Blog

  • Flower Gaming tunjuk taring

    Flower Gaming tunjuk taring

    KELINCAHAN jari jemari menekan konsul dan papan kekunci tanpa henti selain strategi perlawanan tersendiri membawa tuah buat lima sahabat yang cukup taksub dengan permainan e-sukan.

    Siapa sangka, mereka yang juga ahli pasukan Flower Gaming itu bergelar juara Liga Predator Asia Pasifik 2020 – Defense of the Ancients 2 (Dota 2) Malaysia sempena kejohanan baru-baru ini.

    Merujuk satu kenyataan, pasukan yang diketuai Choo Jian ‘Mozun’ Goh itu mempamerkan rekod cemerlang tanpa sebarang kekalahan selepas menewaskan pasukan CDEC.Avenger dengan mata 2-0 dalam pusingan akhir.

    “Berkat berpengalaman dan skil cukup berbisa, keserasian Mozun Goh bersama Hsien Wan ‘Lance’ Fua, Yi Liong ‘DDZ’ Kok, Wei Loon ‘CandyLoon’ Ho dan Paul ‘Barry’ Tan Ke Da merangka strategi perlawanan mampu memberikan saingan hebat terhadap pasukan lawan.

    “Bukan sahaja membawa pulang ganjaran wang tunai RM25,000, mereka juga akan mewakili Malaysia untuk mara ke cabaran seterusnya di Filipina pada 22 Februari sehingga 23 Februari nanti,” kata kenyataan itu.

    Sementara itu, juara Liga Predator Asia Pasifik 2020 – PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) Malaysia masih menjadi tanda tanya memandangkan pusingan akhir akan berlangsung di Battle Arena, Petaling Jaya pada 7 Disember sehingga 8 Disember ini.

    Kedua kejohanan e-sukan peringkat Asia Pacifik yang berlangsung serentak di Manila, Filipina itu nanti akan menyaksikan sebanyak 17 negara bertanding demi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM1.67 juta.

    Bukan setakat Malaysia, negara lain yang turut berentap seperti Australia, Hong Kong, India dan Jepun.

    Sumber

  • Bolehkah tangguh solat dengan alasan pakaian kotor?

    Bolehkah tangguh solat dengan alasan pakaian kotor?

    “EH, engkau solatlah dulu. Seluar aku kotorlah. Tadi aku duduk atas tanah. Aku tak ada seluar lain. Nanti sampai rumah, aku tukar seluar dulu baru solat.”

    “Baju saya kotor sebab terkena sambal semasa makan tadi, saya waswas nak solat sebab pakaian kotor, nanti balik rumah baru saya solat.”

    Barangkali itulah alasan-alasan yang diberikan orang di sekeliling kita ketika mengajak mereka solat.

    Ya, kadangkala situasi itu membuatkan segelintir orang keliru kerana bagi mereka, hendak menghadap ALLAH mestilah dalam keadaan yang bersih dan cantik.

    Namun, bolehkah kita menggunakan alasan-alasan berkenaan untuk menangguhkan solat?

    Ketahuilah bahawa syarat sah solat adalah menghindari badan, tempat solat dan pakaian daripada najis.

    Dalam erti kata lain, solat tidak sah jika salah satu kawasan yang disebutkan itu terkena najis.

    Firman ALLAH SWT dalam surah al-Muddathir, ayat 4: “Dan pakaian kamu hendaklah engkau sucikan.”

    Para ulama tafsir menyatakan, maknanya boleh diambil secara zahir iaitu menyucikan pakaian ataupun secara batin iaitu menyucikan diri daripada syirik, takabbur dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

    Imam Ibnu ‘Abidin menyatakan, najis ialah sesuatu yang dapat dilihat yang merupakan kotoran daripada sudut syarak seperti tahi, air kencing, bangkai, anjing dan babi serta selainnya.

    Adapun, tanah hukum asalnya adalah suci selagi mana tidak terdapat najis padanya. Disebabkan itu, jika tiada air, maka tanah digunakan sebagai alat untuk bertayamum.

    Begitu juga dengan sambal, kicap ataupun sos, jika terkena pada pakaian tidak dianggap kotor.

    Semoga jawapan itu memberikan pencerahan kepada masyarakat yang masih keliru tentang hal berkenaan.

    Jangan kita ‘mencipta’ alasan untuk menangguhkan solat.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Cherita Empat kombinasi klasik moden, imej pahlawan Melayu

    Cherita Empat kombinasi klasik moden, imej pahlawan Melayu

    BAGAIKAN mengimbau nostalgia dahulukala, imej ikon pahlawan Melayu lengkap persalinan baju silat dan bertanjak terletak kemas pada bahagian hadapan baju-T itu memberikan definisi baharu fesyen tempatan.

    Menariknya, sisi kemelayuan pada item fesyen moden itu tidak terhad di situ sahaja. Logo tulisan berangkai Cherita Empat turut dieja persis Melayu klasik menonjolkan lagi keunikan rekaan Gondola31 tersebut.

    Setiap elemen dan motif yang diketengahkan bukannya sekadar hiasan semata-mata. Hakikatnya, ia memiliki takrif tersendiri termasuk pemakaian tanjak membawa simbol kekuatan kepahlawanan Melayu asli yang tidak ditelan dek zaman.

    Lakaran ikon pahlawan yang menunduk dan tersenyum itu menjadi simbolik pada sifat kesopanan para jejaka. Sinonim dengan fesyen lelaki, koleksi edisi terhad berkenaan hanya memiliki rona ungu gelap dan putih.

    Bagi mengelakkan rekaan tampak polos, corak bunga raya menghiasi bahagian kolar, pergelangan dan lengan baju selain cetakan songket konsep samar pula diterapkan pada keseluruhan baju-T terbabit.

    Menyentuh dari segi material, baju-T Cherita Empat diperbuat daripada fabrik jersi demi keselesaan si pemakai lebih-lebih lagi sesuai dengan cuaca Malaysia yang panas dan lembap.

    Untuk kelihatan lebih swag, baju-T itu boleh dipadankan dengan aksesori jaket bomber atau jaket kulit dan cermin mata hitam ketika keluar bersantai.

    ANEKDOT

    KOLEKSI Cherita Empat

    Saiz: XS hingga XXL

    Harga: RM50

    Instagram: @gondola.31

    Sumber

  • SSPN catat keuntungan pelaburan RM151.50 juta suku ketiga 2019

    SSPN catat keuntungan pelaburan RM151.50 juta suku ketiga 2019

    SKIM Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun 2019 berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataannya semalam memaklumkan, prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

    “Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global,” menurut kenyataan itu.

    Pada 2018, PTPTN berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar empat peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta.

    Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen tersebut.

    Untuk rekod pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah deposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta pada tempoh sama pada 2018.

    Menurut kenyataan itu juga, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion.

    “PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi 2019 adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

    “Unjuran ini adalah berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

    “Di samping itu, ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan menerusi Bajet 2019,” menurut kenyataan itu.

    SSPN merupakan instrumen simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ di samping menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran sepadan dan perlindungan takaful.

    Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif yang ditawarkan serta kesedaran masyarakat berkenaan penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September 2019 sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN dibuka dan dijangka pembukaan akaun akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

    Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019 sebanyak 4.26 juta akaun SSPN dibuka sejak dilancarkan pada 2014.

    Sumber

  • Larangan bergambar di kawasan perkuburan

    Larangan bergambar di kawasan perkuburan

    KAWASAN perkuburan merupakan tempat persemadian yang menjadi destinasi terakhir seorang insan apabila meninggal dunia.

    Sewajarnya tanah perkuburan itu menjadi tempat untuk kita mengingati kematian.

    Pun begitu, ada orang yang kurang sensitif dengan hal itu hinggakan merakam gambar di situ, bahkan turut mengadakan sesi fotografi di kawasan berkenaan.

    Apakah hukumnya menjalankan sesi fotografi sama ada untuk perkahwinan ataupun untuk tujuan fesyen di tanah perkuburan Islam atau agama lain?

    Sebelum menjawab persoalan berkenaan, fahamilah bahawa hukum mengambil gambar menggunakan kamera, telefon pintar dan selainnya adalah dibolehkan kerana ia tidak termasuk dalam hadis larangan mengukir atau melukis gambar.

    Sebaliknya, ia terhasil dari pantulan rakaman cahaya.

    Itulah pendapat Sheikh Dr Saad al-Sasyri, seorang ulama besar di Makkah.

    Sementara Sheikh Mustafa al-‘Adawi, ulama besar Mesir meletakkan syarat keharusan itu adalah kerana hajat dan ada kepentingan.

    Sama juga pendapat Sheikh Dr Abdullah al-Mutlaq dan selainnya.

    Adapun, hukum mengambil gambar adalah tidak dibenarkan di perkuburan Islam.

    Lebih-lebih lagi di kubur bukan Islam kerana ia tiada manfaat dan mengguris hati waris kepada si mati jika gambar disebarkan.

    Itu adalah pendapat Sheikh Dr Nasir al-Barrak, Sheikh Ali bin Soleh al-Mari dan selainnya.

    Tambahan pula, ia merupakan perbuatan sia-sia dan menyalahi adab dan tatasusila.

    Saidina Umar al-Khattab berkata: “Peliharalah perkara (keadaan) yang membawa kepada tohmah (fitnah).”

    Oleh itu, tutuplah ruang-ruang yang boleh mendatangkan fitnah dan kecaman kepada Islam.

    ***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

    Sumber

  • Tak sempurna iman jika sakiti perasaan jiran

    Tak sempurna iman jika sakiti perasaan jiran

    JIRAN merupakan salah satu watak penting dalam lakaran kehidupan kita. Kedudukan jiran juga diberikan perhatian penting dari sudut pandang Islam.

    Di samping kita memikirkan tentang jiran kita, jangan lupa, dalam masa yang sama kita juga ialah jiran kepada orang lain.

    Berbuat baik kepada jiran adalah tuntutan agama. Bahkan, perintah itu disebut dengan diikat bersama perintah menyembah ALLAH dan tidak melakukan syirik. Ia menggambarkan satu perintah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh sepertimana yang disebut dalam Surah al-Nisa’, ayat 36.

    Berbuat baik kepada jiran dan menjadi jiran yang baik mempunyai kaitan dengan kualiti iman kita. Kesempurnaan iman seseorang bukan hanya bergantung kepada sejauh mana hubungannya dengan ALLAH SWT, bahkan ia juga dilihat bagaimana hubungannya dengan manusia yang lain termasuk jiran terdekat.

    Sebab itu Rasulullah SAW berpesan: “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Riwayat Muslim)

    Jangan abaikan perasaan jiran

    Seseorang yang mengambil berat tentang hubungannya dengan ALLAH, sentiasa beribadah, rajin solat berjemaah di masjid, selalu ikuti pengajian agama, melazimi berpuasa sunat, berdamping dengan al-Quran, mengamalkan zikir-zikir harian dan sebagainya sebenarnya belum terjamin kesempurnaan imannya sekiranya hubungannya dengan jiran diabaikan.

    Lebih malang, jika dia menjadi jiran yang tidak disenangi oleh jiran-jiran yang lain disebabkan tindakan atau kata-katanya.

    Oleh itu, usah memandang remeh hubungan kita dengan jiran-jiran lain. Ia amat diberi perhatian oleh Islam hinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran akan boleh mewarisi hartaku.” (Riwayat al-Bukhari)

    Hakikatnya, jiran bukanlah termasuk dalam senarai ahli keluarga yang berhak mewarisi harta seseorang selepas dia meninggal dunia. Namun, pesanan Jibril kepada baginda SAW itu menunjukkan kedudukan jiran yang sangat penting dalam kehidupan kita.

    Untuk berbuat baik kepada jiran, masing-masing ada kemampuan tersendiri. Tanggungjawab itu juga boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat secara zahir seperti saling bertukar-tukar juadah makanan, menghulur bantuan kewangan jika dalam kesusahan, ziarah-menziarahi, bertanya khabar, tolong-menolong dan bergotong-royong jika ada sesuatu majlis keraian dan sebagainya.

    HORMATI, berbuat baik dan memuliakan jiran merupakan tuntutan agama.

    HORMATI, berbuat baik dan memuliakan jiran merupakan tuntutan agama.

    Selain itu, termasuk dalam berbuat kepada jiran apabila kita menjaga perasaan mereka dan bersemuka dengan wajah tersenyum. Tidak melakukan perkara yang menyusahkan dan memberi mudarat kepada jiran atau menyakitkan hati mereka.

    Contohnya, meletakkan kenderaan kita sesuka hati hingga mengganggu lalu lintas jiran-jiran lain, membuang sampah ke dalam tong sampah jiran, membiarkan haiwan peliharaan kita membuang najis di halaman jiran atau merosakkan tanaman, melepak dan bersembang di luar rumah kita dengan suara yang kuat hingga larut malam dan sebagainya.

    Justeru, jika kita tidak mampu berbuat baik kepada jiran dengan memberi bantuan atau sebagainya, maka jagalah kata-kata dan tindak-tanduk kita jangan sampai menyakiti hati jiran.

    Rasulullah SAW memberi amaran: “Tidak akan masuk syurga orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim)

    Lihatlah betapa beratnya amaran dan ancaman yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap perbuatan menyakiti perasaan jiran.

    Diuji jiran menyakitkan hati

    Bagaimana pula jika kita diuji dengan mempunyai jiran yang menyakitkan hati kita sama ada melalui percakapan atau perbuatannya? Sebenarnya situasi itu pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

    Abu Hurairah menceritakan, ada seorang lelaki bertemu Nabi Muhammad lalu mengadu perihal jirannya. Maka baginda SAW berpesan: “Pergilah dan bersabarlah.” Selepas itu, lelaki tersebut datang mengadu lagi perihal yang sama sebanyak dua atau tiga kali. Lalu Nabi Muhammad mengarahkan: “Pergilah dan campakkanlah barang-barang di rumah kamu ke jalan.” Maka, lelaki tersebut pun mencampakkan barang-barangnya ke jalan hingga menyebabkan orang ramai yang lalu bertanya kepadanya.

    Lelaki tersebut pun menceritakan situasi yang dihadapinya (disakiti jiran).

    Ceritanya tersebut membuatkan orang ramai melaknat jiran tersebut dengan berkata: “ALLAH akan membalas perbuatannya (mendoakan keburukan), ALLAH akan balas dan ALLAH akan balas.” Selepas itu, lelaki tersebut didatangi oleh jirannya dan dia berkata: “Pulanglah, kamu tidak akan mendapat sesuatu yang kamu benci lagi daripadaku”. (Riwayat Abu Daud – dinilai sanadnya baik oleh Syeikh Syu’aib al-Arnaut)

    Berdasarkan hadis itu, tip utama yang Rasulullah pesan jika kita disakiti jiran ialah bersabar. Kemudian, tindakan mencampakkan barang ke jalan ialah gambaran kepada protes dan tidak puas hati kita terhadap jiran.

    Namun, tindakan sebegitu mungkin dianggap biasa dengan masyarakat Arab ketika itu. Dalam konteks kita sekarang, mungkin tidak sesuai, tetapi kita tetap boleh mengambil langkah seperti mengadu kepada pihak yang berautoriti di kawasan kejiranan kita tanda kita tidak puas hati di atas tindakan jiran. Itulah manifestasi di sebalik tindakan lelaki tersebut.

    Namun, jika sebelum itu kita mempunyai kemampuan dan ruang yang sesuai untuk bercakap dan menyatakan ketidakpuasan hati kita secara harmoni kepada jiran tersebut secara langsung, ia boleh dilakukan terlebih dahulu. Berdoalah agar jiran tersebut berubah sikapnya juga adalah langkah yang baik.

    Mendapat jiran yang baik adalah satu nikmat dalam kehidupan. Di samping kita mengharapkan jiran yang baik, pastikan diri kita sendiri menjadi jiran yang baik kepada orang lain.

    Ini kerana memuliakan, berbuat baik dan tidak menyakiti perasaan jiran adalah lambang kesempurnaan iman tidak kira sama ada jiran tersebut seorang Muslim atau bukan.

    Ini kerana, dalil-dalil yang menyebut tentang jiran kebanyakannya bersifat umum, bukan hanya khusus kepada jiran Muslim sahaja. Cuma, jika jiran kita seorang Muslim, selain hak jiran, ada juga hak-hak seorang Muslim yang perlu kita pelihara.

    Semoga kita semua menjadi jiran yang baik dan dikurniakan jiran-jiran yang baik juga.

    ***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan dan Motivasi, Akademi Magnet Sukses.

    Sumber

  • Tiada apa hendak dimalukan belajar ngaji pada usia lanjut

    Tiada apa hendak dimalukan belajar ngaji pada usia lanjut

    BELAJAR mengaji pada usia lanjut adakalanya membibitkan perasaan malu bagi segelintir orang. Namun, rasa itu sepatutnya tidak perlu ada kerana ia melibatkan perihal menuntut ilmu terutama berkaitan agama. Sementelah, menuntut ilmu itu merupakan kewajipan ke atas setiap insan.

    Ya, barangkali perasaan itu terbit kerana sifat rendah diri mereka yang buta huruf, merangkak-rangkak mahupun tidak fasih dalam soal hukum tajwid.

    Namun, ketahuilah itu hanya pandangan kita semata-mata. Hakikatnya tanggapan itu hanya akan merugikan diri. Walhal, ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran buat hamba-hamba-NYA yang tidak lancar membaca al-Quran, tetapi masih berusaha mempelajarinya.

    Sabda Rasulullah SAW: “Seorang yang lancar membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada ALLAH. Adapun, yang membaca al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.” (Riwayat Muslim)

    Sesungguhnya usia bukanlah penghalang untuk seseorang itu belajar dan berjaya. Begitu juga apabila kita belajar mengaji. Tidak kiralah berapa pun usia kita, jangan sesekali menyerah kalah tanpa berusaha untuk belajar mengaji dan memperbaiki bacaan kalamullah sebelum ‘menutup mata’.

    Itu antara sebab pesara, Jamian Ponijan dan Bismi Amir Hamzah serta kakitangan awam, Rohana Mohd Salleh kembali ke kelas mengaji di Quran Center Ustaz Walid yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

    Bagi mereka, tiada apa yang dimalukan apabila mempelajari al-Quran pada usia lanjut.

    “Lebih memalukan lagi apabila tidak boleh membacanya ketika menghadap ALLAH kelak,” ujar mereka penuh keinsafan.

    Merangkak-rangkak

    Kepada Sinar Islam, Jamian memulakan bicaranya. Ujar beliau, biarpun adakalanya terbit sekelumit perasaan malu dalam dirinya apabila belajar mengaji pada usia tua, namun beliau membuang ‘rasa’ itu jauh-jauh.

    JAMIAN

    JAMIAN

    “Jika terlalu diikutkan rasa itu, memang sangat malu, (tetapi) sampai mati pun kita tak belajar. Walau apapun, kita tahanlah (malu).

    “Jadi, cara yang mudah, carilah mana-mana tempat yang boleh mengajar kita mengaji. Kalau kena dengan caranya dan atas izin-NYA, insya-ALLAH kita boleh membaca al-Quran dengan baik,” jelas beliau ketika ditemui di Quran Center Ustaz Walid pada Selasa minggu lalu.

    Lelaki berusia 60 tahun itu bukan sahaja menghadapi masalah pada bacaan al-Quran, tetapi juga kesukaran untuk mengeja.

    “Sejujurnya saya memang tidak reti membaca al-Quran. Mengeja pun merangkak-rangkak. Itulah yang menyebabkan saya hendak belajar mengaji.

    “Masa kecil dulu, saya pernah belajar al-Quran, tetapi itu dengan cara yang lama dan susah hendak ingat. Saya juga sukar hendak mengeja, cuma mampu menghafalnya sahaja,” katanya yang mengikuti kelas mengaji kaedah kotak hampir dua bulan lalu di pusat berkenaan.

    Disebabkan itulah, bapa bapa kepada lima cahaya mata itu tercari-cari kelas mengaji yang sesuai untuk membimbingnya mengeja, sekali gus membaca dengan baik.

    “Apabila saya terbaca (kelas ngaji menggunakan kaedah kotak) dalam akhbar, saya terus menghubungi ustaz untuk mengikutinya.

    “Saya belum pernah khatam lagi (al-Quran). Ini merupakan minggu ketujuh saya belajar di kelas ngaji. Saya berharap berpeluang untuk mengkhatamkan al-Quran dengan ustaz nanti,” ujar beliau.

    Impian mahu khatam

    Apa yang dilalui Jamian turut sama dirasai oleh Bismi. Meskipun jalan cerita yang direntas oleh mereka berbeza, namun kedua-dua lelaki berhati cekal itu punya matlamat yang sama iaitu membaca al-Quran dengan lancar, sekali gus mencapai impian untuk mengkhatamkan al-Quran.

    Ujar Bismi, 55, tiada istilah segan dalam kamus hidupnya apabila mempelajari al-Quran pada usia lanjut. Sebaliknya, beliau bersyukur kerana menjadi insan terpilih untuk mempelajari dan mendekati kalam ALLAH.

    BISMI

    BISMI

    “ALLAH sudah buka pintu hati saya. Saya cari sendiri (kelas ngaji), pusing dari satu tempat ke tempat yang lain. Hinggalah saya ‘dipertemukan’ dengan kelas ini.

    “Sebelum itu, saya pernah mengikuti bengkel (mengaji) selama dua hari. Keinginan saya begitu tinggi untuk mempelajari kalam ALLAH. Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan,” katanya.

    Sesi temubual itu semakin rancak apabila Bismi mengimbau kembali kisah mengajinya ketika zaman kanak-kanak.

    “Saya dulu belajar setakat Muqaddam sahaja dan sempatlah mengaji al-Quran, tetapi hanya Surah al-Baqarah pada halaman pertama. Selepas itu, saya tidak berkesempatan untuk menyudahkannya.

    “Sebab itulah apabila sudah bersara, saya ada banyak masa lapang. Jadi, saya hendak ambil peluang yang sudah lama saya tinggalkan. Saya belajar ngaji dan berguru dengan ustaz,” terang beliau.

    Bagi Bismi, sebagai umat Islam, amat rugi jika kita mensia-siakan ‘pusaka’ peninggalan Nabi Muhammad SAW.

    “Salah satu daripada peninggalan baginda ialah al-Quran. Sebagai umat Islam, kita wajib memeliharanya. Sedangkan, dulu al-Quran ‘turun’ tidak bertanda (berbaris), tetapi ia boleh dibaca.

    “Namun, kita sebagai umat akhir zaman tidak menghargainya. Siapa lagi yang hendak memelihara kalam ALLAH ini kalau bukan kita umat Islam,” ujar beliau.

    Tambah baik bacaan

    Begitupun, Bismi tidak keseorangan dalam kembara makrifatnya mendekati kalam ALLAH itu. Sebagai ketua keluarga, beliau turut mengajak suri hatinya, Rohana untuk bersama-sama mengikuti kelas ngaji bersama-sama.

    Perasaan seronok itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Namun, apabila semua perkara dilakukan bersama dengan suami, ia menjadi momen indah buat mereka berdua, ujar Rohana.

    ROHANA

    ROHANA

    “Ia lagi senang, kami pun boleh jawab soalan bersama-sama (dalam kelas). Lebih seronok apabila kami boleh mengaji bersama-sama di rumah,” jelas beliau.

    Rohana, 54, bersama suaminya yang menetap di Rawang, Selangor itu sebenarnya lancar membaca al-Quran, namun tidak begitu mahir dalam perihal hukum tajwid.

    “Kadangkala saya ‘langgar’ panjang atau pendek suatu ayat itu. Dua atau enam harkat suatu perkataan itu, saya baca sama saja. Sebelum mengikuti kelas itu, kali terakhir saya berguru (ketika mengaji) adalah ketika masa sekolah.

    “Apabila saya lihat suami masuk kelas (ngaji), saya rasa terpanggil untuk mengikutinya untuk memperbaiki bacaan. Kami mempelajari kaedah kotak di kelas itu. Alhamdulillah, sekarang saya sudah tahu serba sedikit tanda baca, hukum dan tajwid ketika membaca al-Quran,” katanya yang pernah khatam al-Quran ketika di tingkatan tiga.

    Ibu kepada tujuh cahaya mata itu sering mengingatkan dirinya agar tidak terlalu berpuas hati dengan tahap pembacaan al-Quran beliau.

    Rohana turut mengajak masyarakat agar sentiasa memperbaiki bacaan ketika mengaji.

    “Walaupun kita pandai mengaji, tetapi tak semestinya tajwid kita itu betul. Kadangkala kita rasa macam pandai mengaji, tetapi bila orang dengar (bacaan kita), ada kesalahan lagi.

    “Jadi, seandainya kita berpeluang untuk masuk semula kelas mengaji itu, rebutlah peluang itu. Tidak perlu malu walaupun kita sudah berusia,” akhiri bicaranya.

    Perlu berguru walaupun pandai baca al-Quran

    Masyarakat diingatkan agar tidak bersikap skeptikal mengikuti kelas pengajian al-Quran dewasa kerana kalam ALLAH itu perlu dipelajari secara berguru dengan mereka yang mahir dalam bidang berkenaan.

    Pengasas pengajian al-Quran kaedah kotak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Uswarich Sdn Bhd, Ustaz Syed Walid Al Giffa Syed Ibrahim berkata, sebagai orang Islam, kita wajib membaca al-Quran yang menjadi pegangan hidup.

    USTAZ SYED WALID AL GIFFA

    USTAZ SYED WALID AL GIFFA

    “Seandainya kita tidak boleh membacanya, kita perlu sedar diri dan berusahalah untuk mempelajarinya kerana ia menjadi pegangan kita. Apapun, kita perlu menyimpan niat, sebelum meninggal dunia, sekurang-kurangnya kita mampu membaca Surah al-Fatihah dengan betul.

    “Sekalipun seseorang itu boleh membaca al-Quran, kita tetap perlu pergi belajar atau berguru kerana khazanah al-Quran sebenarnya begitu banyak. Contohnya, hendak mendapatkan bacaan dan untuk mengetahui apa isi kandungan dalam al-Quran,” katanya ketika ditemui Sinar Islam baru-baru ini.

    Sepanjang 10 tahun mengajar orang dewasa mengaji, Ustaz Syed Walid Al Giffa membuat lima pengelasan tahap pembacaan al-Quran dalam masyarakat berdasarkan kajian dibuatnya.

    “Pertama, tahap kosong iaitu mereka lupa huruf. Ia ibarat mualaf yang baru hendak kenal huruf. Kedua, mereka mengenali huruf, tetapi apabila huruf-huruf itu bersambung, mereka keliru. Kelompok ketiga pula mengenali huruf bersambung, tetapi tiada tajwid apabila membacanya.

    “Satu lagi golongan pula tahu membaca al-Quran dengan baik, tetapi apabila ditanyakan mengapa dia baca begini dan begitu, mereka tiada jawapan kerana ia sudah menjadi kelaziman mereka. Sementara itu, golongan yang terakhir ialah mereka yang cantik dari segi bacaannya, tahu tajwid dan boleh mengajar,” jelas bekas juruteknik penyelenggaraan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    BERDIRI dari kiri, Rohana, Jamian dan Bismi mengikuti kelas ngaji di Quran Center Ustaz Walid, Sungai Buloh, Selangor yang mendapat bimbingan daripada Ustaz Syed Walid Al Giffa (duduk).

    BERDIRI dari kiri, Rohana, Jamian dan Bismi mengikuti kelas ngaji di Quran Center Ustaz Walid, Sungai Buloh, Selangor yang mendapat bimbingan daripada Ustaz Syed Walid Al Giffa (duduk).

    Atas faktor itulah, beliau mengasaskan kaedah kotak bagi membantu lima kelompok berkenaan yang dibangunkan sejak tahun 2014.

    “Suatu masa dahulu, saya tidak begitu lancar al-Quran sebab saya sudah tinggalkan lama. Namun, apabila saya bekerja dengan TUDM, saya belajar talaqi wal musyafahah dengan guru-guru al-Quran. Akhirnya, saya gunakan ilmu itu untuk mengajar orang lain,” katanya sambil menjelaskan beliau ingin membantu masyarakat dekat dengan al-Quran, peninggalan Nabi Muhammad SAW.

    Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari)

    Sumber

  • Tiada apa hendak dimalukan belajar ngaji usia lanjut

    Tiada apa hendak dimalukan belajar ngaji usia lanjut

    Ujar bapa kepada lima cahaya mata itu, disebabkan itulah beliau tercari-cari kelas mengaji yang sesuai untuk membimbingnya mengeja, sekali gus membaca dengan baik.

