Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil

Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil

Gambar hiasan - Foto 123RF

Gambar hiasan – Foto 123RF

RINGGIT dijangka diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS minggu depan menjelang laporan tahunan Bank Negara Malaysia pada 29 Mac depan, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran terus menjangkakan BNM akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada Mei.

“Kami percaya langkah untuk kenaikan 25 mata asas dalam OPR mungkin akan berlaku. Kita akan mendapat tahu lebih banyak perkembangan baharu minggu depan daripada BNM apabila mereka mengeluarkan laporan tahunan mereka. Justeru, kami menjangkakan dolar AS berada dalam julat antara RM4.41 dan RM4.42 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Mata wang tempatan mengakhiri minggu ini dengan ditutup lebih rendah berbanding dolar AS disebabkan pengambilan untung sederhana selepas peningkatan mendadak baru-baru ini.

Pada asas minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada 4.4250/4305 pada Jumaat daripada 4.4850/4880 dalam minggu sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kelompok mata wang utama berbanding minggu sebelum ini.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain pada 5.4034/4101 daripada 5.4390/4426 minggu sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 4.7476/7535 daripada 4.7743/7775, tetapi merosot berbanding yen Jepun kepada 3.4099/4144 daripada 3.3679/3704 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean.

Unite tempatan melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.3178/3225 daripada 3.3393/3418 minggu sebelumnya, naik berbanding baht Thai kepada 12.9610/9835 daripada 13.0987/1151, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 291.90/292.50 daripada 292.20/292.60 dan bertambah berbanding peso Filipina kepada 8.15/8.16 daripada 8.19/8.20 sebelumnya. – Bernama

Sumber