Tumpu isu perjanjian akses 5G, penyertaan ekuiti dalam DNB

Tumpu isu perjanjian akses 5G, penyertaan ekuiti dalam DNB

Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia kini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu berkaitan perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama DNB serta penyertaan ekuiti mereka dalam entiti berkenaan.. - Gambar hiasan

Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia kini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu berkaitan perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama DNB serta penyertaan ekuiti mereka dalam entiti berkenaan.. – Gambar hiasan

PASUKAN Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia kini memberi tumpuan kepada penyelesaian isu berkaitan perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama Digital Nasional Berhad (DNB) serta penyertaan ekuiti mereka dalam entiti berkenaan.

Pengerusi Bersama Pasukan Petugas berkenaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dalam kenyataan pada Selasa berkata, kedua-dua isu utama tersebut akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam kumpulan kerja yang ditubuhkan dan dijangka dapat dimuktamadkan seawal penghujung bulan ini.

“Mesyuarat kedua Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia pada Khamis lepas bersetuju dengan struktur pasukan petugas yang merangkumi lima kumpulan kerja terdiri daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, DNB dan pihak penyedia perkhidmatan.

“Keputusan segera bagi perjanjian akses 5G antara pihak penyedia perkhidmatan bersama DNB akan membolehkan pihak penyedia perkhidmatan utama termasuk Maxis menawarkan pakej-pakej perkhidmatan 5G kepada pengguna,” katanya.

Menurut kenyataan itu penyertaan ekuiti oleh pihak penyedia perkhidmatan dalam DNB akan menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.

Katanya, pengguna akan terus menikmati perkhidmatan 5G sedia ada yang dilanggan secara terangkum daripada pihak penyedia perkhidmatan dalam tempoh peralihan seperti jaminan yang diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Diharapkan dengan komitmen yang diberikan oleh semua pihak terlibat, perkhidmatan 5G akan terus disediakan dengan meluas pada kadar yang berpatutan kepada rakyat,” katanya. – Bernama

Sumber