada kaum wanita untuk bergerak seiring dengan pemimpin lelaki.

Bersalam-salaman memohon kemaafan.

Bersalam-salaman memohon kemaafan.

9) Apakah status YB yang masih bujang pernah dijadikan isu oleh segelintir pihak?

Benar, ketika pemilihan parti, terdapat pihak yang tidak berpuas hati mempersoalkan kelayakan saya sebagai Ketua Cabang lantaran saya belum berkahwin. Sebenarnya, banyak kelebihan wanita yang belum berkahwin dalam dunia politik ini. Saya boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang tugas saya.

Berbeza dengan wanita yang sudah berkahwin, mereka kena bijak membahagikan masa antara tugas dan juga keluarga. Bukan mudah ya, ia sesuatu yang cukup berat apatah lagi jika mendapat pasangan yang sukar untuk memahami. Saya juga seperti wanita bujang lain kerap dilontarkan soalan seperti bila mahu kahwin?

kenapa tak kahwin-kahwin? Pun begitu, saya sentiasa tenang dan berfikiran positif kerana saya yakin pada ALLAH. Memilih? Saya yakin semua orang akan memilih pasangan yang terbaik untuk masa depan mereka, tidak terkecuali juga dengan saya. Kenapa? sebab saya mahukan teman yang memahami saya.

Dia bukan sahaja berkahwin dengan saya tetapi juga dengan tugas dan jawatan saya. Alhamdulillah, tahun ini saya sudah bersedia untuk berumahtangga dengan seseorang yang memahami tanggungjawab saya. Doakan untuk saya ya!



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge