Fibroid ketumbuhan jarang bertukar kanser

Fibroid ketumbuhan jarang bertukar kanser

FIBROID adalah ketumbuhan tidak normal yang berkembang di dalam atau pada rahim wanita.

Kadangkala tumor itu membesar dan menyebabkan sakit yang teruk dalam tempoh tertentu. Dalam kes lain, terdapat pula fibroid yang tidak menyebabkan atau meninggalkan sebarang tanda atau gejala.

Biarpun sejak sekian lama ia dideritai ramai golongan Hawa, penyebab fibroid tidak diketahui.

Berikutan lazimnya ia tidak sakit, kebanyakan wanita tidak pernah tahu bahawa mereka ‘membuntingkan’ fibroid atau gejala yang juga dikenali dengan nama leiomioma, myomas, myomas rahim atau fibromas itu.

Menurut Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), dalam healthline.com, kira-kira sehingga 80 peratus wanita mempunyai fibroid pada usia 50 tahun.

Bagaimanapun untuk mendiagnosis, perlulah bertemu dengan pakar sakit puan. Pakar akan memeriksa keadaan, saiz, dan bentuk rahim seseorang yang menghidap ketumbuhan yang menjadi ‘seteru’ wanita itu.

Ironinya ada pula yang menyamakan mahupun terkeliru dengan perbezaan antara fibroid, cyst dan polip. Apa bezanya?

Persoalannya, wanita bagaimanakah yang sering menjadi mangsa kesan adanya fibroid tersebut? Menjawab tanda tanya itu, Sihat:Aktif mengetengahkan pendapat pakar berhubung gejala fibroid pada minggu ini.

NURAZLINA ALI, 43, pelik berdepan dengan masalah haid yang datang dalam jumlah luar biasa hampir setahun lalu.

Dalam masa yang sama, bahagian abdomennya ‘membengkak’. Nurazlina juga kerap terasa mahu membuang air kecil meski hanya minum secangkir air.

“Risau ada sesuatu yang tidak kena menyebabkan saya berjumpa pakar perubatan. Apabila menjalani ujian ultrasound barulah tahu saya ada fibroid.

“Doktor memaklumkan, ketumbuhan itu perlu dibuang supaya tidak menjejaskan kesihatan saya,” kata wanita itu yang sudah hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga, namun belum dikurniakan cahaya mata.

Dianggarkan, empat hingga 18 peratus wanita dalam lingkungan umur 40 hingga 49 tahun menghidap fibroid dan jumlah kes berbeza mengikut negara.

Dalam pada itu, mengikut perkongsian MyHealth, Kementerian Kesihatan (KKM), kira-kira 20 peratus wanita usia subur dikatakan mempunyai fibroid. Jarang sekali ia dialami oleh wanita muda sebelum haid.

Organisasi bukan keuntungan kesihatan wanita, The American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) pula mencatatkan, fibroid lazim ‘muncul’ dalam kalangan wanita berumur 30 hingga 40 tahun. Pun begitu ia juga boleh berlaku pada sebarang usia.

Data ACOG menyingkap, ia lebih kerap berlaku pada wanita Afrika berbanding wanita kulit putih.

Maka, agak sahih masalah fibroid berbeza mengikut negara. Hairan bukan?

Menghuraikan tentang gejala agak digeruni itu, Pakar Perunding Perubatan Reproduktif & Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain melontarkan pandangannya.

Dr Murizah

Dr Murizah

Bukan kanser

Fibroid adalah ketumbuhan benign (bukan kanser) yang sering terjadi pada wanita di usia reproduksi (subur). Dianggarkan hamper 30 peratus wanita di usia begitu mengalami fibroid.

Fibroid bukanlah kanser, bahkan kemungkinan fibroid bertukar menjadi kanser adalah sangat rendah, jelas Dr Murizah.

Pastinya kenyataan beliau itu menjawab stigma tentang fibroid yang seringkali dikaitkan dengan kanser, sedangkan itu tidak tepat.

“Ketumbuhan ini berasal dari otot di dinding rahim, kedudukannya pula pelbagai. Antaranya di permukaan luar rahim (subserosal), di dalam rahim (intramural) atau di permukaan dalam rahim (submucosal). Kedudukan fibroid, saiz dan bilangannya akan menentukan gejala fibroid.

“Punca sebenar fibroid tidak dapat dikenalpasti secara tepat. Namun kemungkinan terdapat faktor genetik dan persekitaran yang mempengaruhi,” katanya kepada Sihat:Aktif.

Mengulas golongan ‘sasaran’ fibroid juga, tambah Dr Murizah, ia lebih kerap juga terjadi pada wanita yang mempunyai sejarah keluarga, wanita obes dan sukar hamil.

Pasti ramai tertanya-tanya apakah isi kandungan ketumbuhan ‘jahat’ itu dan sejauh mana ia boleh membesar?

Fibroid terdiri dari otot dinding rahim yang membesar tanpa terkawal. Bagaimanapun kebanyakan proses pembesarannya secara perlahan-lahan selama beberapa tahun.

Terdapat kes-kes yang mana fibroid membesar sehingga mencapai seperti usia kandungan yang cukup bulan tanpa mendatangkan apa-apa gejala, jelas Dr Murizah.

Apakah risiko bakal dihadapi?

Antara gejala fibroid adalah haid yang banyak dan berpanjangan terutamanya bagi fibroid intramural dan submucosal.

Seandainya kehilangan darah itu terlalu banyak seseorang boleh mengalami kekurangan darah atau anemia. Ubat perlu diberi untuk menghentikan pendarahan serta transfusi darah yang hilang.

“Fibroid juga boleh mengganggu kesuburan wanita terutamanya jika fibroid intramural bersaiz besar melebihi empat sentimeter (cm). Di samping itu, submucosal fibroid juga boleh menyebabkan kegagalan penempelan janin dan keguguran yang berulang.

“Sebahagian pesakit, gejalanya mungkin semakin membuncit atau terasa sesuatu membengkak di bahagian abdomen,” ujar Dr Murizah.

Majoriti pesakit fibroid tidak mendatangkan sebarang gejala. Pesakit hanya mengetahui apabila melakukan pemeriksaan atau ujian ultrasound, jelas beliau.

Sama seperti apa yang dialami oleh Nurazlina dalam kajian kes seperti di atas tadi bukan?

Beza dengan cyst, polyp

Fibroid berbeza dengan cyst. Cyst pula adalah ketumbuhan dari kilang telur. Terdapat pelbagai jenis cyst sama ada yang berisi darah haid dikenali sebagai endometriosis, cyst yang berisi sebum dikenali sebagai teratoma atau cyst yang berisi air.

Terdapat cyst yang benign dan ada cyst yang berkemungkinan kanser. Kesemua itu boleh dibezakan dengan ultrasound dan ujian darah yang dikenal sebagai tumour marker, terang Dr Murizah.

“Kebanyakan cyst perlu dibuang secara pembedahan kecuali cyst kecil yang kurang lima sentimeter dan berisi air. Ia boleh dipantau untuk memastikannya mengecut.

“Polyp pula adalah lebihan tisu endometrium atau dinding rahim serta serviks atau pangkal rahim yang memanjang dan menjulur keluar. Kebanyakan polyp mendatangkan masalah pendarahan dan perlu dibuang,” ujar pakar itu.

Seperkara sama ada wanita memiliki fibroid boleh hamil, kebanyakannya dikatakan boleh mengandung secara natural malah tidak memerlukan bantuan reproduksi.

Namun tunggu! Sebahagian wanita yang sukar hamil sama ada disebabkan oleh faktor-faktor lain dan pemeriksaan menunjukkan adanya fibroid.

“Dalam kes ini fibroid yang bersaiz lebih 4cm dan intramural perlu dibuang untuk meningkatkan kejayaan rawatan kesuburan. Jika wanita mempunyai fibroid, kehamilannya perlu dipantau. 1/3 dari fibroid ini akan membesar.

“Fibroid boleh mendatangkan kesakitan pada ibu yang hamil kerana bekalan darah ke fibroid terjejas disebabkan darah perlu diarahkan kepada bayi yang semakin membesar,” katanya.

Fibroid yang besar juga boleh mengganggu kedudukan bayi, menyebabkannya berkedudukan songsang atau melintang serta perlu dilahirkan secara pembedahan.

Lebih merisaukan, fibroid boleh menyebabkan tumpah darah kerana mengganggu pengecutan rahim selepas bersalin.

Pembedahan jika ada simptom

Pakar sakit puan dan perbidanan, Datuk Dr Hamid Arshat dalam perkongsiannya mengenai ketumbuhan itu juga tidak menafikan kewujudan fibroid dalam tubuh seseorang tidak diketahui.

“Kita tidak tahu bagaimana ia tumbuh. Tapi kita mengetahui bahawa ia dirangsang oleh hormon estrogen.

“Ada kemungkinan wanita yang menjangkau umur 30-an hingga 40-an mula dilanda dengan masalah hormon yang tidak stabil. Oleh itu ketumbuhan ini mula dikesan pada umur tersebut,” katanya.

CONTOH fibroid. -Gambar hiasan

CONTOH fibroid. -Gambar hiasan

Kes bagaimana perlu diambil kira untuk rawatan?

Fibroid kadangkala tidak menunjukkan gejala, simptom atau masalah. Ia mungkin boleh dijumpai secara kebetulan.

Pun demikian, ada juga yang boleh menimbulkan masalah seperti pendarahan yang panjang dan banyak waktu haid. Ia tidak mengganggu pusingan, tetapi menjejaskan proses pendarahan haid, kata Dr Hamid.

Tekanan juga boleh berlaku kepada organ-organ seperti pundi kencing, saluran uretra, usus dan lain-lain.

“Ada ketikanya, walaupun fibroid banyak dan saiznya kecil, kita tak perlu berbuat apa-apa. Pembedahan hanya apabila berlaku simptom atau gejala pendarahan, sukar dapat anak, berulang kali gugur atau terlalu besar.

“Kita anggap lebih 5cm itu besar. Tapi kalau, lebih 5cm, tidak menyebabkan apa-apa masalah atau gejala kita boleh diamkan. Lazimnya, apabila putus haid dan hormon estrogen tidak lagi aktif, fibroid itu akan mengecut,” katanya.

Mengimbas pengalamannya, ujar Dr Hamid beliau pernah membuang sehingga 21 fibroid kerana pesakitnya masih ingin untuk hamil dan melahirkan anak.

Sedangkan, kebiasaannya keseluruhan wanita ada satu dua atau tiga fibroid sahaja.

Lemak degil simpan hormon wanita antara penyebab

BANYAK kajian membuktikan bahawa fibroid berkaitan rapat dengan hormon wanita.

Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan Medical Tweet Malaysia (MedTweetMY), Dr Muhammad Izzat Abdul Razak berkata, disebabkan itu, obesiti ada perkaitan dengan fibroid biarpun bukan sebab utama terjadinya fibroid itu.

DR Izzat

DR Izzat

“Tanyalah sesiapa pun. Semua pakar dan kajian demi kajian mengatakan punca sebenar fibroid ini masih belum diketahui asal usulnya.

“Bagaimanapun ia ada berkait dengan obesiti. Kenapa? Sebab lemak-lemak degil yang terkumpul dalam badan menyimpan hormon wanita. Lemak terkumpul dalam pesakit obesiti dikatakan dapat menyimpan hormon wanita dengan lebih banyak, sekali gus ada perkaitan dengan fibroid,” kongsi Dr Muhammad Izzat.

Justeru beliau mengalu-alukan lebih ramai wanita supaya menguruskan tubuh badan secara sihat.

TUBUH obesiti dikatakan boleh menyuburkan fibroid.

TUBUH obesiti dikatakan boleh menyuburkan fibroid.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Izzat juga bersetuju bahawa fibroid yang tidak menimbulkan apa-apa masalah atau kecil tidak perlu dibuang serta tidak memerlukan apa-apa rawatan.

Katanya, fibroid akan mengecut atau hilang sendiri apabila seseorang wanita itu putus haid atau menopaus.

Mengulas mengenai rawatan, ujarnya ada pil hormon boleh dimulakan sebagai langkah pertama. Bagaimanapun perlu berbincang dengan pakar terlebih dahulu.

“Boleh juga lakukan pembedahan membuang fibroid. Ada dua jenis – buang fibroid sahaja dan biarkan rahim untuk mereka yang bercadang untuk mengandung.

“Walaupun begitu, masih ada risiko pendarahan dan menyebabkan rahim terpaksa dibuang. Ada kes yang memerlukan rahim dibuang bersama sama dengan fibroid lebih-lebih lagi jika doktor berasakan fibroid itu jenis bahaya ataupun saiznya yang tidak mengecut walaupun sudah menopaus,” katanya.

Ada juga fibroid kecil yang mengganggu kesuburan atau menyebabkan darah haid yang banyak boleh dibedah secara hysteroscopy.

Setiap pembedahan ada risiko dan komplikasinya. Justeru Dr Muhammad Izzat berkata ia perlu dilakukan mengikut kesesuaian pesakit.

“Pembedahan adalah pilihan yang terakhir jika ubat-ubatan diberikan tidak mampu merawat fibroid,” katanya.

ANEKDOT

Antara pilihan rawatan fibroid:

1) Histerektomi – pembedahan membuang rahim. Kesannya, tidak boleh hamil dan putus haid (menopaus).

2) Miomektomi – pembedahan mengeluarkan fibroid tanpa membuang rahim. Ada kemungkinan untuk fibroid kembali menyerang (dalam masa 10 tahun), namun masih boleh hamil.

3) Abliasi Endometrial (Endometrial ablation) boleh digunakan untuk fibroid yang membesar di dalam lapisan rahim.

4) Uterine arteri embolisasi- prosedur mengecutkan rahim tanpa pembedahan dengan cara mengurangkan pengaliran darah kepadanya.

5) Ubat-ubatan – merawat simptom. Ubat ini biasanya mengurangkan tahap estrogen untuk sementara waktu dan pada masa yang sama menyekat pertumbuhan fibroid, terutama sebelum pembedahan.

Pencegahan

Tiada siapa pasti punca sebenar fibroid, tetapi pakar berpendapat ia banyak kaitan dengan faktor genetik, hormon, dan persekitaran. Malangnya, tiada cara yang diketahui untuk mencegah fibroid daripada bertambah atau berulang.

Sumber: myhealth.gov.my

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *