Public Bank catat untung bersih RM1.62 bilion, umum dividen 9 sen

Public Bank catat untung bersih RM1.62 bilion, umum dividen 9 sen

Public Bank - Foto Bernama

Public Bank – Foto Bernama

PUBLIC Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM1.62 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 daripada RM1.42 bilion yang disaksikan semasa suku kedua tahun kewangan 2022.

Perolehan melonjak kepada RM6.26 bilion berbanding RM4.97 bilion sebelum ini, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, keuntungan bersih bank itu meningkat kepada RM3.33 bilion daripada RM2.82 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2022, manakala hasil menokok kepada RM12.39 bilion daripada RM9.86 bilion.

Prestasinya pada separuh pertama tahun kewangan 2023 telah dipacu oleh pertumbuhan pinjaman serta deposit sihat yang berterusan, pengurusan kos berhemat termasuk kualiti aset yang stabil.

Bank itu dalam satu kenyataan menjelaskan pendapatan faedah bersihnya naik 3.4 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama, diterajui oleh perniagaan pinjaman serta deposit yang berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan, masing-masing sebanyak 5.4 peratus dan 6.0 peratus.

Pendapatan bukan faedah melonjak 5.4 peratus susulan pendapatan yang lebih tinggi daripada pertukaran asing dan perniagaan pembrokeran saham.

Lembaga bank berkenaan telah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 9.0 sen sesaham, yang membawa jumlah dividen pembayaran kepada RM1.75 bilion, atau 52.4 peratus daripada keuntungan bersih separuh pertama tahun kewangan 2023 kumpulan itu, ianya perlu dibayar menjelang 22 September 2023. Tarikh akhir ialah 14 September 2023.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, prospek sektor perbankan kekal positif dengan perkembangan berterusan ekonomi Malaysia.

“Terdapat peluang yang semakin terbuka yang timbul daripada peningkatan permintaan terhadap perbankan digital serta produk alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

“Kumpulan itu akan terus berwaspada terhadap risiko penurunan semasa sambil kekal tangkas dalam menerima peluang perniagaan yang berdaya maju,” katanya. – Bernama

Sumber