Ringgit dijangka lebih baik berbanding mata wang G10 minggu depan

Ringgit dijangka lebih baik berbanding mata wang G10 minggu depan

RINGGIT berkemungkinan meningkat lebih baik berbanding mata wang G10 kecuali dolar AS minggu depan berikutan ramalan pertumbuhan rendah yang disemak semula dan kadar inflasi yang lebih tinggi oleh Bank Pusat Eropah (ECB).

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS berikutan pengukuhan dolar AS menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) minggu depan pada 19-20 September.

Beliau berkata, bahawa penggubal dasar Fed dijangka mendedahkan jangkaan kadar faedah jangka pendek mereka untuk akhir 2023.

“Selain itu, berlakunya peningkatan optimistik dalam kalangan kohort pelabur yang percaya bahawa inisiatif Beijing baru-baru ini untuk merangsang ekonomi dan menstabilkan pasaran kewangan menunjukkan tanda-tanda kejayaan, yang mampu merangsang ringgit jika trend ini bertahan.

“Bagaimanapun, pasaran hartanah China kekal menjadi kebimbangan besar bagi negara pengeksport ke China, seperti Malaysia,” katanya.

Secara keseluruhannya, Innes berkata, faktor utama yang menyumbang kepada kelemahan ringgit termasuk kadar faedah AS dan pertumbuhan ekonomi China dan Eropah yang lembap, yang kedua-duanya meningkatkan kebimbangan kemelesetan eksport bagi ekonomi Asia.

“Oleh itu, ini akan memacu permintaan aset selamat seperti dolar AS. Untuk minggu depan, ada kemungkinan ringgit akan bergerak antara julat 4.67 hingga 4.69 berbanding dolar AS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Fed dijangka mengekalkan kadar stabil pada 5.5 peratus pada mesyuaratnya minggu depan.

“Lebih penting ialah unjuran suku tahunan terbaharu mereka mengenai pembolehubah makroekonomi. Sehubungan itu, ringgit mungkin kekal lemah kerana Fed dijangka kekal cenderung meningkatkan kadar faedah dalam pendirian dasar monetarinya.

“Oleh itu, gandingan ringgit-dolar AS berkemungkinan kekal sekitar RM4.66 hingga RM4.68 minggu depan,” katanya.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lemah berbanding dolar AS pada 4.6815/6845 daripada 4.6745/6795 seminggu sebelumnya.

Mata wang tempatan itu, bagaimanapun, diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.8196/8233 daripada 5.8352/8414 pada Jumaat sebelumnya, naik berbanding euro kepada 4.9919/9951 daripada 5.0031/0085 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1670/1693 daripada 3.1741/1777 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4350/4374 daripada 3.4277/4312 seminggu sebelumnya tetapi mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0681/0812 daripada 13.1591/1787 Jumaat lepas.

Ia merosot berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.25 daripada 8.21/8.22 minggu lepas tetapi lebih baik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 304.8/305.2 daripada 304.9/305.4. – Bernama

Sumber