TAKLUK 2: OP DAULAT Kembali dengan Aksi Ketenteraan Lebih Besar, Angkat Kisah Pengorbanan Wira Negara

Barisan tetamu kehormat dan penerbit bergambar di karpet merah Malam Gala filem TAKLUK 2: OP DAULAT

Aksi Ketenteraan Lebih Realistik dalam Filem TAKLUK 2: OP DAULAT

Selepas kejayaan filem pertama, Takluk: Lahad Datu (2024) yang mencatat kutipan RM26.9 juta, francais ini kembali menerusi TAKLUK 2: OP DAULAT dengan skala aksi ketenteraan lebih besar serta penceritaan yang memberi tumpuan kepada keberanian dan pengorbanan wira negara.

Diinspirasikan daripada peristiwa sebenar Operasi Daulat 2013, filem ini membawa penonton kembali kepada konflik pencerobohan Lahad Datu, Sabah. Kerjasama strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu menghasilkan gambaran operasi ketenteraan yang lebih realistik.

Filem ini menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air termasuk Syafiq Kyle, Datuk Remy Ishak, Kamal Adli, Fadlan Hazim, Datuk Eman Manan, Nas-T, Luqman Hafidz, Taufiq Hanafi, Anas Ridzuan dan Sara Ali.

Barisan pelakon utama dan tenaga produksi bergaya di atas karpet merah Malam Gala TAKLUK 2: OP DAULAT

Pengorbanan ATM dan PDRM Jadi Nadi TAKLUK 2: OP DAULAT

Kisahnya berpusat pada perjuangan pasukan keselamatan Malaysia ketika berdepan kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu. Konflik tersebut membawa kepada pelaksanaan Operasi Daulat, menyaksikan anggota ATM dan PDRM berganding bahu untuk menumpaskan ancaman serta mempertahankan tanah air.

Selain aksi pertempuran, filem ini turut mengetengahkan sisi kemanusiaan, semangat persaudaraan dan pengorbanan anggota keselamatan serta keluarga mereka. Ia juga menjadi penghormatan kepada wira negara yang terkorban ketika mempertahankan keamanan dan kedaulatan Malaysia.

Diterbitkan oleh Multimedia Filem Productions Sdn. Bhd., Skop Productions, GSC Cinemas dan Astro bersama ATM serta PDRM, filem ini turut mendapat sokongan FINAS dan Kementerian Komunikasi. JETOUR bertindak sebagai penaja utama, manakala CUCKOO sebagai penaja bersama. GSC Movies pula merupakan pengedar rasmi filem ini.

Malam Gala dan Tarikh Tayangan Pawagam TAKLUK 2: OP DAULAT

Majlis Malam Gala dan Sidang Media TAKLUK 2: OP DAULAT telah berlangsung pada 23 November 2026 di IOI City Mall, Putrajaya, dengan kehadiran barisan pelakon, tenaga produksi, wakil pasukan keselamatan, rakan strategik, penaja dan pengamal media. Majlis tersebut turut menampilkan persembahan khas, acara karpet merah serta tayangan perdana filem.

Lebih daripada sebuah filem aksi, TAKLUK 2: OP DAULAT mengingatkan penonton bahawa keamanan yang dinikmati hari ini hadir melalui pengorbanan besar anggota keselamatan negara yang tidak seharusnya dilupakan.

Filem ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 26 November 2026.

Barisan pelakon bersama para tetamu dan penonton di dalam dewan pawagam sempena tayangan perdana TAKLUK 2: OP DAULAT