Ringgit dibuka tidak berubah, sentimen pasaran bercampur-campur

Ringgit dibuka tidak berubah, sentimen pasaran bercampur-campur

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut sedikit kepada paras 4.6470/6530 berbanding dolar AS daripada 4.6465/6510 pada penutup Isnin. Foto hiasan

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut sedikit kepada paras 4.6470/6530 berbanding dolar AS daripada 4.6465/6510 pada penutup Isnin. Foto hiasan

NILAI ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar AS pagi ini berikutan sentimen pasaran yang bercampur-campur.

Seorang penganalisis berkata kebimbangan terhadap pertumbuhan global juga semakin memuncak susulan pemotongan kadar dasar oleh Bank Rakyat China (PBOC) baru-baru ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut sedikit kepada paras 4.6470/6530 berbanding dolar AS daripada 4.6465/6510 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turut tinggi, membayangkan premium inflasi kekal ketara dan ini mungkin memerlukan pengetatan dasar monetari yang berpanjangan oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Justeru, Mohd Afzanizam berkata Simposium Jackson Hole yang merupakan perhimpunan tahunan bank-bank pusat global akan dipantau dengan teliti, khususnya ucapan pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell mengenai perkembangan dasar monetari AS pada masa hadapan.

Acara ini akan berlangsung bermula 24-26 Ogos 2023.

“Gandingan ringgit berbanding dolar AS dijangka kekal dalam julat 4.64 hingga 4.65 dalam tempoh terdekat. Dari sudut analisis teknikal, ringgit sudah berada dalam kedudukan terlebih jual, menunjukkan risiko penurunan selanjutnya adalah terhad.

“Pada masa ini, paras sokongan dan rintangan bagi USD/MYR ialah pada paras 4.6257 dan 4.7495. Dalam pada itu, ringgit dilihat berlegar lebih dekat kepada paras sokongannya,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun, menyaksikan ia meningkat kepada 3.1783/1826 daripada 3.1869/1902 pada penutup semalam.

Mata wang tempatan lemah berbanding euro kepada 5.0652/0718 daripada 5.0647/0696 dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9305/9382 daripada 5.9196/9254 sebelumnya.

Pada masa yang sama, ringgit diniaga rendah berbanding mata wang Asean kecuali rupiah Indonesia dengan kekal tidak berubah pada 303.1/303.7.

Ringgit menyusut nilai berbanding baht Thai kepada 13.2242/2485 daripada 13.2070/2258, turun sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.4247/4296 daripada 3.4241/4279 dan lemah berbanding peso Filipina kepada 8.25/8.28 daripada 8.24/8.26 pada Isnin. – Bernama

Sumber