Blog

  • Kayuhan berbasikal rentas usia

    Kayuhan berbasikal rentas usia

    SEMEMANGNYALAH saya amat kagum apabila melihat Abang Zaidi dan Abang Mat mengayuh basikal mendaki bukit yang tinggi dan menuruni laluan yang curam di kawasan ladang kelapa sawit itu.

    Manakan tidak, Abang Zaidi yang nama penuhnya Abu Zaidi Abu Hassan dan Abang Mat, nama penuh Mohd Som Mahat, masing-masing berumur 60 tahun dan 61 tahun! Saya yang masih dalam lingkungan 39 tahun pula termengah-mengah dan hanya mampu menolak basikal bukit KHS saya untuk mendaki bukit tersebut.

    Abang Zaidi dan Abang Mat adalah antara lebih 20 orang ahli Kumpulan Whatsapp ‘Geng Barai’. Rata-rata ahli kumpulan itu kecuali mereka berdua, berumur 40 tahun ke atas.

    Meskipun saya bukan ahli kumpulan tersebut, abang saya, Shariem Aizul adalah ahli Geng Barai. Melalui beliaulah saya mendapat maklumat setiap kali ada aktiviti yang berkaitan.

    Aktiviti berbasikal bukit atau mountain bike adalah sukan ekstrim yang memerlukan seseorang mempunyai stamina. Cabaran lasak fizikal dan mental itu yang menjadikan sukan berkenaan amat popular terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mencabar andrenalin mereka.

    Pilih aktiviti lasak

    Mereka yang berumur 40-an dan ke atas mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih aktiviti mencabar itu. Berkenalan dengan lebih dekat, Abu Zaidi adalah seorang pesara.

    Beliau pernah menyandang jawatan pengurus besar sumber manusia sebuah syarikat petroleum antarabangsa. Mula aktif menunggang basikal bukit selepas bersara lima tahun lalu, beliau sememangnya seorang yang suka bersukan sebelum bersara.

    Abu Zaidi memilih sukan basikal bukit kerana selain ia menguji tahap kecerdasannya, beliau juga dapat bertemu dengan rakan-rakan baharu dan merapatkan ukhuwah sesama mereka.

    “Basikal bukit amat sesuai bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas kerana kurang tekanan pada lutut berbanding berlari atau sukan-sukan yang lain,” kata Abu Zaidi.

    basikal2

    basikal2

    Mengayuh basikal bukit bagi pesara itu adalah salah satu cara untuk menghilangkan tekanan selain dapat menghayati keindahan alam semula jadi.

    Abu Zaidi turut menasihati mereka yang sebaya dengannya supaya membanyakkan aktiviti riadah untuk kekal sihat dan cergas manakala bagi golongan muda mereka juga perlu bersukan dan jangan hanya asyik bekerja.

    “Ingat, kesihatan penting, ini kita perlu jaga,” katanya.

    Berbasikal untuk kesihatan

    Mohd Som, bekas pekerja syarikat swasta pula melakukan aktiviti basikal lasak itu sejak 1982. Beliau gemar mendaki, melakukan trail running dan berkayuh tiga hingga empat kali seminggu bersama rakan-rakan bagi memastikan tahap kecergasannya sentiasa terbaik.

    “Kepada rakan-rakan sebaya saya, janganlah kita hanya menghabiskan masa di kedai kopi sahaja walaupun tidak dinafikan ia bagus kerana dapat bertemu rakan-rakan. Tetapi kita harus bersukan seperti berjalan atau berjoging bagi mengeluarkan peluh untuk kesihatan kita,” katanya.

    Sementara itu, pekerja swasta, Khairul Hisyam Awang Ahmad, 40, berkata, berbasikal dapat mengeratkan silaturahim dengan rakan-rakan selain manfaat cabaran sukan lasak itu yang memerlukan lebih fokus serta mengekalkan kecergasan.

    “Memandangkan umur yang semakin meningkat ini, berbasikal bukit ini adalah satu riadah yang paling baik kerana ia mengurangkan risiko penyakit kronik dan menghilangkan tekanan setelah sekian lama sibuk bekerja,” katanya.

    Bagi Mohd Ridzuan Nordin, 41, ‘bercinta dengan basikal bukit’ itu membantu beliau membebaskan diri daripada terus dibelenggu rokok.

    “Sebagai perokok tegar, bila saya mula berhenti merokok dahulu, hidup saya jadi huru-hara. Jadi saya perlu cari penyelesaiannya. Saya memang ada rakan yang aktif berbasikal bukit lalu saya mula tertarik untuk menyertai mereka. Saya tahu sukan ini memerlukan stamina dan kecergasan yang tinggi jadi saya tekad dalam diri saya saya mesti berhenti merokok.

    “Dengan azam dan tekad yang kuat, alhamdulillah ketagihan merokok itu beransur hilang dan kini saya sudah bebas rokok lebih empat tahun,” kata Mohd Ridzuan.

    Beliau juga mengakui dengan berbasikal juga dapat mengenali ramai rakan baharu dan dapat berkongsi pendapat mengenai sukan basikal bukit. Bagi mereka yang berumur, memilih sukan berbasikal ini bukan kerana desakan ingin bersaing dengan pengayuh yang lebih muda atau untuk berlumba.

    Sebaliknya, mereka hanya mahu memilih serta mengamalkan gaya hidup sihat, menghayati keindahan alam semula jadi dan yang paling penting, pada usia tersebut dapat merapatkan ukhuwah terutamanya dengan pencinta basikal bukit.

    Disunting oleh Melati Mohd Ariff

    Sumber

  • Wujudkan kemahiran bersifat kemanusiaan

    Wujudkan kemahiran bersifat kemanusiaan

    MESKIPUN penggunaan mesin robotik dan kecerdasan buatan (AI) masih belum meningkat secara drastik di Malaysia menjelang 2030 nanti, namun semuanya diramalkan bakal berubah.

    Itu pandangan Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff ketika diminta mengulas mengenai peralihan teknologi masa hadapan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

    Menurutnya, tidak mustahil akan ada lebih banyak perusahaan menggunakan teknologi mesin robotik. Apa lagi kerajaan turut menggalakkan pelbagai usaha ke arah mendepani revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

    “Mungkin apabila berlakunya perubahan itu, kesannya terhadap rakyat tempatan pada mulanya adalah minimum kerana mesin robotik tersebut terlebih dahulu akan menggantikan pekerja asing yang ketika ini membanjiri sektor terbabit.

    “Bahkan, rakyat tempatan yang bekerja menggunakan kemahiran tahap rendah akan terkesan dan boleh kehilangan pekerjaan jika mereka tidak berusaha meningkatkan kemahiran lebih tinggi,” katanya.

    AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF

    AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF

    Tidak dinafikan katanya, kemajuan teknologi robotik yang semakin berkembang seluruh dunia pastinya akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan industri baharu melibatkan pengendali droid.

    “Tenaga mahir tempatan perlu dipertingkatkan bagi menjamin masa depan yang lebih cerah seiring kemajuan teknologi selain kerajaan memainkan peranan penting dalam agenda memperkasakan pekerja terlatih.

    “Oleh itu, kerajaan harus memastikan pelaksanaan dasar atau polisi untuk meningkatkan kemahiran berkaitan revolusi perindustrian keempat selain menggalakkan sektor berteraskan IR 4.0 termasuk pembangunan dan penyelenggaraan mesin robotik,” katanya.

    Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Aero Angkasa Universiti Putra Malaysia, Dr Ezanee Gires berpandangan, ledakan senario penggunaan mesin robotik di Malaysia masih dalam fasa awal.

    “Kita boleh melihat teknologi automasi dalam pelbagai bidang seperti perincian (software), pembuatan dan penyelenggaraan,bagaimanapun penggunaannya masih terhad.

    “Setakat ini, keperluan tenaga kerja masih penting walaupun teknologi automasi adalah realiti masa kini. Kita perlu memahami bahawa AI memerlukan input daripada manusia,” jelasnya.

    Mengambil satu contoh katanya, kemalangan yang meragut nyawa pejalan kaki semasa ujian tanpa pemandu oleh syarikat Uber di Amerika Syarikat boleh dielakkan jika dikendalikan pemandu manusia dan mengambil alih pemanduan daripada sistem AI kereta tersebut.

    “Bagaimanapun, proses pengaturcaraan (programming) sistem AI sebelum ujian jalan raya sebenarnya sudah mengambil kira faktor pejalan kaki dengan lebih wajar.

    “Pengaturcaraan adalah tugas manusia pada tahap terawal bagi sesuatu program dan pemantauan sangat penting terutamanya jika nyawa boleh terjejas dalam operasi mesin berautomat,” ujarnya.

    EZANEE GIRES

    EZANEE GIRES

    Selain itu katanya, pemantauan oleh pekerja manusia masih diperlukan terutamanya dalam bidang pemeriksaan industri pemprosesan bahan dan fabrik.

    “Pembelajaran mesin (machine learning) boleh dilatih untuk mengenal pasti kelemahan atau kecacatan komponen tetapi pemantauan oleh tenaga manusia masih diperlukan untuk mengelakkan pelaporan palsu.

    “Memang tidak dinafikan bahawa pekerjaan yang berautomat menjadi pilihan syarikat-syarikat dalam sistem kapitalisme. Tetapi diingatkan bahawa kelebihan manusia berbanding AI dan mesin ialah keupayaan untuk mempelajari dan berlatih bidang-bidang baharu,” katanya.

    Menurutnya lagi, kerajaan melalui Bajet 2020 akan melancarkan inisiatif program untuk melatih tenaga kerja tempatan seperti ‘Malaysians@Work’ bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.

    “Apa yang perlu dilihat nanti ialah peluang pekerjaan lebih memerlukan daya pemikiran dan kreativiti manusia susulan penggunaan teknologi automasi untuk pekerjaan lebih kasar (menial labor).

    “Justeru, kerajaan perlu mewujudkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran lebih bersifat kemanusiaan. Kos untuk memperbaiki dan memperoleh teknologi baharu akan menurun seiring perkembangan masa depan walaupun pada awalnya mahal,” ujarnya.

    Sumber

  • Ledakan robotik kecerdasan buatan

    Ledakan robotik kecerdasan buatan

    BERMULA dengan nama robotovat daripada bahasa Czech yang membawa maksud menghambakan diri, teknologi robotik sebenarnya sudah dibangunkan sejak tahun 1920-an lagi.

    Ironinya, mesin menghambakan diri itu mampu menjadi mimpi ngeri buat pekerja sektor pembuatan seluruh dunia apabila berdepan risiko kehilangan kerja menjelang 2030 nanti.

    Barangkali ramai yang tidak menjangkakan ledakan teknologi robotik mampu menggantikan lebih jutaan peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun lagi. Kedengaran agak menggerunkan, bukan?

    Realitinya, ia benar-benar berlaku! Merujuk kajian yang dilaksanakan Firma Ekonomi Oxford, dianggarkan lebih 20 juta kerja sektor pembuatan seluruh dunia akan digantikan dengan teknologi robot.

    Masakan tidak, peralihan teknologi masa depan bakal menyaksikan servis tenaga manusia akan bertukar tangan kepada automasi kecerdasan buatan (AI) yang lebih efisien dan pantas.

    TEKNOLOGI robotik bakal menggantikan tenaga manusia untuk kerja bersifat pengulangan dalam sektor pembuatan.

    TEKNOLOGI robotik bakal menggantikan tenaga manusia untuk kerja bersifat pengulangan dalam sektor pembuatan.

    Kajian Firma Ekonomi Oxford itu menunjukkan, peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.

    “Perindustrian robotik baharu diramalkan mampu mengisi kekosongan 1.6 juta kerja kosong dalam sektor pembuatan untuk tempoh 10 tahun akan datang. Pada masa sama, situasi itu menjejaskan peluang pekerja kurang mahir.

    “Ini kerana kawasan yang memiliki tenaga kurang terlatih dilihat mendorong kepada ekonomi yang lemah dan menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi sekali gus berisiko kehilangan kerja disebabkan robot,” katanya.

    Perkongsian Rory Cellan-Jones, koresponden teknologi kepada bbc.com pula berkongsi banyak ramalan yang menunjukkan teknologi robotik itu akan ‘menghapuskan’ peluang kerjaya manusia.

    Daripada sektor perindustrian, perkilangan sehinggalah kepada tugas seorang wartawan sekali pun akan berdepan risiko kehilangan pekerjaan, bahkan pekerja kolar putih juga terdedah kepada ancaman kemajuan automasi.

    “Namun, kajian terbabit memberikan pandangan cukup berbeza.

    “Apa yang ditekankan produktiviti automasi itu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, malahan membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang kononnya ‘hilang’,” ujarnya.

    Statistik kajian terbabit menemui kerja yang bersifat berulang dijangka berisiko dihapuskan. Tugasan memerlukan kreativiti, nilai kemanusiaan dan kecerdasan sosial lebih cenderung untuk ‘diteruskan’ manusia untuk beberapa dekad akan datang.

    Firma itu menyarankan para penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pekerja dan guru untuk memikirkan cara terbaik membangunkan kemahiran tenaga kerja mahir seiring penyesuaian diri dengan automasi yang semakin meningkat.

    Statistik tersebut turut menunjukkan kira-kira 1.7 juta pekerjaan pembuatan diambil alih oleh robot sejak tahun 2000 termasuk 400,000 di Eropah, 260,000 di Amerika Syarikat dan 550,000 di China.

    KAJIAN Firma Ekonomi Oxford menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.

    KAJIAN Firma Ekonomi Oxford menunjukkan peningkatan penggunaan teknologi robotik akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mengembangkan ekonomi sesebuah negara.

    China sebagai contoh antara negara maju yang cukup berani mengambil keputusan drastik membuang 60,000 pekerja kilang pembuatan peranti telefon pintar dan menggantikannya dengan robot.

    Pengeluar utama peranti bagi Apple dan Samsung, Foxconn tersebut dilaporkan mengurangkan bilangan pekerja daripada 110,000 orang kepada 50,000 orang sahaja di salah satu kilangnya di wilayah Kunshan.

    Menurut laporan South China Morning Post, pihak pengurusan mengesahkan kebanyakan kerja pengeluaran kini dilakukan secara automatik menggunakan kejuruteraan robotik dan teknologi pengeluaran inovatif.

    “Tenaga manusia masih diperlukan walaupun terhad dan menerusi latihan juga membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada elemen bernilai tinggi dalam proses pengeluaran,” kata Foxconn dalam kenyataan kepada bbc.com.

    XIAO LONG persis operator bank yang mampu berkomunikasi untuk soalan asas pelanggan.

    XIAO LONG persis operator bank yang mampu berkomunikasi untuk soalan asas pelanggan.

    Bank tanpa manusia

    Melihat situasi berkenaan, tidak hairanlah apabila sebuah bank di Shanghai mampu beroperasi tanpa manusia. Hanya robot yang diberi nama sebagai Xiao Long atau Little Dragon diprogramkan melayani pelanggan.

    Menjadi bank yang pertama di dunia menggunakan sepenuhnya teknologi robotik, automasi kecerdasan buatan itu mampu membantu memeriksa baki wang dalam akaun simpanan, menerima kad dan berbual mesra.

    Menariknya, Xiao Long persis operator yang mampu berkomunikasi untuk soalan asas sebelum pelanggan dibenarkan masuk melalui pintu elektronik lengkap pengimbas wajah dan kad id.

    Sebaik sahaja masuk ke dalam perut bank berkenaan, mesin juruwang automatik akan membantu untuk urusan pembukaan akaun, pemindahan atau pertukaran wang asing dengan pantas.

    Dan jika timbul persoalan rumit, satu bilik khas dilengkapi Vitural Reality (VR) dan link video disediakan bagi membolehkan pelanggan bercakap dengan pegawai bank secara langsung untuk penyelesaian selanjutnya.

    Hebat bukan? Kemajuan teknologi negara Matahari Terbit itu memungkinkan segala-galanya dan kadang-kadang tidak boleh diterima dek akal.

    TEKNOLOGI automasi diramalkan akan memonopoli sektor pembuatan menjelang 2030.

    TEKNOLOGI automasi diramalkan akan memonopoli sektor pembuatan menjelang 2030.

    Berkongsi satu kisah menarik di theguardian.com, kebangkitan industri robot China menjadi teras utama program lima tahun Rancangan Pembangunan Industri Robotik Beijing.

    Program itu menyasarkan pengeluaran sekurang-kurangnya 100,000 robot perindustrian setahun menjelang 2020, sebahagiannya hanya bertujuan untuk memulihkan sektor perkilangan negara.

    Penyelidik Jabatan Sains Bumi dan Geografi Vassar College, Profesor Yu Zhou menyifatkan, perkembangan teknologi AI dan robotik di negara itu menunjukkan ketaksuban China untuk muncul sebagai pemimpin global.

    “Usaha untuk meningkatkan rantaian nilai menjadi agenda utama China dalam mengembangkan teknologi robotik bahkan dilihat upah kerja semakin meningkat. Pada masa sama, terdapat kekurangan tenaga buruh peringkat akar umbi.

    “Lebih baik menggantikan buruh terbabit dengan automasi dan robot. Ini kerana teknologi itu benar-benar dilihat sebagai pemangkin produk yang lebih baik, cekap dan murah, “ bicaranya.

    Sumber

  • Cantik tanpa suntikan

    Cantik tanpa suntikan

    BIMBANG melihat trend wanita pada hari ini yang cenderung mengambil jalan singkat untuk tampil cantik, pusat kecantikan dan pelangsingan badan Slimming Sanctuary memperkenalkan rawatan baharu.

    Menurut Pengurus Besar, Slimming Sanctuary Malaysia, Lau Sieu Keng, sebahagian besar wanita sanggup mengeluarkan kos tinggi semata-mata untuk menjalani rawatan yang boleh membahayakan kulit wajah.

    “Satu daripadanya adalah dengan melakukan suntikan botox dan filler pada bahagian tertentu.

    “Bagaimanapun, jika tersalah langkah kaedah ini boleh memudaratan kulit wajah. Ia berikutan setiap suntikan yang diaplikasi akan meresap sehingga ke lapisan darah,” jelasnya ketika ditemui Femina di Slimming Santuary Cawangan Damansara Uptown, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Justeru, bagi membantu golongan wanita pihak Slimming Santuary menawarkan rawatan wajah Safer Non-Injection dengan menggunakan mesin berteknologi tinggi.

    “Terdapat empat kategori rawatan ditawarkan mengikut jenis dan kondisi kulit wajah individu seperti vitamin C dan Glutathione, stem cell, triple HA serta peptides.

    “Bagi wanita yang mengalami masalah pigmentasi atau ingin mencerahkan kulit wajah, rawatan vitamin C dan Glutathione boleh menjadi pilihan.

    “Sementara itu, rawatan triple HA pula merupakan hyaluronic acid yang bertindak melembapkan dan membantu membaiki kulit wajah akibat selaran matahari,” jelasnya lanjut.

    Sumber

  • Seni, budaya ‘magnet’ ke Dubai

    Seni, budaya ‘magnet’ ke Dubai

    SIRI 1

    SUKAR menemui seseorang yang tidak terpempan tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke Dubai, satu daripada tujuh emiriah yang membentuk negara Emiriah Arab Bersatu (UEA).

    Apa tidaknya, kotanya moden kaya dengan binaan arkitek menakjubkan pada kelas dunia, malah terdapat pencakar langit yang memecahkan rekod dunia.

    Pun begitu, di sebalik signatur ‘lubuk’ membeli-belah mewah dan pemandangan limpahan neon malam yang indah, Dubai tidak melupakan asas seni dan budayanya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Tourism, Issam Kazim juga tidak menafikan, aspek asas ketamadunan manusia itu tetap diberi perhatian.

    ISSAM

    ISSAM

    Buat pencinta seni dan budaya, pasti tidak menyesal sekiranya berkunjung ke Dubai yang dikhabarkan salah sebuah dari lima negara paling selamat di dunia itu.

    Mengambil masa hanya tujuh jam perjalanan untuk ‘terbang’ dari negara ini, usah risau untuk mencari makanan halal di sana kerana semudah memetik jari.

    Jom ikuti pengalaman penulis meneroka seni dan budaya masyarakat tempatan yang dikenali sebagai emerati di Dubai!

    Alserkal Avenue

    Salah satu hab kreatif yang paling maju, Alserkal Avenue adalah lokasi kebudayaan yang terkenal dengan galeri seni kontemporari, organisasi bukan keuntungan dan perniagaan tempatan di kawasan perindustrian Al Quoz.

    ANTARA hasil seni kreatif yang dipamerkan.

    ANTARA hasil seni kreatif yang dipamerkan.

    Seluas 500,000 kaki persegi, Alserkal Avenue menjadi platform penting pembangunan industri kreatif di Emiriah Arab Bersatu.

    Lawati galeri seni kontemporari dan ruang komuniti kreatif serta terokai seni fotografi, reka bentuk, kulinari perniagaan, fesyen gaya hidup, perindustrian serta muzik Dubai di sana.

    Hampir 90 galeri terdapat di situ. Bagi peminat seni, seharian pun pastinya tidak akan puas berada di sana. Pendek kata dari seni halus, vintaj hinggalah ke hipster, kesemuanya boleh didapati dalam satu lokasi.

    La Mer

    La Mer di Jumeira lokasi meriah untuk dilawati. Apa tidaknya, selain tempat makan dan membeli-belah, kedudukannya terletak berhampiran pesisir pantai.

    Pantai bertaraf dunia La Mer menempatkan ‘port’ mengisi masa lapang dan hiburan.

    BERSANTAILAH di La Mer yang terletak tidak jauh dari tepian pantai.

    BERSANTAILAH di La Mer yang terletak tidak jauh dari tepian pantai.

    Di sini juga terdapat La Mer Street Art yang mempunyai ruang terbuka luas ‘diiringi’ tumbuhan sawit, jalan kayu yang dibarisi pokok, mural seni grafiti dengan daya tarikan santai.

    Lokasi tepi pantai tersebut meriah dengan pelbagai keunikan menarik pada waktu malam.

    Burj Khalifa

    Burj Khalifa setinggi 828 meter antara mercu tanda Dubai yang wajib dikunjungi.

    Bagi yang mahu menyaksikan sendiri keindahan bumi Dubai dari tingkap kaca menara itu, dicadangkan datang seawal jam 9 pagi waktu tempatan supaya tidak perlu beratur panjang.

    BURJ Khalifa yang mengagumkan.

    BURJ Khalifa yang mengagumkan.

    PEMANDANGAN indah kota Dubai pada waktu malam.

    PEMANDANGAN indah kota Dubai pada waktu malam.

    Pun begitu, jika terpaksa berbaris sehingga mengambil masa lama pun pastinya berbaloi. Mahu menjimatkan masa, tempah saja tiket online.

    Pasti mengasyikkan menikmati hidangan air teh atau kopi bersama pemanis mulut Arab di Lounge jika memilih pakej biasa pada harga AED 533 atau kira-kira RM606 untuk menjejakkan ke At The Top Sky, Burj Khalifa.

    Dubai Mall

    Puas menjamu mata di Burj Khalifa, singgahlah pula di Dubai Mall yang hanya terletak di kaki menara itu. Walaupun seharian di sana tentunya tidak mencukupi untuk menerokai keseluruhan lot kedai, tempat makan dan hiburan di situ.

    Dubai Mall adalah pusat membeli-belah ke-26 terbesar di dunia dengan keluasan sebanyak 502,000 meter persegi. Bayangkanlah!

    BERKUNJUNG ke Dubai Mall pasti tidak puas berjalan dalam masa sehari.

    BERKUNJUNG ke Dubai Mall pasti tidak puas berjalan dalam masa sehari.

    Singgahlah di The Souk yang menjual pelbagai hasil seni dan The WaterFall yang terdapat replika manusia yang terjun ke dalam air. Simboliknya berkait sejarah asal peneroka Dubai yang hidup dengan menjadi nelayan dan pencari mutiara.

    Jangan lupa singgah di Dubai Aquarium yang mengagumkan. Berjalanlah di deretan menjual barangan dan minyak wangi premium serta berjenama antarabangsa untuk mendapat aura baharu.

    DUBAI Aquarium.

    DUBAI Aquarium.

    Global Village

    Mahu ‘sampai’ ke negara-negara di dunia secara dekat dalam satu masa, pergilah ke Global Village. Pengunjung boleh melihat negara dan budaya masyarakat dunia di situ. Menariknya bayaran masuk hanya AED 15!

    GLOBAL Village yang berwarna-warni dengan neon pada waktu malam.

    GLOBAL Village yang berwarna-warni dengan neon pada waktu malam.

    Tidak perlu pergi ke setiap ceruk rantau dunia. Global Village destinasi menonjolkan budaya, hiburan dan lokasi membeli-belah dan makanan semuanya berlandaskan tradisi.

    Banyak kejutan yang menyeronokkan.

    Antara ‘negara’ (pavilion) yang sempat penulis lawati, China, Iran, Thailand, Amerika, Afrika, Jepun, Turki, India, Mesir, India, Syria, Bosnia dan banyak lagi.***Sambungan Siri 2, nantikan perkongsian Jom Relaks, Sihat:Aktif antaranya ke Dubai Frame, muzium klasik, pengalaman menaiki unta dan meredah padang pasir serta melewati binaan klasik sekitar 100 tahun lalu minggu hadapan, 11 Disember 2019.

    Sumber

  • Bercerai melalui WhatsApp sah jika diserta dengan niat: Mufti WP

    Bercerai melalui WhatsApp sah jika diserta dengan niat: Mufti WP

    SHAH ALAM – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa sebarang lafaz talak yang dibuat melalui aplikasi WhatsApp adalah sah sekiranya ia disertakan dengan niat.

    Katanya, sebarang lafaz talak kinayah yang telah dibuat melalui komunikasi moden yang turut disertakan dengan niat daripada pihak suami dikategorikan sebagai sah.

    “Talak dalam bentuk tulisan yang jelas dan mudah difahami melalui faksimili, SMS dan emel adalah sah sekiranya suami betul-betul mempunyai niat untuk berbuat sedemikian.

    “Talak yang diucapkan melalui aplikasi pesanan ringkas dikategorikan sebagai berita yang mendatangkan keraguan sama ada benar atau tidak, oleh itu pihak suami akan ditanya niat sebenarnya jika betul maka jatuh talak ini,” katanya dalam ruangan Al-Khafi li al-Fatawi: 1014 bertajuk ‘Cerai Menggunakan Aplikasi WhatsApp’.

    Dalam pada itu Zulkifli berkata, berpegang kepada majoriti ulama bahawa hukum seorang lelaki menceraikan isterinya ketika sedang hamil ialah harus, tidak haram dan tidak makruh.

    “Talak yang jatuh sewaktu isteri sedang hamil di bawah kategori talak yang bukan sunniy dan bukan bid’iyy maka hukumnya adalah harus kerana iddahnya tertakluk kepada kelahiran bayi ini,” katanya.

    Tambahnya lagi, isteri yang diceraikan ketika sedang hamil berhak untuk mendapatkan segala keperluan yang perlu disediakan oleh pihak suami.

    “Dari sudut perundangan, isteri ini layak mendapatkan makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan lain kerana penceraiannya sama seperti talak rajie,” ujarnya.

    Sumber

  • Fibroid ketumbuhan jarang bertukar kanser

    Fibroid ketumbuhan jarang bertukar kanser

    FIBROID adalah ketumbuhan tidak normal yang berkembang di dalam atau pada rahim wanita.

    Kadangkala tumor itu membesar dan menyebabkan sakit yang teruk dalam tempoh tertentu. Dalam kes lain, terdapat pula fibroid yang tidak menyebabkan atau meninggalkan sebarang tanda atau gejala.

    Biarpun sejak sekian lama ia dideritai ramai golongan Hawa, penyebab fibroid tidak diketahui.

    Berikutan lazimnya ia tidak sakit, kebanyakan wanita tidak pernah tahu bahawa mereka ‘membuntingkan’ fibroid atau gejala yang juga dikenali dengan nama leiomioma, myomas, myomas rahim atau fibromas itu.

    Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), dalam healthline.com, kira-kira sehingga 80 peratus wanita mempunyai fibroid pada usia 50 tahun.

    Bagaimanapun untuk mendiagnosis, perlulah bertemu dengan pakar sakit puan. Pakar akan memeriksa keadaan, saiz, dan bentuk rahim seseorang yang menghidap ketumbuhan yang menjadi ‘seteru’ wanita itu.

    Ironinya ada pula yang menyamakan mahupun terkeliru dengan perbezaan antara fibroid, cyst dan polip. Apa bezanya?

    Persoalannya, wanita bagaimanakah yang sering menjadi mangsa kesan adanya fibroid tersebut? Menjawab tanda tanya itu, Sihat:Aktif mengetengahkan pendapat pakar berhubung gejala fibroid pada minggu ini.

    NURAZLINA ALI, 43, pelik berdepan dengan masalah haid yang datang dalam jumlah luar biasa hampir setahun lalu.

    Dalam masa yang sama, bahagian abdomennya ‘membengkak’. Nurazlina juga kerap terasa mahu membuang air kecil meski hanya minum secangkir air.

    “Risau ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan saya berjumpa pakar perubatan. Apabila menjalani ujian ultrasound barulah tahu saya ada fibroid.

    “Doktor memaklumkan, ketumbuhan itu perlu dibuang supaya tidak menjejaskan kesihatan saya,” kata wanita itu yang sudah hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga, namun belum dikurniakan cahaya mata.

    Dianggarkan, empat hingga 18 peratus wanita dalam lingkungan umur 40 hingga 49 tahun menghidap fibroid dan jumlah kes berbeza mengikut negara.

    Dalam pada itu, mengikut perkongsian MyHealth, Kementerian Kesihatan (KKM), kira-kira 20 peratus wanita usia subur dikatakan mempunyai fibroid. Jarang sekali ia dialami oleh wanita muda sebelum haid.

    Organisasi bukan keuntungan kesihatan wanita, The American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) pula mencatatkan, fibroid lazim ‘muncul’ dalam kalangan wanita berumur 30 hingga 40 tahun. Pun begitu ia juga boleh berlaku pada sebarang usia.

    Data ACOG menyingkap, ia lebih kerap berlaku pada wanita Afrika berbanding wanita kulit putih.

    Maka, agak sahih masalah fibroid berbeza mengikut negara. Hairan bukan?

    Menghuraikan tentang gejala agak digeruni itu, Pakar Perunding Perubatan Reproduktif & Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain melontarkan pandangannya.

    Dr Murizah

    Dr Murizah

    Bukan kanser

    Fibroid adalah ketumbuhan benign (bukan kanser) yang sering terjadi pada wanita di usia reproduksi (subur). Dianggarkan hamper 30 peratus wanita di usia begitu mengalami fibroid.

    Fibroid bukanlah kanser, bahkan kemungkinan fibroid bertukar menjadi kanser adalah sangat rendah, jelas Dr Murizah.

    Pastinya kenyataan beliau itu menjawab stigma tentang fibroid yang seringkali dikaitkan dengan kanser, sedangkan itu tidak tepat.

    “Ketumbuhan ini berasal dari otot di dinding rahim, kedudukannya pula pelbagai. Antaranya di permukaan luar rahim (subserosal), di dalam rahim (intramural) atau di permukaan dalam rahim (submucosal). Kedudukan fibroid, saiz dan bilangannya akan menentukan gejala fibroid.

    “Punca sebenar fibroid tidak dapat dikenalpasti secara tepat. Namun kemungkinan terdapat faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi,” katanya kepada Sihat:Aktif.

    Mengulas golongan ‘sasaran’ fibroid juga, tambah Dr Murizah, ia lebih kerap juga terjadi pada wanita yang mempunyai sejarah keluarga, wanita obes dan sukar hamil.

    Pasti ramai tertanya-tanya apakah isi kandungan ketumbuhan ‘jahat’ itu dan sejauh mana ia boleh membesar?

    Fibroid terdiri dari otot dinding rahim yang membesar tanpa terkawal. Bagaimanapun kebanyakan proses pembesarannya secara perlahan-lahan selama beberapa tahun.

    Terdapat kes-kes yang mana fibroid membesar sehingga mencapai seperti usia kandungan yang cukup bulan tanpa mendatangkan apa-apa gejala, jelas Dr Murizah.

    Apakah risiko bakal dihadapi?

    Antara gejala fibroid adalah haid yang banyak dan berpanjangan terutamanya bagi fibroid intramural dan submucosal.

    Seandainya kehilangan darah itu terlalu banyak seseorang boleh mengalami kekurangan darah atau anemia. Ubat perlu diberi untuk menghentikan pendarahan serta transfusi darah yang hilang.

    “Fibroid juga boleh mengganggu kesuburan wanita terutamanya jika fibroid intramural bersaiz besar melebihi empat sentimeter (cm). Di samping itu, submucosal fibroid juga boleh menyebabkan kegagalan penempelan janin dan keguguran yang berulang.

    “Sebahagian pesakit, gejalanya mungkin semakin membuncit atau terasa sesuatu membengkak di bahagian abdomen,” ujar Dr Murizah.

    Majoriti pesakit fibroid tidak mendatangkan sebarang gejala. Pesakit hanya mengetahui apabila melakukan pemeriksaan atau ujian ultrasound, jelas beliau.

    Sama seperti apa yang dialami oleh Nurazlina dalam kajian kes seperti di atas tadi bukan?

    Beza dengan cyst, polyp

    Fibroid berbeza dengan cyst. Cyst pula adalah ketumbuhan dari kilang telur. Terdapat pelbagai jenis cyst sama ada yang berisi darah haid dikenali sebagai endometriosis, cyst yang berisi sebum dikenali sebagai teratoma atau cyst yang berisi air.

    Terdapat cyst yang benign dan ada cyst yang berkemungkinan kanser. Kesemua itu boleh dibezakan dengan ultrasound dan ujian darah yang dikenal sebagai tumour marker, terang Dr Murizah.

    “Kebanyakan cyst perlu dibuang secara pembedahan kecuali cyst kecil yang kurang lima sentimeter dan berisi air. Ia boleh dipantau untuk memastikannya mengecut.

    “Polyp pula adalah lebihan tisu endometrium atau dinding rahim serta serviks atau pangkal rahim yang memanjang dan menjulur keluar. Kebanyakan polyp mendatangkan masalah pendarahan dan perlu dibuang,” ujar pakar itu.

    Seperkara sama ada wanita memiliki fibroid boleh hamil, kebanyakannya dikatakan boleh mengandung secara natural malah tidak memerlukan bantuan reproduksi.

    Namun tunggu! Sebahagian wanita yang sukar hamil sama ada disebabkan oleh faktor-faktor lain dan pemeriksaan menunjukkan adanya fibroid.

    “Dalam kes ini fibroid yang bersaiz lebih 4cm dan intramural perlu dibuang untuk meningkatkan kejayaan rawatan kesuburan. Jika wanita mempunyai fibroid, kehamilannya perlu dipantau. 1/3 dari fibroid ini akan membesar.

    “Fibroid boleh mendatangkan kesakitan pada ibu yang hamil kerana bekalan darah ke fibroid terjejas disebabkan darah perlu diarahkan kepada bayi yang semakin membesar,” katanya.

    Fibroid yang besar juga boleh mengganggu kedudukan bayi, menyebabkannya berkedudukan songsang atau melintang serta perlu dilahirkan secara pembedahan.

    Lebih merisaukan, fibroid boleh menyebabkan tumpah darah kerana mengganggu pengecutan rahim selepas bersalin.

    Pembedahan jika ada simptom

    Pakar sakit puan dan perbidanan, Datuk Dr Hamid Arshat dalam perkongsiannya mengenai ketumbuhan itu juga tidak menafikan kewujudan fibroid dalam tubuh seseorang tidak diketahui.

    “Kita tidak tahu bagaimana ia tumbuh. Tapi kita mengetahui bahawa ia dirangsang oleh hormon estrogen.

    “Ada kemungkinan wanita yang menjangkau umur 30-an hingga 40-an mula dilanda dengan masalah hormon yang tidak stabil. Oleh itu ketumbuhan ini mula dikesan pada umur tersebut,” katanya.

    CONTOH fibroid. -Gambar hiasan

    CONTOH fibroid. -Gambar hiasan

    Kes bagaimana perlu diambil kira untuk rawatan?

    Fibroid kadangkala tidak menunjukkan gejala, simptom atau masalah. Ia mungkin boleh dijumpai secara kebetulan.

    Pun demikian, ada juga yang boleh menimbulkan masalah seperti pendarahan yang panjang dan banyak waktu haid. Ia tidak mengganggu pusingan, tetapi menjejaskan proses pendarahan haid, kata Dr Hamid.

    Tekanan juga boleh berlaku kepada organ-organ seperti pundi kencing, saluran uretra, usus dan lain-lain.

    “Ada ketikanya, walaupun fibroid banyak dan saiznya kecil, kita tak perlu berbuat apa-apa. Pembedahan hanya apabila berlaku simptom atau gejala pendarahan, sukar dapat anak, berulang kali gugur atau terlalu besar.

    “Kita anggap lebih 5cm itu besar. Tapi kalau, lebih 5cm, tidak menyebabkan apa-apa masalah atau gejala kita boleh diamkan. Lazimnya, apabila putus haid dan hormon estrogen tidak lagi aktif, fibroid itu akan mengecut,” katanya.

    Mengimbas pengalamannya, ujar Dr Hamid beliau pernah membuang sehingga 21 fibroid kerana pesakitnya masih ingin untuk hamil dan melahirkan anak.

    Sedangkan, kebiasaannya keseluruhan wanita ada satu dua atau tiga fibroid sahaja.

    Lemak degil simpan hormon wanita antara penyebab

    BANYAK kajian membuktikan bahawa fibroid berkaitan rapat dengan hormon wanita.

    Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, disebabkan itu, obesiti ada perkaitan dengan fibroid biarpun bukan sebab utama terjadinya fibroid itu.

    DR Izzat

    DR Izzat

    “Tanyalah sesiapa pun. Semua pakar dan kajian demi kajian mengatakan punca sebenar fibroid ini masih belum diketahui asal usulnya.

    “Bagaimanapun ia ada berkait dengan obesiti. Kenapa? Sebab lemak-lemak degil yang terkumpul dalam badan menyimpan hormon wanita. Lemak terkumpul dalam pesakit obesiti dikatakan dapat menyimpan hormon wanita dengan lebih banyak, sekali gus ada perkaitan dengan fibroid,” kongsi Dr Muhammad Izzat.

    Justeru beliau mengalu-alukan lebih ramai wanita supaya menguruskan tubuh badan secara sihat.

    TUBUH obesiti dikatakan boleh menyuburkan fibroid.

    TUBUH obesiti dikatakan boleh menyuburkan fibroid.

    Dalam pada itu, Dr Muhammad Izzat juga bersetuju bahawa fibroid yang tidak menimbulkan apa-apa masalah atau kecil tidak perlu dibuang serta tidak memerlukan apa-apa rawatan.

    Katanya, fibroid akan mengecut atau hilang sendiri apabila seseorang wanita itu putus haid atau menopaus.

    Mengulas mengenai rawatan, ujarnya ada pil hormon boleh dimulakan sebagai langkah pertama. Bagaimanapun perlu berbincang dengan pakar terlebih dahulu.

    “Boleh juga lakukan pembedahan membuang fibroid. Ada dua jenis – buang fibroid sahaja dan biarkan rahim untuk mereka yang bercadang untuk mengandung.

    “Walaupun begitu, masih ada risiko pendarahan dan menyebabkan rahim terpaksa dibuang. Ada kes yang memerlukan rahim dibuang bersama sama dengan fibroid lebih-lebih lagi jika doktor berasakan fibroid itu jenis bahaya ataupun saiznya yang tidak mengecut walaupun sudah menopaus,” katanya.

    Ada juga fibroid kecil yang mengganggu kesuburan atau menyebabkan darah haid yang banyak boleh dibedah secara hysteroscopy.

    Setiap pembedahan ada risiko dan komplikasinya. Justeru Dr Muhammad Izzat berkata ia perlu dilakukan mengikut kesesuaian pesakit.

    “Pembedahan adalah pilihan yang terakhir jika ubat-ubatan diberikan tidak mampu merawat fibroid,” katanya.

    ANEKDOT

    Antara pilihan rawatan fibroid:

    1) Histerektomi – pembedahan membuang rahim. Kesannya, tidak boleh hamil dan putus haid (menopaus).

    2) Miomektomi – pembedahan mengeluarkan fibroid tanpa membuang rahim. Ada kemungkinan untuk fibroid kembali menyerang (dalam masa 10 tahun), namun masih boleh hamil.

    3) Abliasi Endometrial (Endometrial ablation) boleh digunakan untuk fibroid yang membesar di dalam lapisan rahim.

    4) Uterine arteri embolisasi- prosedur mengecutkan rahim tanpa pembedahan dengan cara mengurangkan pengaliran darah kepadanya.

    5) Ubat-ubatan – merawat simptom. Ubat ini biasanya mengurangkan tahap estrogen untuk sementara waktu dan pada masa yang sama menyekat pertumbuhan fibroid, terutama sebelum pembedahan.

    Pencegahan

    Tiada siapa pasti punca sebenar fibroid, tetapi pakar berpendapat ia banyak kaitan dengan faktor genetik, hormon, dan persekitaran. Malangnya, tiada cara yang diketahui untuk mencegah fibroid daripada bertambah atau berulang.

    Sumber: myhealth.gov.my

    Sumber

  • Dashing-Juventus jalin kerjasama di Malaysia

    Dashing-Juventus jalin kerjasama di Malaysia

    KUALA LUMPUR – Produk penjagaan diri jenama terkemuka, Dashing bersama kelab bola sepak dunia, Juventus menjalin kerjasama serantau di negara ini bagi memberi pengalaman berbeza kepada orang ramai.

    Bagi memberi pengalaman menarik, ruang central court di pusat membeli-belah IOI City Mall diubah suai menjadi zon interaktif bola sepak yang bakal menguji tahap kemahiran pengunjung melalui pelbagai cabaran seperti Radar Speed Cage, Target Football, Goalkeeper Reaction Test dan Electronic Skills Mat.

    Ketua Eksekutif Wipro Unza Malaysia, Sriram Krishnamurthy berkata, untuk tempoh beberapa bulan akan datang, Dashing telah mengatur pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan kerjasama itu.

    “Peminat bola sepak Malaysia berpeluang berkongsi pengalaman dalam cabaran bola sepak kelas pertama bersama kelab tersohor ini,” katanya di sini baru-baru ini.

    Sementara itu, Ketua Penasihat Kerjasama Juventus, Tomas Arico berkata, pengumuman kolaboratif ini merupakan satu usaha signifikan bagi menyaksikan perkembangan positif kelab berkenaan.

    Beliau berkata, Juventus akan memberi sokongan terbaik kepada Dashing bagi memastikan kejayaan program berkenaan.

    “Kerjasama eksklusif ini membuka peluang untuk kami mengembangkan lagi kelab ini. Kita juga telah membuka cawangan baharu di Hong Kong dan diwakili oleh Pengarah Urusan Juventus, Federico Palomba,” katanya.

    Selain itu, Dashing turut mengumumkan enam pemenang hadiah utama dalam peraduan Dashing: Beli, WhatsApp dan Menang.

    Pemenang akan diterbangkan ke bandar Turin, Italy dan menikmati pengalaman bertemu pemain Juventus.

    Lebih menarik mereka akan dibawa menonton pertandingan bola sepak secara langsung di Stadium Allianz.

    Sumber

  • Cara jaga kecantikan menurut perspektif Islam

    Cara jaga kecantikan menurut perspektif Islam

    CANTIK terlalu subjektif untuk diperdebatkan kerana setiap orang punya pandangan yang berbeza mengenainya.

    Ada yang kata cantik itu berdasarkan wajahnya tiada cacat cela.

    Tidak kurang juga melihat aspek cantik dalam diri seseorang termasuk akhlaknya.

    Apakah pandangan Islam mengenai perkara itu dan bagaimana cara menjaga kecantikan berkenaan?

    Tip Sinar Islam kali ini mengetengahkan cara menjaga kecantikan menurut Islam.

    (ARTIKEL BERKAITAN: Definisi cantik, tampan dari perspektif Islam)

    WhatsApp Image 2019-12-03 at 12.10.22 PM (1)

    WhatsApp Image 2019-12-03 at 12.10.22 PM (1)

    WhatsApp Image 2019-12-03 at 12.10.25 PM (1)

    WhatsApp Image 2019-12-03 at 12.10.25 PM (1)

    Sumber

  • Google laksana cukai digital 6 perataus bermula tahun depan

    Google laksana cukai digital 6 perataus bermula tahun depan

    GOOGLE Malaysia mengumumkan pihaknya akan mengenakan cukai digital sebanyak enam peratus kepada pelanggan di negara ini bermula 1 Januari 2020.

    Memetik laporan The Star, jurucakap syarikat enjin carian itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat bagi mematuhi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan pada tahun depan.

    “Kami sentiasa mematuhi undang-undang cukai di setiap negara di mana kami beroperasi.

    “Malah kami juga terus melaksanakannya sebagaimana cukai berkenaan berkembang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Jurucakap berkenaan berkata, buat masa ini pihaknya mengesahkan cukai sebanyak enam peratus itu akan dikenakan ke atas perkhidmatan G Suite yang disediakan.

    “Cukai berkenaan akan dikenakan kepada pengguna menerusi bil dan pembayaran ke atas setiap pembelian yang mereka lalukan,” katanya.

    Tambahnya, pengumuman lanjut berhubung pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan lain seperti YouTube Premium, YouTube Music and pembelian item dalam talian seperti e-books, aplikasi mobil, filem di Google Play akan dimaklumkan kelak.

    “Pengguna akan dimaklumkan mengenai kebarangkalian berlaku perubahan harga menerusi emel,” katanya.

    Pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaan Malaysia mengumumkan akan memperkenalkan cukai digital sebanyak enam peratus ke atas penyedia perkhidmatan asing yang beroperasi di negara ini bermula 1 Januari 2020.

    Cukai berkenaan dijangka akan memberi kesan kepada perkhidmatan penstriman asing seperti Netflix dan Spotify, perkhidmatan pengiklanan digital yang ditawarkan oleh syarikat seperti Google dan syarikat pengedaran permainan digital seperti Steam.

    Syarikat asing yang menyediakan perkhidmatan tersebut dibenarkan mendaftar dengan Jabatan Kastam bermula dari 1 Oktober ini.

    Pendaftaran adalah mandatori apabila nilai perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat digital terlibat kepada rakyat di negara ini melebihi RM500,000 setahun.

    Menurut Panduan Cukai Perkhidmatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, perkhidmatan digital ditakrifkan sebagai perkhidmatan yang disampaikan menerusi medium teknologi maklumat dengan sedikit atau tidak ada intervensi manusia daripada pembekal perkhidmatan.

    Contoh perkhidmatan digital termasuk perisian, aplikasi, permainan video, perkhidmatan striming muzik dan filem, media berasaskan langganan, pangkalan data dan perkhidmatan penyimpanan awan, pengiklanan dan platform dalam talian, termasuk ruang iklan dalam talian pada platform media tidak ketara dan menawarkan platform untuk berdagang produk atau perkhidmatan, serta enjin carian dan rangkaian sosial.

    Sumber