Unit pestech peroleh kontrak bernilai RM280.89 juta TNB

Unit pestech peroleh kontrak bernilai RM280.89 juta TNB

ANAK syarikat milik penuh Pestech International Bhd, Pestech Sdn Bhd (PSB), memperoleh dua kontrak daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bernilai RM280.89 juta.

Menurut kenyataan Pestech kepada Bursa Malaysia hari ini, PSB telah menerima surat setuju-terima untuk membina pencawang masuk utama (PMU) 500/275kV Junjung (3×1050 megavolt ampere (MVA)) di Kedah bernilai RM168.39 juta.

Dalam kenyataan berasingan, Pestech berkata PSB menerusi Pembinaan Tajri Sdn Bhd telah memperolehi satu kontrak bagi kabel bawah tanah litar berkembar dari PMU Prince Court ke PMU Ampang bagi nilai kontrak keseluruhan RM112.50 juta.

Tempoh projek di Kedah selama 912 hari mulai tarikh mula laksana manakala projek Ampang selama 730 hari.

“Memandangkan kawasan utara Semenanjung Malaysia itu dijangka mengalami kekurangan tenaga berikutan penamatan loji kuasa dalam beberapa tahun lagi, pembinaan PMU Junjung 500/275kV dengan kapasiti tenaga keseluruhan 3,150MVA dan pentenagaan talian Ayer Tawar-Junjung pada 500kV diperlukan untuk melancarkan pemindahan tenaga yang tinggi dari Perak ke kawasan Prai melalui beberapa transformer serta talian ke wilayah utara itu.

“Ini akan mempertingkatkan rangkaian grid dan menambah baik jaminan bekalan pada masa depan,” menurut Pestech.

Bagi projek di Ampang, skop kerja yang dicadangkan adalah untuk mereka bentuk, menghasilkan, membekal, menaikkan dan pengoperasian kabel litar berkembar 275kV dari PMU Ampang ke PMU Prince Court yang dicadangkan itu.

Laluan kabel tersebut akan berada di jajaran tengah Kuala Lumpur dari kawasan Prince Court ke Jalan Taman U-Thant serta bersambung di Jalan Ampang ke arah kawasan Jelatek.

“Sistem kabel ini akan menghantar minimum 500MVA tenaga kepada setiap 275kV kabel litar di bawah projek ini, dengan mengambil kira beban penuh operasi bagi semua kabel litar adalah termasuk sistem kabel kuasa kejiranan,” kata Pestech.

Kedua-dua projek dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan keuntungan Pestech bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2019 hingga 30 Jun, 2021. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *