Ringgit naik berbanding dolar AS

Ringgit naik berbanding dolar AS

RINGGIT meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Selasa menjejaki sentimen yang bertambah baik untuk yuan China susulan perkembangan yang positif di Shanghai, di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemelesetan di AS.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu diniagakan pada 4.3880/3915 berbanding 4.3980/3995 ketika ditutup pada Jumaat.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, berikutan Shanghai mencatatkan kes ‘sifar Covid-19’ di seluruh daerahnya, bandar itu dijangka dibuka secara berperingkat, justeru, ini meningkatkan ringgit dan proksi pertukaran asing serantau China yang lain.

“Jika China boleh merancang pembukaan semula yang kukuh, prestasi ringgit akan menjadi lebih positif, kata Innes kepada Bernama.

Ringgit berkorelasi positif dengan yuan China memandangkan China kekal sebagai rakan dagangan terpenting Malaysia.

Sementara itu, penganalisis kanan OANDA Asia Pasifik, Jeffrey Halley berkata, kebimbangan mengenai kemungkinan kemelesetan di AS berkemungkinan membawa kepada pembetulan yang wajar pada dolar AS.

Ini katanya, seharusnya memberi keredaan kepada euro dan mata wang Asia dan mungkin emas dan mata wang kripto, sekurang-kurangnya sehingga Rizab Persekutuan AS (Fed) meningkatkan kadar faedah terasnya sebanyak 0.5 peratus lagi pada Jun.

Ringgit bagaimanapun, diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1643/1671 daripada 3.1482/1497 ketika ditutup pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.5969/6005 daripada 4.5625/5640.

Ringgit juga turun berbanding pound Britain kepada 5.4653/4696 daripada 5.3568/3586 Jumaat lepas dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.3939/3969 daripada 3.4127/4142 sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Isnin sebagai ganti cuti umum Hari Wesak yang jatuh pada hari Ahad. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber