Ringgit terus diniagakan tinggi berbanding dolar AS

Ringgit terus diniagakan tinggi berbanding dolar AS

Ringgit meneruskan kenaikan pada Isnin untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa. Foto hiasan

Ringgit meneruskan kenaikan pada Isnin untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa. Foto hiasan

RINGGIT meneruskan kenaikan pada Isnin untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Selasa apabila lebih ramai pelabur kembali kepada mata wang sedang pesat membangun, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit naik kepada 4.6405/6445 berbanding dolar AS daripada 4.6495/6535 pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa walaupun ringgit rendah pada tengah hari, dengan USD/MYR naik sehingga RM4.6475, ia pulih pada sesi petang.

Beliau menjelaskan jangkaan penurunan kadar di Amerika Syarikat (AS) akan terus menguasai sentimen pasaran dengan data yang masuk seperti Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Disember, menjadi sorotan utama pada minggu ini.

“IHP keseluruhan dijangka naik 3.2 peratus pada Disember daripada 3.1 peratus pada November manakala IHP teras dijangka turun kepada 3.8 peratus pada Disember daripada 4.0 peratus sebelum ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, laporan inflasi akan dikeluarkan pada Khamis dan pasaran akan memantau dengan teliti perkembangan sedemikian untuk menggabungkan pendapat mereka mengenai tempoh penurunan kadar.

Sementara itu, pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding euro kepada 5.0790/0834 daripada 5.0852/0895 semalam, bagaimanapun merosot berbanding pound kepada 5.9092/9143 daripada 5.9025/9076 pada Isnin dan berbanding yen Jepun kepada 3.2235/2265 daripada 3.2234/2264 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4912/4947 daripada 3.4940/4973 pada Isnin dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.28/8.29 daripada 8.35/8.36 sebelum ini.

Mata wang tempatan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 298.9/299.4 daripada 299.4/299.8, bagaimanapun merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2737/2928 daripada 13.2661/2870 semalam. – Bernama

Sumber