Ringgit ditutup rendah berikutan sentimen elak risiko

Ringgit ditutup rendah berikutan sentimen elak risiko

RINGGIT yang gagal bertahan dalam meneruskan kenaikan pada minggu lepas akhirnya ditutup rendah pada Isnin berbanding dolar AS, berikutan sentimen yang mengelak berlakunya risiko, membawa kepada peningkatan dalam permintaan terhadap dolar AS.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.7295/7335 berbanding dolar AS daripada 4.7115/7155 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan semasa adalah pada konflik Israel-Palestin, dan bagaimana keadaan itu akan berkembang adalah masih tidak pasti.

“Bagaimanapun, ketegangan yang berpanjangan di rantau itu berkemungkinan akan menaikkan harga minyak mentah kerana berdekatan dengan negara-negara pengeluar minyak terbesar. Konflik ini juga mungkin melibatkan pemain global utama, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Iran dan negara-negara Timur Tengah yang lain.

“Secara ringkasnya, sentimen mengelak risiko telah berlaku, membawa kepada meningkatnya permintaan untuk dolar AS. Malah, Indeks Dolar AS (DXY) telah menyaksikan kenaikan 0.24 peratus, mencecah 106.295 mata, manakala kadar pertukaran dolar AS kepada ringgit kekal pada RM4.7285, bawah paras rintangan serta-merta pada RM4.7495,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan ringgit akan kekal dalam tekanan pada masa terdekat kerana pasaran memantau dengan teliti perkembangan konflik Israel-Palestin.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia turun berbanding yen kepada 3.1716/1745 daripada 3.1612/1641 pada penutup Jumaat, susut berbanding euro kepada 4.9811/9853 daripada 4.9720/9763 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7634/7682 daripada 5.7494/7543.

Mata wang tempatan itu bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.​

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.30/8.31 daripada 8.32/8.33 ketika ditutup pada Jumaat dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.7 daripada 301.7/302.1 sebelumnya.

Ia diniagakan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.7435/7588 daripada 12.7200/7367 pada Jumaat dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4542/4574 daripada 3.4458/4493 sebelumnya. – Bernama

Sumber