Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Jepun

Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Jepun

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun dari 29 Mei hingga 3 Jun 2023 untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, perindustrian dan pelaburan sedia ada antara kedua-dua negara.

Misi itu akan meliputi Tokyo dan Osaka dan akan terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Dalam kenyataan pada Jumaat, MITI berkata, misi perdagangan dan pelaburan adalah program utamanya, yang turut mencerminkan fungsi utamanya sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk menggalakkan perdagangan dan menarik pelaburan asing serta menggalakkan pelaburan tempatan.

Jepun telah menjadi rakan dagang yang penting dan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) untuk Malaysia selama beberapa dekad.

“Misi ini dijangka mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara sejajar dengan peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun lepas,” menurut MITI.

Misi ini akan memberi tumpuan kepada teknologi terkini dan nilai tambah tinggi yang strategik dalam produk elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan produk kimia serta kenderaan elektrik, dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai tema asas.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul dan delegasinya akan bertemu dengan pemain industri Jepun yang terkemuka dalam sektor ini, yang telah menunjukkan minat mereka untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Lawatan ke kemudahan teknologi sedang pesat membangun baharu untuk sektor pembuatan dalam automotif, E&E serta penangkapan dan penyimpanan karbon juga sebahagian daripada program tersebut.

Tengku Zafrul juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Nishimura Yasutoshi untuk membincangkan isu dua hala dan kerjasama ekonomi melalui pelbagai platform antarabangsa, terutamanya Dialog Dasar Perindustrian Awam-Swasta Jepun-Malaysia, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pada 2022, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak AS$41.21 bilion (RM181.50 bilion) berbanding AS$36.41 bilion (RM149.76 bilion) pada 2021.

Jumlah perdagangan Malaysia-Jepun pada 2022 telah meningkat 21.2 peratus tahun ke tahun.

Eksport utama Malaysia ke Jepun pada 2022 ialah gas asli cecair, produk E&E, petroleum mentah, minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta kimia dan produk kimia manakala import utama Malaysia dari Jepun pada 2022 ialah produk E&E, jentera, peralatan dan alat ganti, pembuatan logam, kimia dan produk kimia serta peralatan pengangkutan.

Dari segi pelaburan, Jepun telah menjadi antara sumber utama FDI Malaysia untuk sektor pembuatan.

Sehingga 2022, sebanyak 2,746 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan.

“Projek ini telah menjana impak limpahan yang positif untuk rantaian bekalan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dan menyediakan pekerjaan kepada 336,326 orang,” menurut MITI.

Katanya Jepun disenaraikan sebagai pelabur asing keempat terbesar dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan.

Kebanyakan pelaburan ini dalam produk E&E, kimia dan produk kimia, produk mineral bukan logam, peralatan pengangkutan dan produk petroleum. – Bernama

Sumber