Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong minat belian yang muncul semula dalam keadaan permintaan terhadap dolar yang sedikit berkurangan memandangkan hasil Perbendaharaan AS lebih rendah, kata penganalisis.

Pada jam 9.03 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4030/4070 berbanding dengan dolar AS daripada 4.4050/4065 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun dan 10 tahun masing-masing merosot 14 dan 12 mata asas untuk ditutup pada 3.06 peratus dan 3.16 peratus.

Beliau berkata, ini akan memberi sedikit kelegaan kepada ringgit pada Khamis.

“Ekuiti penanda aras juga mengalami penurunan, menandakan pelabur telah beralih kepada aset bebas risiko,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, dalam pada itu, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) tidak berganjak ddaripada pendirian untuk menurunkan kadar inflasi kepada paras sasaran 2.0 peratus walaupun tindakan itu mungkin menyebabkan ekonomi mengalami kemelesetan.

“Ini telah diredakan apabila Pengerusi Fed, Jerome Powell memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat AS,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, susulan itu ringgit dijangka kekal rendah memandangkan sentimen pasaran masih lemah berikutan perbincangan yang semakin menarik mengenai kemungkinan berlakunya kemelesetan di AS.

Justeru, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dengan beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dengan pound British kepada 5.3946/3995 daripada 5.3966/3984 ketika ditutup pada Rabu dan naik berbanding dengan yen Jepun kepada 3.2361/2393 daripada 3.2392/2408.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding dengan euro kepada 4.6544/6586 daripada 4.6332/6348 pada Rabu dan susut berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1729/1762 daripada 3.1707/1722. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber