Stesen minyak koperasi catat perolehan RM700 juta

KUANTAN – Sebanyak 136 stesen minyak koperasi diwujudkan di negara ini dengan nilai perolehan mencecah lebih RM700 juta tahun lalu.

Daripada jumlah itu, kebanyakan stesen minyak yang diuruskan pihak koperasi beroperasi di kawasan luar bandar termasuk kawasan Felda dan Felcra.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nordin Salleh berkata, stesen minyak koperasi yang diwujudkan bukan sahaja membekal petrol dan diesel malah ia juga menjadi pusat pengedaran barangan keperluan pengguna setempat.

Menurutnya, usaha itu jelas menunjukkan peranan dimainkan gerakan koperasi dalam memenuhi keperluan masyarakat setempat khusus kepada ahli-ahlinya.

“Usaha dimainkan pihak koperasi itu seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang meletakkan gerakan koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan menyeluruh.

“Cabaran terbesar kerajaan hari ini untuk beralih dari ekonomi tradisional kepada ekonomi baharu justeru gerakan koperasi juga perlu dilengkapi dengan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Stesen Minyak dan Pejabat Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad di sini.

Turut hadir, Pengarah SKM Pahang, Ibrahim Kasah dan Pengerusi Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad, Mohamad Zaidi Sulaiman.

Nordin berkata, 14,247 koperasi yang berdaftar di negara ini dengan keanggotaan lebih 6.5 juta orang juga perlu menggemblengkan sumber sedia ada seperti tenaga kerja anggota koperasi, pemilikan oleh anggota dan penggunaan oleh anggota serta masyarakat.

“Ia secara tidak langsung akan mewujudkan model perniagaan merangkumi keseluruhan rantaian nilai,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zaidi berkata, pihaknya melabur lebih RM600,000 bagi menaik taraf stesen minyak termasuk untuk proses pertukaran syarikat minyak dan infrastruktur.

Menurutnya, stesen minyak yang dibuka sejak tahun 1972 itu kini mempunyai tiga pam dengan enam hos dilengkapi kedai serbaneka untuk keperluan penduduk sekitar.

“Kami bercadang untuk menambah bilangan pam bagi menampung keperluan pengguna selain rancangan membuka sebuah lagi stesen minyak dengan kerjasama Koperasi Felda Bukit Sagu.

“Cadangan ini masih di peringkat perbincangan bagaimanapun tapak sesuai sudah dikenal pasti,” katanya.

Mohamad Zaidi berkata, pengiktirafan diterima Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh yang tersenarai antara lima koperasi terbaik di negeri ini selain berada dalam senarai teratas koperasi Felda terbaik di Pahang menyuntik semangat pihak pengurusan dan ahli untuk mengembangkan lagi cabang perniagaan.

“Selain perniagaan stesen minyak, jual beli sawit dan sewaan premis, kita bercadang untuk melabur melalui bidang perniagaan baharu yang berpotensi pada masa akan datang untuk manfaat 730 ahlinya.

“Ia tidak mustahil namun ahli perlu lebih terbuka minda dalam menyokong usaha koperasi bagi merebut peluang yang ada untuk menjana pendapatan lebih besar dan akhirnya hasil keuntungan yang diraih akan dikecapi bersama,” katanya.



Sumber

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *