Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS. – Gambar hiasan

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar AS pada Isnin sejajar dengan prestasi mata wang serantau lain berikutan kebimbangan terhadap prestasi lemah ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pada jam 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.6535/6565 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.6385/6430 pada Jumaat minggu lepas.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi global semakin memuncak seperti yang dicerminkan oleh data lemah Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi negara-negara maju.

“Kebimbangan itu telah membawa kepada permintaan tinggi terhadap mata wang selamat seperti dolar AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, meskipun PMI yang rendah, namun bank-bank pusat utama kelihatannya tidak berganjak daripada pendirian mereka, dan ini akan mencetuskan lagi keadaan yang lebih tidak menentu.

“Selain itu, melihat kepada data indeks harga pengguna (IHP) terkini Malaysia, Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) tidak berubah pada 3.00 peratus pada September,” katanya.

IHP Malaysia menyusut kepada 2.0 peratus pada Julai 2023, yang terendah bagi tahun ini dengan mata indeks direkodkan pada 130.5 berbanding 127.9 pada bulan yang sama tahun 2022.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding euro kepada 5.0290/0323 daripada 5.0054/0103 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8522/8560 daripada 5.8385/8441 namun naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.1752/1774 daripada 3.1757/1790 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4282/4307 daripada 3.4202/4238 pada Jumaat minggu lepas dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 304.2/304.6 daripada 303.2/303.7 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1936/2088 daripada 13.2121/2309 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.19/8.20 daripada 8.20/8.21 sebelumnya. – bernama

Sumber