Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 Kembali Lebih Besar dan Meriah di Klang

Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 kembali menemui orang ramai untuk kali kedua dengan skala penganjuran yang lebih luas, meriah serta penuh dengan pengisian berteraskan pendidikan. Acara anjuran Majalah Pa&Ma dengan sokongan strategik Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) ini berlangsung pada 23 dan 24 Ogos 2025 dari pukul 10 pagi hingga 6 petang bertempat di KSL Esplanade Mall, Bandar Bestari, Klang. Festival keluarga ini mengetengahkan gabungan elemen pembelajaran, hiburan dan aktiviti santai yang bukan sahaja menghiburkan malah menyampaikan mesej penting mengenai kepentingan membuat simpanan demi masa depan anak-anak. Dengan sasaran melebihi seribu pengunjung sepanjang dua hari, penganjuran ini menjadi ruang keluarga untuk berhibur sambil mendalami kesedaran tentang tabungan dan literasi kewangan melalui produk Simpan SSPN.

Upacara perasmian festival disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Encik Syamil Fahim, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Timbalan Editor Pengurusan Grup Family & Parenting Nu Ideaktiv, Encik Shahir Rahim. Majlis tersebut mendapat perhatian dengan penyertaan hampir 400 kanak-kanak dalam perarakan berkonsepkan Warisan Kesultanan Melayu, persembahan silat oleh bekas pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari serta persembahan lagu tema rasmi Simpan SSPN oleh penyanyi cilik Umairah. Turut memeriahkan suasana ialah persembahan artis jemputan Azzam Syah dan Sheryl Shazwanie yang mendendangkan lagu-lagu bercirikan Malaysia.

Selain program di pentas utama, festival ini menyediakan pelbagai reruai interaktif berasaskan pendidikan antaranya Petting Zoo, Klinik Gigi Kanak-kanak, Henna, Face Painting serta Kaunter PTPTN Negeri Selangor yang dibuka khas bagi memberi maklumat kepada ibu bapa tentang kelebihan menyimpan untuk pendidikan anak. Tarikan ini bukan sahaja berbentuk hiburan malah turut memberi nilai pembelajaran secara santai kepada kanak-kanak sekali gus meninggalkan pengalaman bermakna.

Kemuncak acara ialah Konsert Meletop yang menampilkan persembahan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 12 tahun dengan bakat dalam seni dan kreativiti. Pertandingan ini diadili oleh penyanyi terkenal Nabila Razali yang turut membuat persembahan khas. Pihak penganjur menjelaskan bahawa festival ini diadakan bukan semata-mata untuk hiburan, tetapi sebagai usaha membina generasi celik kewangan yang memahami pentingnya menabung sejak kecil. Menurut Encik Shahir Rahim, pendidikan memerlukan asas kewangan yang stabil dan melalui Simpan SSPN, ibu bapa boleh merancang masa depan yang lebih terjamin untuk anak-anak.

Edutainment Fest Simpan SSPN 2025 membuktikan bahawa pendidikan dan hiburan dapat digabungkan untuk menyampaikan mesej tentang kepentingan menabung dengan cara lebih kreatif, dekat dengan masyarakat dan memberi kesan yang positif. Festival ini juga dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan kesedaran kewangan, menggalakkan ibu bapa membuat perancangan awal serta mendidik generasi muda mengenai nilai simpanan sejak peringkat awal kehidupan.