Seminar kenali tekstur daging

Seminar kenali tekstur daging

ACAP kali berbicara mengenai hidangan daging stik, mungkin rata-rata daripada kita lebih cenderung memilih konsep panggang jenis medium well ataupun well done. Ia berikutan teksturnya kelihatan dimasak sempurna berbanding rare yang dikatakan mentah dan mengeluarkan darah.

Namun begitu, tahukah pembaca, cecair yang disifatkan darah berkenaan tidak benar kerana ia adalah jus daging itu sendiri. Justeru, bagi mengubah persepsi dan mendidik orang awam mengenai jenis-jenis daging panggang, restoran Tony Roma’s (TR) Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Tony Roma’s Ribs Expert Seminar.

Program yang berlangsung pada hujung minggu itu diadakan dalam kumpulan kecil bagi memudahkan para peserta berinteraksi bersama panel mengenai topik berkaitan stik dan rusuk (ribs).

Menurut Pengurus Pemasaran Kanan Tony Roma’s Malaysia, Salleharon Ahmad, TR merupakan restoran pertama di Malaysia yang menganjurkan seminar seumpama itu secara percuma.

“Tony Roma’s Ribs Expert Seminar terbuka kepada orang awam khususnya buat para pencinta sajian stik. Setakat ini, pihak kami (TR Malaysia) menerima sambutan yang cukup mengalakkan dari segi penyertaan.

“Bertambah menarik, selepas menikmati potongan daging stik yang dipanggang dalam lima kaedah (rare, medium rare, medium, medium well dan well done) kami mendapati selera pengguna berubah. Jika sebelum ini, mereka gemar stik well done, kini sudah boleh menikmati jenis rare,” katanya ketika ditemui Femina di restoran TR Malaysia, Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau, selama sejam seminar berlangsung pakar daging dan stik TR memberikan taklimat secara terperinci tentang tulang rusuk atau dikenali sebagai ribeye.

Lazimnya, ia diambil daripada bahagian rusuk daging lembu yang merangkumi antara enam hingga 12 bahagian lalu dipotong untuk dijadikan stik.

Selain itu, peserta juga diberi pendedahan berhubung tekstur, tempoh memanggang, ketetapan suhu dan indikasi warna pada bahagian dalam dan luar daging mengikut lima kaedah tersebut.

“Setiap daging stik berbeza proses masakannya. Stik medium well misalnya, dipanggang pada suhu 69 darjah celsius selama 16 hingga 18 minit manakala rare pula antara 10 hingga 12 minit (52 darjah celsius),” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai keistimewaan stik di restoran TR Malaysia, Salleharon menjelaskan, bekalan stok daging mentah diimport dari Australia yang mana pengeluarnya diiktiraf halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia.

Ia diambil daripada daging anak lembu berusia antara 28 hingga 36 hari bagi mendapatkan tekstur yang lembut dan rasa terbaik.

“Paling utama apabila memilih menu stik daging di sini (TR Malaysia) pastikan anda menikmatinya bersama kentang putar dan sayur brokoli kerana ketiga-ketiga makanan ini saling melengkapi,” katanya.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Tony Roma's Ribs Expert Seminar di cawangan Setia Alam, Selangor baru-baru ini.

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Tony Roma’s Ribs Expert Seminar di cawangan Setia Alam, Selangor baru-baru ini.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *