Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil minggu depan

RINGGIT dijangka menyaksikan urus niaga dalam jajaran lebih kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan apabila unit negara maju itu mendapat sokongan pendirian Rizab Persekutuan AS yang cenderung menaikkan kadar faedah, kata penganalisis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, dolar AS dijangka terus mengukuh pada Oktober kecuali data berkaitan ekonomi, pekerjaan serta jualan negara itu mencatat prestasi sebaliknya.

“Pasaran tidak akan mendapat sebarang sokongan ketika Rizab Persekutuan AS (Fed) terus mempertahankan pendirian menaikkan kadar faedah. Peniaga telah bertindak membeli dolar selama dua bulan berturut-turut dan mungkin berehat sehingga hujung bulan apabila data aktiviti AS diumumkan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengumuman hari ini yang menyaksikan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Ogos mencatat dua peratus tahun ke tahun adalah sejajar dengan jangkaan ramai.

Menurutnya, trend disinflasi kian ketara berikutan kadar inflasi telah turun daripada setinggi 4.7 peratus pada Ogos 2022 dan atas alasan itu, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 125 mata asas sejak Mei 2022 telah mula mendapat kesan daripada kadar inflasi.

“Pasaran kekal gelisah terhadap prospek kenaikan kadar faedah di AS. Unjuran terkini Fed menunjukkan bank pusat AS itu berkemungkinan besar mempertahankan pendirian menaikkan kadar faedah bagi tempoh lebih lama yang akan hanya menguntungkan dolar AS.

“Berikutan itu, ringgit dijangka bergerak dalam julat RM4.67 hingga RM4.69 berbanding dolar AS pada minggu depan,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, Hong Leong Research menerusi nota penyelidikannya berkata dolar AS mencatat peningkatan untuk minggu ketiga berturut-turut iaitu menokok 0.2 peratus berbanding ringgit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.6865/6920 daripada 4.6815/6845, seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan meningkat berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7372/7439 daripada 5.8196/8233, naik berbanding euro kepada 4.9860/9918 daripada 4.9919/9951 dan lebih tinggi berbanding yen Jepun kepada 3.1593/1632 daripada 3.1670/1693 sebelumnya.

Selain itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN lainnya iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4313/4359 daripada 3.4350/4374 dan mengukuh berbanding baht Thailand pada 13.0119/0322 daripada 13.0681/0812, Jumaat lepas.

Ringgit juga mencatat prestasi lebih baik baik berbanding rupiah Indonesia kepada 304.7/305.3 daripada 304.8/305.2 namun rendah berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.26 daripada 8.24/8.25. – Bernama

Sumber