SAS2022: 13 MoU bernilai RM1.06 bilion dimeterai

SAS2022: 13 MoU bernilai RM1.06 bilion dimeterai

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (empat dari kiri) berkenan merasmikan pembukaan SAS2022 di Skypark RAC pada 8 September lalu.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (empat dari kiri) berkenan merasmikan pembukaan SAS2022 di Skypark RAC pada 8 September lalu.

SHAH ALAM – Sebanyak 13 Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani membabitkan potensi nilai transaksi RM1.06 bilion direkodkan menerusi Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang pada 8 hingga 10 September lalu.

Invest Selangor dalam satu kenyataan berkata, antara MoU ditandatangani membabitkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan 10 syarikat aeroangkasa, MSAF dengan Davinci Gliders Ptd Ltd ( Korea Selatan), Global Component Asia Sdn Bhd dengan Black Arrow Space Technologies Ltd (Blast) (UK) dan Pen Aviation dengan IT Sky Solutions Ltd (Nigeria).

Menurutnya, syarikat terbanyak menandatangani MoU adalah Volar Air Mobility Ltd membabitkan pelaburan bernilai RM675.1 juta menyasarkan memperkenalkan perkhidmatan teksi udara berkonsep hijau di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

“Syarikat berkenaan akan bekerjasama Selangor Aviation & Technology Innovation (Selati) bagi mempromosi penerbangan hijau di Malaysia.

“MoU ini akan melibatkan potensi pembuatan pesawat; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; latihan perkhidmatan teksi udara dan penyelidikan dan pembangunan untuk tempoh lima tahun,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Antara pesawat yang dipamerkan menerusi SAS2022 pada 8 hingga 10 September lalu.

Antara pesawat yang dipamerkan menerusi SAS2022 pada 8 hingga 10 September lalu.

Tambah kenyataan itu, Volar dan Selati secara bersama juga akan menubuhkan sebuah badan pemikir, Institut Pembangunan Penerbangan Elektrik Malaysia.

Selain itu, SAS2022 menyaksikan kerjasama strategik antara Delta Aerospace Sdn Bhd (Delta) dan Aeronautique Design & Service Bureau SA (ADSB) telah memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM166.7 juta.

Ujar Invest Selangor, penganjuran SAS2022 mendapat sambutan luar jangka dengan kehadiran lebih 8,000 pengunjung dengan 62 penyertaan terdiri pemain industri penerbangan dan aeroangkasa daripada lima negara.

“Sebanyak 30 bilangan pesawat statik yang dipamerkan iaitu dua kali ganda daripada SAS tahun lepas antaranya Falcon 8X- Dassault, N Cessna Car V-HM/PA, P180 Avanti-Kris Sakti dan lain-lain.

“Pengunjung yang hadir juga berpeluang bertemu dengan pelakon dan kru filem Selagi Bernyawa mengenai tentera udara dibintangi Aiman ​​Hakim Redza, Datuk Adi Putra dan Nas-T,” ujar kenyataan itu.

Sumber