Selangor fokus tarik pelabur, cipta lebih banyak peluang pekerjaan

Selangor fokus tarik pelabur, cipta lebih banyak peluang pekerjaan

SELANGOR kekal fokus menarik pelabur tempatan dan luar negara bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada 6.5 juta penduduk.

Invest Selangor dalam satu kenyataan berkata, 2021 merupakan tahun mencabar dalam usaha menarik pelaburan masuk ke Selangor.

Menurutnya, situasi pandemik Covid-19 yang tidak menentu dan perkembangan ekonomi yang perlahan selain kekurangan sesi interaksi dengan negara luar akibat penutupan sempadan antarabangsa menyebabkan pelaburan langsung asing (FDI) agak rendah pada tahun lepas.

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor menerima pelaburan sebanyak RM7.5 bilion dalam sektor pembuatan pada 2021 dan penyumbang utama datang daripada pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM6.1 bilion.

“Projek pelaburan getah, bahan kimia, elektrik dan elektronik serta peralatan pengangkutan antara industri utama yang menyumbang sebanyak 71 peratus daripada keseluruhan pelaburan dengan nilai RM5.36 billion,” menurut kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, walaupun prestasi pelaburan agak rendah namun Selangor kekal menerima pelaburan tertinggi dalam projek pembuatan.

” Sebanyak 247 projek pelaburan dengan 14,393 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kemahiran telah menjadikan Selangor mencipta peluang pekerjaan tertinggi di Malaysia.

“Sejak 2017, setiap tahun Selangor sentiasa berada di barisan depan dan menerima sejumlah 1,329 projek pelaburan dengan modal pelaburan sebanyak RM67.5 bilion.

“Projek-projek ini membawa masuk sejumlah 83,934 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dengan DDI kekal menjadi sumber pelaburan terkuat di Selangor,” tambah kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Selangor menerima pelaburan RM31.1 billon sejak 2017 hingga 2021 yang 46 peratus daripada hasil itu disumbangkan oleh sektor pembuatan dan mengekalkan DDI sebanyak RM6 bilion setiap tahun.

Sumber