  • Tiada istilah ‘sudah terlewat’ belajar mengaji

    Tiada istilah ‘sudah terlewat’ belajar mengaji

    “DAH tua-tua pun nak pergi kelas ngaji juga ke? Ish, malulah aku, sudahlah buta huruf, mengaji merangkak-rangkak. Nanti orang ketawakan aku pula.”

    Barangkali ayat itu terlintas di fikiran segelintir orang apabila mahu kembali belajar mengaji pada usia yang lanjut.

    Hakikatnya, itu hanyalah persepsi kita sahaja, sedangkan ALLAH SWT menjanjikan ganjaran kepada mereka yang tidak lancar membaca al-Quran dan mempelajarinya.

    Soal lambat atau cepat seseorang itu belajar al-Quran bukan perkara pokok.

    Paling signifikan adalah usaha kita untuk mempelajarinya.

    Biarlah kita lambat atau usia kita sudah lanjut sekalipun, tetapi jangan sesekali menyerah kalah tanpa berusaha untuk belajar mengaji sebelum menghadap ALLAH SWT.

    Ikuti perkongsian tiga individu pertengahan usia yang kembali mengikuti kelas mengaji dalam sisipan Sinar Islam esok.

    Semoga ia menjentik inspirasi kepada kita untuk terus belajar kalam ALLAH itu hingga akhir hayat.

    Sumber

  • Nurish Organiq 24K Gold formulasi antipenuaan

    Nurish Organiq 24K Gold formulasi antipenuaan

    JIKA diberi pilihan memutarkan waktu barangkali para wanita ingin kembali pada usia remaja. Zaman manis yang mana kondisi kulit wajah gebu dan berseri.

    Namun begitu, apabila meningkat dewasa kadar pembentukan kolagen dan keanjalan kulit wajah semakin berkurangan. Tambahan pula, faktor sampingan seperti sinaran ultra violet (UV) dan perubahan gaya hidup turut mempengaruhi proses penuaan.

    Bagi memastikan kulit wajah kekal sihat, rejim penjagaan kulit wajah harus bermula sejak usia muda bagi melindungi kulit menjadi penuaan pramatang.

    Ke arah solusi terbaik supaya kulit wajah tampak jelita dan menawan, EIG Pharma Asia Sdn Bhd memperkenalkan rangkaian antipenuaan khusus untuk wanita berusia antara 28 hingga 45 tahun.

    Set yang dilengkapi tujuh produk antipenuaan itu dirumus khas dengan 100 peratus ekstrak semula jadi dan teknologi antipenuaan natural yang memberikan lima kali aksi keanjalan kulit wajah.

    Nurish Organiq 24K Gold yang sesuai untuk semua jenis kulit diformulasi hasil gabungan lima ramuan yang terdiri daripada:

    a) 24K emas

    Antioksida berkuasa membantu melawan tanda-tanda penuaan, melambatkan penuaan dan meningkatkan keanjalan kulit.

    b) Aqua collagen

    Menggandakan kelembapan dan membekalkan kolagen untuk mengembalikan keanjalan, mengurangkan garis halus dan kedutan untuk kulit wajah kelihatan muda berseri.

    c) Hexa peptida

    Peptida antikedutan yang melambatkan penuaan kulit.

    d) Multivitamin (B, C & E)

    Menyamaratakan tona, mengurangkan bintik-bintik hitam dan pigmentasi serta melindungi kulit wajah daripada penuaan pramatang.

    e) Buah delima organik

    Antioksida semula jadi yang melambatkan penuaan dan membantu mengecilkan pori untuk kulit wajah lebih lembut dan licin.

    Info Nurish Organiq 24K Gold

    Bebas daripada tujuh bahan yang berpotensi membahayakan kulit wajah.

    – Tanpa Pewarna Tiruan

    – Tanpa Minyak Mineral

    – Tanpa SD-Alkohol

    – Tanpa Lanolin

    – Tanpa Sulfat

    – Tanpa Paraben

    – Tanpa Bahan Komedogenik

    Harga: RM16.89 hingga RM40.47

    Lokasi: Aeon Wellness, Caring, Guardian, Watsons dan farmasi terpilih di seluruh negara.

    Sumber