Nad Zainal pencinta kebaya vintaj

Nad Zainal pencinta kebaya vintaj

PELAKON berbakat besar Nad Zainal antara pencinta tegar busana tradisional khususnya koleksi kebaya vintaj.

Pemilik nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin itu menyifatkan kebaya merupakan pakaian masyarakat Melayu Nusantara yang memiliki nilai estetika. Lihat sahaja penampilan beliau tatkala mengatur langkah di atas karpet merah pada majlis anugerah berprestij.

Nampaknya, ibu kepada Fahad Ibrahim Muhammad Faliq tersebut lebih selesa menyarungkan kebaya lengkap berkain sarung. Ini termasuklah, mengenakan solekan, dandanan rambut dan aksesori yang tampak senada dengan konsep tradisional.

“Saya melihat pakaian tradisional bukan sahaja cantik, bahkan elegan, sopan dan ideal digayakan dalam apa jua majlis ataupun acara. Bagaimanapun, adalah lebih manis sekiranya busana kebaya itu dipadankan bersama kain sarung berbanding item moden khususnya ketika menghadiri majlis formal.

“Jika orang Barat mempunyai gaunnya, begitu juga masyarakat Melayu yang seharusnya berbangga dan berusaha memartabatkan pakaian busana tradisional kita yang menjadi lambang warisan pada budaya tempatan,” jelasnya kepada Femina baru-baru ini.

Tambah Nad yang meminati kebaya sejak menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada tahun 2007, setakat ini direkodkan beliau telah memiliki lebih 100 pasang kebaya yang dikumpul seawal usia 17 tahun.

“Saya lebih gemar mengumpul kebaya konsep klasik dan unik berbanding potongan moden. Kebanyakan kebaya rekaan sedemikian saya peroleh di pusat beli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya.

“Di sana terdapat seorang pengusaha menjual variasi kebaya vintaj yang memiliki nilai sentimental istimewa. Bayangkan, saya boleh membelinya pada harga serendah RM15, tetapi kini abang berkenaan telah berpindah,” tutur beliau yang turut mengenakan kebaya pada majlis malam berinai sebelum melangsungkan pernikahan bersama Muhammad Faliq Amirudin.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *