SME Bank peruntuk RM1.7 juta bantu usahawan B40

SME Bank peruntuk RM1.7 juta bantu usahawan B40

KUALA LUMPUR – SME Bank memperuntukkan sebanyak RM1.7 juta untuk meneruskan program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 melibatkan 249 usahawan dari golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukan itu bagi memulihkan serta memperkukuhkan perniagaan yang sedang mereka usahakan.

“Pelaksanaan program Penjana Komuniti@SME Bank ini bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan ekonomi rakyat malah selari dengan hasrat dan strategi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)

di bawah Pelan Strategik KUSKOP 2022 untuk memastikan lebih 1.1 juta Keluarga Usahawan ini kembali mencapai pertumbuhan yang lebih tinggi daripada pra-pandemik.

“Melihat kepada keberkesanan program ini, KUSKOP juga telah memberikan dana bernilai RM3 juta pada tahun lepas untuk SME Bank menjalankan Program Penjana Komunti@SME Bank siri yang kedua,” katanya ketika berucap pada Majlis pelancaran Program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 di sini pada Khamis.

Menurutnya daripada 220 usahawan B40 yang telah mendapat manfaat daripada siri kedua ini, 137 orang peserta telah berjaya merekodkan pendapatan perniagaan keseluruhan sebanyak RM4.3 juta, lebihan 73.52 peratus daripada sasaran awal.

Ujarnya lagi, kesemua peserta juga telah mempunyai laman web perniagaan sendiri dan 178 daripada mereka telah mengadaptasikan sistem perakaunan digital dalam mengurus perniagaan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr Aria Putera Ismail, berkata, selain peruntukkan yang disediakan, buat pertama kalinya dan seiring dengan inisiatif di bawah Rangka Kerja Pengukuran Prestasi oleh Bank Negara Malaysia, pihaknya membuka peluang untuk pihak luar menyumbang dana melalui ‘crowd-in fund’ atau dana swasta untuk turut terlibat supaya lebih ramai peserta dapat menyertai program berkenaan.

“Setakat hari ini, SME Bank telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM400,406 dari 35 buah syarikat serta sumbangan kakitangan SME Bank sendiri.

“Dengan sumbangan ini, SME Bank berjaya menambah 49 orang peserta lagi menjadikan jumlah keseluruhan peserta program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 menjadi 249 orang berbanding sasaran awal iaitu 200 orang peserta,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata SME Bank telah melantik Centre For Entrepreneur Development And Research Sdn Bhd (CEDAR) iaitu anak syarikat milik penuh SME Bank sebagai penyedia latihan dan program itu akan berjalan selama tiga bulan dari sekarang hingga Disember 2022.

“Modul latihan yang diikuti memberi fokus ke arah perniagaan digital melalui latihan pemasaran digital, sistem asas perakaunan, gerbang pembayaran (Payment Gateway) serta pengurusan perniagaan dan kewangan yang betul.

“Empat sasaran utama telah ditetapkan untuk memberi impak jangka masa panjang. Ini termasuk keperluan mendaftarkan perniagaan mereka, adaptasi kaedah pemasaran dan sistem perakaunan digital serta penggunaan gerbang bayaran untuk memajukan perniagaan mereka,” tambahnya.

Jelas beliau, penganjuran program Penjana Komuniti@SME Bank 3.0 ini seiring dengan transformasi SME Bank ke arah penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaannya.

“Ia juga menyokong Fasa Kedua Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun SME Bank (2021-2023) iaitu Pelaksanaan ESG dan Memperkemaskan Fokus Bukan Perniagaan.

“Kesimpulannya, langkah SME Bank dalam mengamalkan ESG secara langsung menyokong agenda kemampanan Malaysia dan juga Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya.

Sumber