Prospek perkapalan global stabil: Moody’s

Prospek perkapalan global stabil: Moody’s

PROSPEK bagi sektor perkapalan global memasuki tahun 2020 dijangka kekal stabil apabila pendapatan yang dijangkakan tinggi diimbangi oleh ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan risiko pengawalseliaaan di seluruh dunia, kata Moody’s Investors Service dalam laporan sektor yang dikeluarkan hari ini.

Pemacu utama prospek stabil itu adalah gabungan jangkaan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 16 peratus hingga 18 peratus pada 2020 (walaupun daripada asas rendah pada 2018) dan pertumbuhan permintaan dan penawaran yang seimbang.

Faktor-faktor positif ini diimbangi oleh risiko penurunan nilai daripada dasar perlindungan perdagangan dan peningkatan pengawalseliaan, kata Moody’s.

“Industri perkapalan global berdepan banyak cabaran menuju ke tahun 2020, termasuk kesan daripada International Maritime Organization 2020 (IMO 2020), yang dijangka membawa kepada peningkatan kos bahan api, serta ketidakpastian geopolitik, seperti konflik perdagangan, terutamanya pertikaian perdagangan AS-China,” kata Naib Presiden-Penganalisis Kanan Moody’s Maria Maslovsky.

“Prospek segmen kapal tangki kembali stabil daripada negatif dengan kadar sewaan meningkat apabila permintaan bertambah baik dan lebihan penawaran tidak lagi menjadi isu,” kata Moody’s. – Bernama

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *