Blog

  • 10 taman tema air yang boleh anda kunjungi

    10 taman tema air yang boleh anda kunjungi

    1) Taman Tema Escape, Pulau Pinang

    Taman Tema Escape yang terletak di Teluk Bahang, Georgetown ini dibuka untuk orang ramai pada pertengahan 2013 dan mempunyai 17 tarikan permainan.

    Pelbagai aktiviti menarik disediakan buat pengunjung antaranya permainan lasak dan permainan air. Apa yang menarik di sini ialah gelongsor air terpanjang di dunia yang mendapat pengiktirafan Guinness World Records.

    Taman tema ini dibuka setiap hari kecuali Isnin, bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang.

    Foto: FB Escape Theme Park, Penang

    2) Bukit Gambang Water Park

    Bukit Gambang Resort City yang terletak di Gambang, Kuantan, Pahang ini adalah destinasi ideal untuk anda terokai dan bersuka ria bersama anak-anak.

    Antara tarikan utama ialah Gambang Water Park yang mempunyai pelbagai permainan air yang menyeronokkan dan mencabar.

    Bukan itu sahaja, Safari Park & Active Academy yang menempatkan pelbagai haiwan liar dari hutan. Bagi remaja, Active Academy menyediakan aktiviti outdoor menarik seperti menunggang ATV, flying fox, paintball dan memanah.

    Foto: Bukit Gambang Resort City, Kuantan (BGRC)

    3) Bangi Wonderland Themepark & Resort

    Taman tema air yang terletak di Bangi, Selangor ini adalah destinasi menarik kerana begitu padat dengan permainan air yang menyeronokkan seperti Body Slide, Spiralax, The Fall, Insane Racer, Anaconda Tail, Wonderloop, Boomeriang dan Magic Funnel.

    Taman tema air ini turut menempatkan Kids Adventure yang memiliki enam buah gelongsor yang membawa mereka ke sebuah taman permainan air di tengah kolam.

    Foto: Facebook Bangi Wonderland Themepark & Resort

    4) Bukit Merah Laketown Resort

    Taman tema air ini berkonsepkan mesra alam sekitar. Antara tempat permainan untuk kanak-kanak adalah Boomerang, Sandy Beachfront Wave Pool, Water Speed Slides, Body Slides, Giant Tube Rides dan Kids Adventure River.

    Bagi mereka yang mahukan percutian bertemakan alam semula jadi, bolehlah menginap di Bukit Merah Laketown Resort.

    Foto: Facebook Bukit Merah Laketown Resort

    5) The Carnivall Waterpark

    Taman tema ini terletak di Sungai Petani, Kedah dan telah dibuka kepada orang ramai sejak 2006 lagi. Pelbagai permainan menarik disediakan antaranya Tornado Twist, Tsunami Wave, Mushroom Fall, Boomerang Fall dan Splash Mansion.

    Harga tiket masuk bagi dewasa ialah RM30 manakala kanak-kanak RM22.

    Foto: Facebook The Carnivall Waterpark

    6) Melaka Wonderland Theme Park & Resort

    Melaka Wonderland Theme Park & Resort yang terletak di Ayer Keroh ini mempunyai pelbagai permainan air seperti wave pool, water slides, aqua bubble, tornado chaser dan juga boat rides. Lokasinya yang strategik iaitu berdekatan dengan Zoo Melaka dan tidak jauh dari bandar Melaka menjadi tarikan utama.

    Foto: Facebook Melaka Wonderland Theme Park & Resort

    7) Taman Air DarulMakmur, Jerantut

    Taman tema baharu terletak di Jerantut ini dibuka kepada orang ramai pada 14 September lalu.

    Antara tarikan ialah tiga kolam utama, kolam kanak-kanak dan kolam luncur yang dinamakan mengikut pokok-pokok yang terdapat di Taman Negara Jerantut iaitu Tasik Meranti, Pantai Cengal dan Lubuk Tualang.

    Bagi yang berkeluarga, terdapat 15 gazebo untuk disewa. Harga tiket masuk bagi dewasa ialah RM16 dan kanak-kanak RM13.

    Foto: Facebook Taman Air DarulMakmur

    8) Wet World Air Panas Pedas Resort

    Wet World Air Panas Pedas adalah taman tema air panas yang pertama di Negeri Sembilan, yang terletak di jalan Seremban – Rembau. Taman tema ini mempunyai air panas yang mengandungi mineral yang membantu menyihatkan badan dengan melegakan sakit sendi, sakit badan dan pelbagai penyakit kulit.

    Selain itu, taman tema ini juga mempunyai mini zoo dan Reflexology walk.

    Foto: http://wetworld.my/air-panas-pedas/attractions/

    9) Adventure Waterpark Desaru Coast

    Adventure Waterpark Desaru Coast yang terletak di Bandar Penawar, Johor ini merupakan tempat pilihan untuk bermandi manda di Malaysia selain Legoland Malaysia Waterpark.

    Antara permainan menarik ialah tidal wave, kids anoy, riptide, surf wall, beachside cabanas, super twister dan banyak lagi.

    Terdapat juga permainan roller coaster yang akan menurun secara menjunam dari ketinggian 30 meter sebelum menuju laju masuk ke kolam air.

    Foto: Facebook Adventure Waterpark Desaru Coast

    10) Borneo Samariang Water Park

    Taman tema air pertama di Kuching ini pasti menjanjikan keseronokan buat anda sekeluarga. Ia bukan hanya sesuai untuk kanak-kanak tetapi untuk dewasa juga. Antara permainan air yang menarik Sky Drop Rides, Family Raft Rides dan 6 Lance Racer.

    Harga tiket bagi dewasa RM38 manakala kanak-kanak dengan ketinggian 90cm ke atas dan 12 tahun ke atas RM28 dan kanak-kanak bawah 90cm adalah percuma.

    Foto: Facebook Borneo Samariang Resort City

    Sumber

  • Nad Zainal pencinta kebaya vintaj

    Nad Zainal pencinta kebaya vintaj

    PELAKON berbakat besar Nad Zainal antara pencinta tegar busana tradisional khususnya koleksi kebaya vintaj.

    Pemilik nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin itu menyifatkan kebaya merupakan pakaian masyarakat Melayu Nusantara yang memiliki nilai estetika. Lihat sahaja penampilan beliau tatkala mengatur langkah di atas karpet merah pada majlis anugerah berprestij.

    Nampaknya, ibu kepada Fahad Ibrahim Muhammad Faliq tersebut lebih selesa menyarungkan kebaya lengkap berkain sarung. Ini termasuklah, mengenakan solekan, dandanan rambut dan aksesori yang tampak senada dengan konsep tradisional.

    “Saya melihat pakaian tradisional bukan sahaja cantik, bahkan elegan, sopan dan ideal digayakan dalam apa jua majlis ataupun acara. Bagaimanapun, adalah lebih manis sekiranya busana kebaya itu dipadankan bersama kain sarung berbanding item moden khususnya ketika menghadiri majlis formal.

    “Jika orang Barat mempunyai gaunnya, begitu juga masyarakat Melayu yang seharusnya berbangga dan berusaha memartabatkan pakaian busana tradisional kita yang menjadi lambang warisan pada budaya tempatan,” jelasnya kepada Femina baru-baru ini.

    Tambah Nad yang meminati kebaya sejak menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada tahun 2007, setakat ini direkodkan beliau telah memiliki lebih 100 pasang kebaya yang dikumpul seawal usia 17 tahun.

    “Saya lebih gemar mengumpul kebaya konsep klasik dan unik berbanding potongan moden. Kebanyakan kebaya rekaan sedemikian saya peroleh di pusat beli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya.

    “Di sana terdapat seorang pengusaha menjual variasi kebaya vintaj yang memiliki nilai sentimental istimewa. Bayangkan, saya boleh membelinya pada harga serendah RM15, tetapi kini abang berkenaan telah berpindah,” tutur beliau yang turut mengenakan kebaya pada majlis malam berinai sebelum melangsungkan pernikahan bersama Muhammad Faliq Amirudin.

    Sumber

  • Kebaya nyonya tidak ditelan zaman

    Kebaya nyonya tidak ditelan zaman

    EMMY Sahar, 62, sedang tekun melakar lukisan corak sulaman di atas helaian kertas minyak. Tiba-tiba tangannya berhenti seketika dek terkenangkan memori manis dikendong ibunya pada usia dua tahun.

    Pada tempoh tersebut, arwah ibunya, Roslalainy Marhum adalah orang yang paling gembira kerana berjaya membuka sebuah butik menjahit busana tradisional kebaya nyonya di Jalan Laksamana sekitar tahun 1959.

    Berbekalkan kudrat dimiliki, arwah ibunya bersengkang mata menyiapkan tempahan baju kebaya nyonya yang dicaj RM5 sepasang.

    Walaupun sudah 60 tahun berlalu, namun, memori zaman kanak-kanak Emmy masih segar di ingatan, lebih-lebih lagi imbasan tatkala bermain dengan tiga adiknya di dalam butik yang diberikan nama Butik Toko Ce Rose.

    Jika penat bermain Emmy duduk bersandar di sebelah Roslalainy. Beliau memerhatikan ketekunan, kegigihan dan ketelitian ibunya melukis corak sulaman motif flora dan fauna untuk dijadikan sepasang kebaya nyonya.

    Bagi Emmy, kebaya nyonya sering mendapat tempat dalam hati pelbagai kaum di negara ini kerana pakaian peranakan Cina itu membuatkan penampilan pemakai tampak klasik dan ayu. Apatah lagi, dipadankan bersama kain batik sarung dan aksesori untuk melengkapkan gaya.

    “Walaupun Melayu, Cina, India, Portugis dan Malabar mempunyai pakaian tradisional masing-masing, namun kebaya nyonya tetap menjadi pilihan. Ini disebabkan busana ini selesa dipakai bukan sahaja pada musim perayaan, tetapi ketika menghadiri majlis rasmi termasuk perkahwinan, pertunangan, makan malam dan dijadikan pakaian harian.

    “Ia secara tidak langsung membuktikan kebaya nyonya adalah simbol perpaduan dan kesaksamaan. Semua wanita tanpa mengira kaum boleh memakainya,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

    Emmy berkata, beliau bersama anak bongsunya Ezrizikri Kamarazaman, 31, dengan bantuan kira-kira 60 pekerja tukang jahit menghasilkan lebih 100 corak sulaman bermotifkan flora, fauna, geometri dan abstrak buat penggemar busana tradisional itu baik dari dalam mahupun luar negara.

    Menurut Emmy seawal usia dua tahun lagi beliau didedahkan dengan budaya Baba Nyonya. Ia berikutan jiran-jiran di sekeliling rumah arwah ibu dan neneknya di sekitar Bandar Hilir, Melaka merupakan komuniti peranakan Cina yang fasih bertutur bahasa dan mengamalkan adat istiadat Melayu.

    “Ramai rakan arwah ibu merupakan Baba Nyonya. Ketika usia arwah ibu 23 tahun, beliau menerima tempahan menjahit pakaian lelaki dan wanita komuniti itu bermula dengan rakan-rakan terdekat dan berkembang kerana ramai berpuas hati dengan hasil jahitannya,” katanya.

    Minat seni sulaman

    Emmy seorang ibu tunggal memberitahu, sulaman pada baju kebaya Nyonya yang ditawarkan di butik berusia enam dekad tersebut dihasilkan secara manual menggunakan jahitan tangan bagi menghasilkan sulaman yang kemas, teliti dan berkualiti.

    “Sejak kecil, saya diajar oleh arwah ibu untuk melukis corak sulaman kebaya nyonya. Ilmu itu saya sampaikan pula kepada tiga anak agar seni warisan itu dapat disampaikan pula kepada generasi seterusnya. Rugilah jika seni kemahiran itu tidak diwarisi.

    “Oleh kerana minat mendalam terhadap pakaian ini, ketika umur belasan tahun, saya mula membantu arwah ibu mengambil tempahan sedikit demi sedikit. Saya mula belajar menjahit seni sulam biku dan dari sulam biku bertambah kepada sulaman motif dan sulaman kerawang,” katanya.

    Menurut beliau, selain kebaya nyonya sulaman menggunakan tangan, butiknya juga menghasilkan kebaya nyonya sulaman menggunakan mesin elektrik. Pelanggan diberi pilihan sama ada mahu kebaya nyonya menggunakan kain kasa rubia Jepun atau swiss voil.

    “Jika corak menggunakan sulaman manual, ia akan disiapkan dalam tempoh antara enam hingga lapan bulan, manakala sulaman menggunakan mesin elektrik, boleh disempurnakan dalam tempoh seminggu. Harganya pula adalah antara RM100 dan RM300 atau RM1,000 dan RM4,500,” katanya.

    “Kebaya nyonya yang disulam menggunakan mesin elektrik siap dalam tempoh singkat kerana ia hanya menggunakan tiga warna benang berbanding sulaman secara manual yang menggunakan kira-kira 24 warna benang yang akan ditukar-tukar bagi menghasilkan corak yang nampak lebih hidup,” jelas Emmy.

    Menurutnya, Butik Toko Ce Rose menyasarkan jualan sebanyak RM100,000 pada penghujung tahun ini selain bercadang untuk meluaskan perniagaan kasut manik nyonya dalam masa terdekat.

    EMMY (kanan) dan Ezrizikri (tengah) menerangkan corak sulaman kebaya nyonya kepada pengunjung Butik Toko Ce Rose, Bandar Hilir, Melaka.

    EMMY (kanan) dan Ezrizikri (tengah) menerangkan corak sulaman kebaya nyonya kepada pengunjung Butik Toko Ce Rose, Bandar Hilir, Melaka.

    Generasi ketiga mewarisi

    Bicara Emmy, tiga anaknya tidak hanya diajar melukis corak sulaman. Sebaliknya langkah demi langkah diperturunkan kepada mereka termasuk menjahit corak sulaman menggunakan pemidang kayu atau ram, sehinggalah menjadi sepasang baju kebaya nyonya.

    “Jadi setiap tahun saya dan anak-anak akan bersama-sama menyediakan corak sulaman tersebut di helaian kertas minyak bersaiz A4 sebelum dilukis pada kain kasa rubia untuk dijadikan kebaya nyonya. Dari masa ke masa saya sekeluarga perlu memastikan corak itu adalah berbeza antara satu sama lain,” katanya.

    Ezrizikri yang berkecimpung dengan penghasilan corak sulaman sejak berusia 10 tahun adalah generasi ketiga dalam keluarganya yang mengusahakan kebaya nyonya bersama ibunya selain dibantu oleh kakaknya Ezriawiwin, 39, dan abangnya Ezwandi, 35.

    Katanya dia berasa amat bertuah dilahirkan dalam keluarga yang mahir melukis corak sulaman dan menjahit kebaya nyonya kerana dapat mewarisi seni sulaman yang hampir pupus kerana ramai tidak mempunyai ilmu menjahit sulaman.

    “Insya-ALLAH, ilmu ini saya akan perturunkan kepada anak dan seterusnya kepada cucu supaya tidak lenyap ditelan zaman dan arus pemodenan. Walaupun sekiranya mereka tidak berminat, bakat mereka tetap perlu diasah agar legasi kami dapat diteruskan,” kata Ezrizikri yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Elektronik) dari Universiti Teknologi Malaysia.

    Butik Toko Ce Rose

    -Nama butik merupakan panggilan mesra Roslalainy dalam kalangan rakan-rakan.

    -Para pelanggan terdiri daripada masyarakat Baba Nyonya, Cina, India, Portugis dan Chetti/Malabar.

    -Selain Malaysia, Butik Toko Ce Rose juga menerima tempahan dari China, Singapura, Indonesia, Brunei dan Jepun serta Los Angeles, Amerika Syarikat.

    Sumber

  • Hukum letak gambar orang sudah meninggal sebagai ‘wallpaper’ komputer

    Hukum letak gambar orang sudah meninggal sebagai ‘wallpaper’ komputer

    FOTO atau gambar merupakan salah satu tanda kenangan untuk mengingati momen tertentu dalam kehidupan kita.

    Seakan menjadi ‘kewajipan’ kita untuk merakam gambar kenangan menerusi kamera atau telefon bimbit masing-masing apabila menghadiri satu acara, perjumpaan dan sebagainya.

    Apatah lagi, jika gambar bersama keluarga terutama ketika anak masih dalam proses membesar atau bertemu kaum kerabat jauh mahupun kenalan yang jarang dijumpai.

    Apa diharapkan, setidak-tidaknya, gambar itu boleh menjadi tatapan kita pada masa depan untuk menggamit memori lalu.

    Begitupun, apabila individu yang dirakam fotonya sudah meninggal dunia, bolehkah kita meletakkan gambar mereka sebagai wallpaper di komputer dan sebagainya?

    Apakah hukumnya jika kita berbuat demikian?

    Dalam hal itu, tiada salahnya kita meletakkan gambar orang yang sudah meninggal dunia sebagai wallpaper dalam komputer dan sebagainya kerana ia diharuskan.

    Lebih-lebih lagi jika gambar tadi sekadar untuk kita mengingati mereka yang sudah tiada lagi di dunia dan menyebabkan kita membacakan al-Fatihah untuknya.

    Namun, ia menjadi haram jika gambar-gambar tadi dipuja atau diagung-agungkan secara berlebih-lebihan.

    Ia seperti mana yang berlaku pada umat-umat terdahulu.

    Pada mulanya, mereka mengukir batu menyamai orang-orang soleh atau kenamaan yang telah meninggal dunia pada zaman mereka untuk mengingati pengorbanan individu berkenaan.

    Malangnya, patung-patung tersebut disembah dan dipuja.

    Disebabkan itulah Islam amat menjaga dan ingin menutup segala peluang atau ruang yang boleh digunakan oleh musuh-musuh Islam terutamanya syaitan.

    Ya, kita semua tahu bahawa syaitan ‘bertugas’ untuk memperdayakan manusia dan menyemai benih kekufuran dalam hati umat Islam.

    Apapun, berhati-hatilah dalam setiap tindak-tanduk yang kita lakukan agar tidak terkeluar daripada landasan agama.

    (Sumber: Portal rasmi kemusykilan agama, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

    Sumber

  • Beras Cap Rambutan diiktiraf

    Beras Cap Rambutan diiktiraf

    BERAS Cap Rambutan mementingkan kualiti dan keselamatan makanan serta memiliki sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 13 tahun lalu.

    Pengarah Jualan OEL Holdings, Sam CL Khor berkata, Cap Rambutan yang ditubuhkan pada 1983 di Kedah mempunyai pengalaman selama 36 tahun dalam industri padi dan beras negara.

    Menurutnya, status halal penting dalam pasaran bagi membolehkan pengguna menggunakan beras Cap Rambutan tanpa sebarang keraguan.

    Kuan Chor (dua dari kiri) dan pengurusan OEL Realty Holdings Sdn Bhd bergambar bersama trofi dan sijil Best Healthy Rice AHBA 2019 yang diterima kelmarin. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Kuan Chor (dua dari kiri) dan pengurusan OEL Realty Holdings Sdn Bhd bergambar bersama trofi dan sijil Best Healthy Rice AHBA 2019 yang diterima kelmarin. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    “Bukan mudah Jakim mengeluarkan sijil halal ini kerana perlu mematuhi prosedur ketat termasuk penilaian daripada segi kebersihan, keselamatan makanan dan barang penggunaannya, barulah ia diiktiraf.

    “Selain menjaga kualiti dan keselamatan makanan, syarikat turut mengutamakan servis dan perhubungan pelanggan selari dengan tagline Kami Dengar, Kami Prihatin, Kami Sampaikan.

    “Kami percaya dengan adanya hubungan erat dengan pelanggan dapat mendengar apa yang mereka inginkan dan barulah kami dapat menghasilkan produk yang berkualiti secara berterusan untuk pelanggan kami,” katanya.

    Wan Suraya (dua dari kiri) merasmikan Malam Gala AHBA 2019 di Kuala Lumpur. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Wan Suraya (dua dari kiri) merasmikan Malam Gala AHBA 2019 di Kuala Lumpur. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Anugerah Asia Halal Brand (AHBA) 2019 di Hotel Shangri La di sini malam kelmarin.

    Pada majlis berprestij itu, Beras Cap Rambutan menang kategori Best Healthy Rice yang anugerahnya disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi kepada Pengarah Urusan OEL Realty Holdings Sdn Bhd, Heng Kuan Chor.

    x-default

    x-default

    Kuan Chor berkata, kemenangan itu penting untuk meningkatkan keyakinan pengguna dalam pasaran untuk memilih beras Cap Rambutan sebagai pilihan utama

    “Cap Rambutan membuktikan beras keluaran OEL Realty Holdings adalah selamat, suci dan bersih serta mengikut piawaian ditetapkan oleh Jakim.

    “Pengguna boleh gunakannya tanpa ada keraguan dan harapan saya ia akan menambahkan lagi penjualan Cap Rambutan dalam pasaran tempatan pada masa akan datang,” katanya.

    Kuan Chor (dua dari kiri) menerima anugerah kategori Best Healthy Rice AHBA 2019 yang disampaikan Wan Suraya. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Kuan Chor (dua dari kiri) menerima anugerah kategori Best Healthy Rice AHBA 2019 yang disampaikan Wan Suraya. – Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Lebih 50 anugerah AHBA 2019 diberikan kepada syarikat dan usahawan yang berjaya dalam industri halal.

    Majlis itu dianjurkan oleh Armani Media dan mendapat sokongan daripada Jakim serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

    Penganugerahan dinilai oleh barisan panel enam panel antaranya Selebriti Chef, Datuk Redzuan Ismail (Chef Wan), wakil Jakim, Mohd Asri Abdullah dan Indonesia Halal Lifestyle Center, Dr H Sapta Nirwandar.

    Barisan 50 pemenang AHBA 2019 bergambar kenangan.- Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Barisan 50 pemenang AHBA 2019 bergambar kenangan.- Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

    Sumber

  • PNS bantu tingkat industri francais tempatan

    PNS bantu tingkat industri francais tempatan

    KOTA BHARU – Walaupun industri francais negara telah mencapai satu tahap membanggakan termasuk lahirnya jenama tempatan terkenal yang berjaya ke persada antarabangsa, namun Perbadanan Nasional (PNS) berpendapat potensi industri francais tempatan masih luas untuk diterokai.

    Ketua Pegawai Operasi (Sokongan Perniagaan) PNS, Azlina Juliana Abd Jalil berkata, bertepatan dengan program Bizfrancais@Kelantan, ia menandakan satu lagi inisiatif pihaknya dalam bentuk kerjasama bersama rakan strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan terutamanya bidang francais, khususnya di negeri ini.

    Menurutnya, kerjasama tersebut dilihat bertepatan pada waktunya bagi membantu

    rakyat tempatan meningkatkan pendapatan selain dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan francais tempatan.

    “Inisiatif ini juga jelas menunjukkan sokongan padu PNS, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terhadap pembangunan usahawan khususnya di dalam bidang francais.

    “Ia juga bukan hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi semata- mata malahan juga aspek pembangunan sosial masyarakat di Kelantan. Ia juga seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional ke arah ”Negara Keusahawanan Unggul 2030” yang telah dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

    Program Bizfrancais@Kelantan yang berlangsung di UMK Kampus Kota hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan dan Pembangunan) PKINK, Mohamad Nasriff Daud dan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pendidikan UMK, Prof Madya Dr Mohammad Ismail.

    Azlina Juliana berkata, program sehari itu melibatkan 400 peserta terdiri daripada usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais serta bantuan ditawarkan PNS.

    Tambah beliau, PNS telah menganjurkan sebanyak enam program dalam siri jelajah BizFrancais di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk mempromosi perniagaan francais secara menyeluruh.

    Katanya, Program BizFrancais di Kelantan adalah lokasi ketujuh dan yang terakhir sebagai penutup tirai dalam siri jelajah Program BizFrancais 2019.

    “Penganjuran program BizFrancais di enam lokasi sebelum ini telah dihadiri oleh lebih 2,000 orang peserta dan telah menjana jumlah permohonan potensi pembiayaan yang bernilai RM28.4 juta,” katanya.

    Pengusaha Piara Group Resources (Cold Time) menerima replika cek bernilai RM112,710 hari ini.

    Pengusaha Piara Group Resources (Cold Time) menerima replika cek bernilai RM112,710 hari ini.

    Katanya lagi, PNS selaku agensi bertanggungjawab di dalam industri tersebut akan sentiasa memberi peluang kepada perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan, serta memberi bantuan bukan sahaja dari segi pembiayaan malah latihan dan konsultansi untuk usahawan pra francaisi.

    “Program Bizfrancais ini adalah salah satu program turun padang PNS yang telah dirancang dengan tujuan memperkenalkan perniagaan francais kepada golongan sasar dengan lebih dekat lagi.

    “PNS yakin dengan adanya program sebegini ia memudahkan bakal usahawan untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim-skim pembiayaan serta latihan yang ditawarkan oleh kami,” katanya.

    Katanya, diharapkan peserta mendapat manfaat daripada program tersebut dalam

    meningkatkan sumber pendapatan dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi industri francais.

    “Ia juga seterusnya dapat menangani jurang ekonomi sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.

    Pada program itu juga pihaknya turut menyampaikan replika cek bernilai RM112,710 kepada Piara Group Resources (Cold Time) yang mengusakan produk minuman beribu pejabat di Pasir Puteh.

    Sementara itu, Wan Roslan menyambut baik sebarang kerjasama dari pelbagai pihak untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Kelantan.

    Sumber

  • Filem Zharfa penampilan istimewa Kaka Azraff

    Dibintangi Kaka Azraff sebagai pelakon utama di samping bintang-bintang Indonesia terkenal seperti Donny Alamsyah, Shelomita dan juga Betari Ayu, filem ini mengisahkan seorang gadis Malaysia bernama Zharfa yang dihantar ke sebuah sekolah agama Islam berasrama di Bandung, Indonesia.

    Oleh kerana gaya hidupnya yang dianggap terlalu bebas oleh ibu dan ayah tirinya, Zharfa dihantar ke sekolah tersebut dengan harapan baru di mana sekolah itu dapat memulihkan akhlak dan melembutkan hatinya.

    Namun seperti yang dijangka Zharfa memberontak dan cuba melarikan diri namun percubaannya gagal dan dia mula terpikat dengan salah seorang ustaz yang juga guru silat di sekolah tersebut (lakonan hebat Donny Alamsyah)

    Zharfa sudah mula ditayangkan di semua pawagam bermula 7 November 2019.

    Filem:Zharfa
    Pengarah:Ruli Wanisar

    Pelakon:Kaka Azraff, Donny Alamsyah, Shelomita, Betari Ayu & Etc.
    Pengedar:Madness Films Movies
    Tarikh Tayangan:7 November 2019


  • ALLAH tidak pernah pilih kasih

    ALLAH tidak pernah pilih kasih

    “SURAH al-Rahman mengajak kita untuk mengenal ALLAH yang Maha Pengasih, iaitu al-Rahman. ALLAH SWT tidak pernah memilih kasih kepada semua makhluk-NYA yang beriman mahupun tidak.”

    Demikian kata Pengasas dan Master Trainer Metode Quantum Reading al-Quran (QRQ), Ustaz Abu Rabbani pada sesi tadabbur surah berkenaan di Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour 12.0 pada 14 November lalu.

    Barangkali ada yang mengatakan ALLAH SWT tidak adil. Pun begitu, beliau menjelaskan, begitu banyak nikmat yang dikurniakan Pencipta segala makhluk itu hingga tidak terhitung jumlahnya.

    “ALLAH SWT tidak pernah mengurangkan nikmatnya atau memutuskan rezeki kepada hamba-NYA walaupun ada kalangan mereka tidak taat dengan perintah-NYA. Contohnya, udara yang dihirup tanpa batasan untuk kita hidup,” jelas beliau pada program tersebut di Putrajaya baru-baru ini.

    ALLAH SWT berfirman: “Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya, ALLAH benar-benar Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Nahl, ayat 18)

    Al-Quran nikmat tertinggi

    Ketahuilah bahawa al-Quran merupakan nikmat tertinggi yang ALLAH anugerahkan kepada hamba-hamba-NYA, sebagaimana disebut dalam Surah al-Rahman, ayat 2.

    Kehidupan kita berbahagia di dunia dan di akhirat dengan berpandukan kepada al-Quran dan hadis peninggalan Rasulullah SAW.

    Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara, sekali-kali kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan keduanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunah Rasulullah SAW.” (Riwayat Imam Malik)

    Sebelum itu, Ustaz Abu Rabbani berkongsi kaedah QRQ kepada 60 peserta Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour di atas Cruise Putrajaya sepanjang dua jam program itu berlangsung, bermula jam 10 pagi.

    “QRQ merupakan kaedah mudah membaca al-Quran secara tartil dalam masa tiga jam di bawah program Excellence Training QRQ.

    “Bacaan al-Quran secara tartil meliputi konsisten membaca harakat meliputi ‘mad’ dan ‘ghunnah’, fasih pengucapan huruf (makhraj dan sifat), memahami waqaf, ibtida’ dan ayat-ayat gharibah (ayat-ayat khusus dan istilah dalam al-Quran).

    “Kaedah QRQ mampu mendorong orang ramai untuk mempelajari al-Quran, seterusnya membaca, memahami dan mengamalkannya sehingga merasakan tidak lengkap hari yang dilalui tanpa membaca al-Quran,” katanya.

    Seawal 8.30 pagi, peserta berkumpul di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya untuk bersarapan pagi dan menunaikan solat Dhuha berjemaah.

    Mereka kemudian pergi ke jeti Umai Cafe untuk menaiki cruise di bawah pengendalian Marina Putrajaya Sdn Bhd untuk ‘perjalanan’ kerohanian.

    Program berinteraksi dengan al-Quran itu dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi memberi pengalaman ‘perjalanan’ kerohanian kepada peserta.

    Sesiapa yang berminat untuk menyertai Putrajaya Dhuha Cruise #QuranHour boleh menghubungi Pengurus Projek Cruise Putrajaya #QuranHour, Rozalina Mohamed di 013-394 6471.

    Sumber

  • Hukum susukan anak sejurus bersama suami

    Hukum susukan anak sejurus bersama suami

    SEORANG ibu muda mempunyai bayi yang masih menyusu badan.

    Namun, dia dalam dilema apabila memikirkan tindakannya yang menyusukan bayi sejurus bersama suaminya tanpa mandi wajib atau berwuduk terlebih dahulu.

    Di benaknya tertanya-tanya apakah hukumnya apabila dia berbuat demikian? Lantas, wanita itu mengajukan persoalan berkenaan kepada ustaz.

    Dalam hal itu, harus seorang wanita apabila telah bersama dengan suaminya, segera mendapatkan anaknya untuk disusukan.

    Masalah itu dikiaskan dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang sahih riwayat Muslim bahawa ada sahabat bersama dengan isterinya dalam tempoh menyusukan anak.

    Imam al-Nawawi menyatakan, perkara itu diperselisihkan oleh para ulama kerana dibimbangi kesan sampingan menyusu kepada anak.

    Namun begitu, bersama isteri dalam tempoh menyusukan adalah diharuskan, seperti kata Imam Ibn al-Qayyim dan selainnya.

    Maka hukumnya adalah harus, selagi mana tidak terdapat bukti perbuatan menyusukan anak dalam keadaan selepas bersama suami boleh memberikan mudarat dan kesan sampingan kepada anak yang disusui.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Bvlgari terima pengiktirafan Jeweller of Time

    Bvlgari terima pengiktirafan Jeweller of Time

    SEMEWAH rekaannya, jam tangan Serpenti Misteriosi Romani menjadi yang paling mahal pernah dicipta dalam industri pembuatan aksesori masa dunia dengan harga hampir mencecah dua juta Euro (RM9.2 juta).

    Lebih mengagumkan, karya teragung Bvlgari yang melambangkan gladiator purba dan permata antik itu dihiasi batu nilam biru di atas kepala dan mata ular dengan kekemasan berlian cukup menggoda.

    Sekali pandang, tidak ubah seperti perhiasan emas Cleopatra yang terkenal ketika zaman primitif Mesir dengan harga tidak masuk akal.

    Tetapi itulah keunikan Bvlgari yang bijak menggabungkan seni ukiran perhiasan dalam rekaan jam tangan sehingga diiktiraf sebagai Jeweller of Time.

    REKAAN jam tangan mewah Serpenti Misteriosi Romani yang melambangkan gladiator purba dan permata antik.

    REKAAN jam tangan mewah Serpenti Misteriosi Romani yang melambangkan gladiator purba dan permata antik.

    Bukan itu sahaja, jam tangan Octo Finissimo Chronograph GMT Automatic turut menerima pengiktirafan sama apabila berjaya menarik perhatian juri sempena Grand Prix D’Horlogerie De Geneve 2019 baru-baru ini.

    Menurut satu kenyataan media, pengiktirafan umpama anugerah ‘Oscars’ tersebut sebagai satu penghormatan terhadap inovasi ceria dan kreativiti Bvlgari dalam setiap ciptaannya.

    “Penghargaan berprestij itu turut memperakui keanggunan gabungan pakar Swiss dengan rekaan sangat inventif persis gaya Itali,” katanya.

    MODEL rekaan Octo Finissimo Chronograph GMT Automatic yang dilancarkan di Baselworld 2019 itu meneruskan tradisi sebagai ikon pemecah rekod dunia buat kali kelima berturut-turut.

    MODEL rekaan Octo Finissimo Chronograph GMT Automatic yang dilancarkan di Baselworld 2019 itu meneruskan tradisi sebagai ikon pemecah rekod dunia buat kali kelima berturut-turut.

    Sumber