Blog

  • Tiket penerbangan AirAsia laris

    Tiket penerbangan AirAsia laris

    KUALA LUMPUR – AirAsia mencatat jualan harian tertinggi sebanyak 41,000 tempat duduk bagi seluruh kumpulan itu kelmarin, selepas tempoh hibernasi yang disifatkan sebagai menandakan permintaan tinggi bagi perjalanan udara.

    Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, laman sesawang syarikat penerbangan tambang rendah itu turut menyaksikan peningkatan trafik sebanyak 170 peratus.

    Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, tempahan destinasi paling popular bagi Malaysia ialah Kota Kinabalu dan Kuching ke Kuala Lumpur manakala Thailand melibatkan laluan Bangkok ke Chiang Mai dan Hat Yai.

    Destinasi popular untuk Filipina termasuk Manila ke Puerto Princesa dan Davao, India meliputi Delhi ke Srinagar dan Bengaluru ke Hyderabad manakala Indonesia membabitkan laluan Jakarta ke Denpasar dan Medan.

    Selain itu, purata muatan penumpang bagi kumpulan AirAsia adalah sebanyak 50 peratus dengan AirAsia Malaysia mencecah 70 peratus, tertinggi bagi aspek itu untuk tempoh pasca-hibernasi.

    “Perkembangan positif itu menjadikan kami lebih bersemangat dan menjangkakan permintaan ini akan berterusan.

    “Kami merancang untuk meningkatkan kekerapan penerbangan sebanyak 50 peratus daripada operasi sebelum Covid-19 dan tidak sabar untuk ke semua laluan domestik pada minggu-minggu akan datang bagi menampung peningkatan permintaan,” katanya.

    Pada masa ini, AirAsia mengendalikan 152 penerbangan harian di serata rantau ini.

    Beliau berkata, syarikat penerbangan itu juga berharap untuk melihat pembukaan semula sempadan antarabangsa yang jelas menunjukkan kepentingan pengangkutan udara bagi memulakan serta memulihkan aktiviti-aktiviti ekonomi di peringkat global.

    Fernandes berkata, syarikat itu akan turut memperluaskan Pas Tanpa Had AirAsia ke pasaran lain tidak lama lagi susulan sambutannya yang memberangsangkan di Malaysia. – Bernama



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT meneruskan peningkatannya berbanding dolar AS bagi hari kedua berturut-turut, didorong oleh peningkatan keyakinan terhadap pemulihan ekonomi global serta harga minyak yang lebih baik, kata peniaga.

    Pada 6 petang, ringgit ditutup tinggi pada 4.2700/2750 berbanding 4.2710/2770 sewaktu ditutup pada Selasa.

    Menurut peniaga, minat risiko ke atas mata wang pesat membangun termasuk ringgit kembali pulih susulan perkembangan positif dalam pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) – China.

    Presiden AS, Donald Trump memberi jaminan bahawa perjanjian perdagangan Washington-Beijing ‘kukuh sepenuhnya’ dan berharap China ‘akan terus menepati syarat perjanjian.’

    Sementara itu, penanda aras minyak mentah antarabangsa Brent naik 0.16 peratus kepada AS$42.70 setong (0644 GMT) namun jatuh kepada AS$42.13 setong setakat ini.

    Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

    Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0744/0791daripada 3.0671/0723 pada Selasa dan susut berbanding yen Jepun kepada 4.0083/0141 daripada 3.9875/9942 semalam berikutan permintaan ke atas mata wang itu sebagai mata wang selamat yang semakin meningkat.

    Unit tempatan turun berbanding pound Britain kepada 5.3413/3493 daripada 5.3165/3261 dan susut berbanding euro kepada 4.8255/8329 daripada 4.8203/8283 sebelum ini.- Bernama





    Sumber

  • KK Super Mart rancang buka lebih banyak cawangan di India

    KK Super Mart rancang buka lebih banyak cawangan di India

    KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) merancang untuk membuka lebih banyak cawangannya di India dalam suasana kebiasaan baharu susulan penularan koronavirus (Covid-19), sekali gus mengembangkan platform e-dagang untuk memudahkan pengguna membeli produk secara dalam talian.

    Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Dr. KK Chai berkata, buat masa ini rangkaian kedai 24 jam itu mempunyai tiga cawangan sahaja di bandar Kolkata, ibu kota Bengal Barat.

    “Kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di India dan berhasrat memberi lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada pelanggan.

    “Kami akan mengekalkan daya saing melalui nilai untuk wang dan mempelbagaikan produk,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Mengulas mengenai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di India, Chai berkata, syarikat itu telah mengedarkan barang keperluan penting dan memberi makan kepada rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat Covid-19 di Kolkata.

    “Walaupun cawangan di India tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana sekatan pergerakan, syarikat tetap menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan.

    “Kira-kira 2,000 orang telah mendapat manfaat daripada bantuan yang diberikan pada setiap hari itu,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan sentimen pasaran yang lebih baik susulan harga minyak yang meningkat dan kenyataan terkini daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengenai ekonomi negara, kata peniaga.

    Walaupun mata wang Amerika Syarikat itu menunjukkan stabil berikutan kenyataan yang meyakinkan daripada White House mengenai perjanjian perdagangan Washington-Beijing, ringgit naik kepada 4.2710/2770 sehingga 6 petang berbanding 4.2770/2850 semasa ditutup pada Isnin.

    Minyak mentah Brent meningkat 2.1 peratus kepada AS$43.08 setong berikutan bekalan yang terhad dari negara-negara pengeluar utama.

    Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pendedahan Malaysia kepada turun naik mata wang asing amat terhad berikutan 97 hingga 98 peratus daripada hutang negara terdiri daripada pinjaman dalam negeri.

    Beliau berkata, tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi.

    Ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) awal hari ini, menteri itu berkata kerajaan komited untuk memastikan kemajuan semua pakej rangsangan ekonomi dilaporkan tepat pada masanya dan telus.

    Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

    Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.


    Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0671/0723 daripada 3.0657/0717 pada Isnin, susut berbanding pound kepada 5.3165/3261 daripada 5.3035/3151 dan rendah berbanding euro kepada 4.8203/8283 daripada 4.7954/7052.

    Mata wang tempatan, bagaimanapun, naik berbanding yen Jepun kepada 3.9875/9942 daripada 3.9987/9080 semalam.- Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia ditutup rendah

    Bursa Malaysia ditutup rendah

    BURSA Malaysia ditutup rendah hari ini, namun mampu pulih daripada penurunan awal, disokong oleh pembelian semasa harga rendah yang sederhana di kaunter produk pengguna, di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang lebih memberangsangkan.

    Penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.20 mata atau 0.28 peratus untuk mengakhiri dagangan pada 1,507.04 daripada 1,511.24 ketika ditutup pada Isnin.

    Indeks itu dibuka 0.09 mata lebih rendah pada 1,511.15 dan bergerak di antara 1,492.32 dan 1,511.54 sepanjang sesi dagangan.

    Lingkungan pasaran keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 522 kepada 423 manakala 446 kaunter tidak berubah, 541 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan adalah lebih tinggi iaitu 8.75 bilion saham bernilai RM2.98 bilion daripada 6.33 bilion saham bernilai RM3.11 pada Isnin.

    Peniaga berkata pasaran Asia dalam keadaan turun naik hari ini selepas penasihat perdagangan Rumah Putih, Peter Navarro berkata perjanjian perdagangan dengan China telah “berakhir”, sekali gus mengembalikan penurunan pagi ini dan meletakkan pelabur dalam mod berhati-hati.

    Kenyataan itu turut dikaitkan dengan kemarahan Washington ke atas Beijing kerana tidak memberikan amaran awal mengenai penularan koronavirus (Covid-19), mendorong penjualan besar-besaran di seluruh pasaran ekuiti.

    Bagaimanapun, peniaga berkata sentimen itu kembali pulih selepas Navarro mendakwa kenyataannya itu telah dipetik di luar konteks.


    Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut melegakan kegusaran itu menerusi ciapan di Twitter: “Perjanjian perdagangan China kukuh sepenuhnya. Diharap mereka akan terus menepati syarat perjanjian.”

    Di bursa tempatan, kalangan saham berwajaran tinggi ialah Maybank yang susut satu sen kepada RM7.65, Public Bank jatuh 38 sen kepada RM16.40, IHH Healthcare turun sembilan sen kepada RM5.43 manakala TNB naik 10 sen kepada RM11.08 dan Petronas Chemicals meningkat 16 sen kepada RM6.43.

    Antara saham paling aktif, Trive Property naik setengah sen kepada satu sen, Vivocom Intl dan Iris Corp masing-masing menambah satu sen kepada 3.5 sen dan 18.5 sen, namun, AT Systematization merosot 1.5 sen kepada 11 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 24.40 mata kepada 10,591.57, Indeks FBMT 100 jatuh 25.40 mata kepada 10,441.83, manakala FBM 70 rendah 16.78 mata kepada 12,922.38.

    Indeks FBM Emas Shariah meningkat 14.99 mata kepada 12,024.99 dan Indeks FBM ACE menokok 154.18 mata kepada 6,282.64.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.24 mata kepada 136.09, Indeks Perladangan turun 12.20 mata kepada 6,734.54 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 141.70 mata kepada 12,872.52.

    Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 4.81 bilion saham bernilai RM2.35 bilion daripada 3.15 bilion saham bernilai RM2.32 bilion pada Isnin.

    Jumlah dagangan waran naik kepada 460.71 juta unit bernilai RM100.23 juta daripada 382.67 juta unit bernilai RM90.07 juta semalam.

    Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 3.47 bilion saham bernilai RM535.44 juta berbanding 2.80 bilion saham bernilai RM704.07 juta.

    Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 638.89 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (730.09 juta), pembinaan (269.01 juta), teknologi (1.95 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.68 juta), hartanah (119.88 juta), perladangan (54.62 juta), REIT (70.76 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (602.43 juta), penjagaan kesihatan (51.20 juta), telekomunikasi dan media (136.55 juta), pengangkutan dan logistik (193 juta) dan utiliti (21.24 juta). – Bernama



    Sumber

  • Quran Corner di hospital jadi daya tarikan dekati Islam

    Quran Corner di hospital jadi daya tarikan dekati Islam

    PUTRAJAYA – Quran Corner yang ditempatkan di hospital menjadi daya tarikan utama untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Islam.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, inisiatif yang jalankan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu dilihat dapat memberi manfaat kepada pesakit dan petugas kesihatan.

    “Sebagai petugas barisan hadapan ia tentu sekali dapat memulih kesucian hati dalam merawat,” katanya.

    Menurutnya, apabila hati individu suci, segala-galanya menjadi baik.

    “Begitu juga bagi pesakit kerana terdapat ayat di dalam al-Quran sebagai penyembuh yang boleh diamalkan sebagai doa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas penyerahan sumbangan al-Quran oleh pewakaf menerusi WUIF di pejabatnya di sini hari ini.

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kanan) bersama Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menunjukkan plakad My #QuranTime ketika majlis penyerahan al-Quran di Kementerian Kesihatan Malaysia. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

    Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kanan) bersama Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menunjukkan plakad My #QuranTime ketika majlis penyerahan al-Quran di Kementerian Kesihatan Malaysia. – FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

    Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

    Beliau berkata, mendalami al-Quran dapat memisahkan individu tersebut daripada dunia yang kini penuh dengan tekanan.

    “Ia dapat mendidik kita berpandukan kepada ajaran mulia dan boleh disampaikan kepada mereka yang memerlukan pertolongan,” katanya.

    Terdahulu, Dr Adham menerima 1,500 naskhah al-Quran untuk digunakan oleh seluruh kakitangan yang bertugas di Ibu Pejabat KKM.

    Sementara itu, Nasir berkata, hampir 70,000 naskhah al-Quran telah diedarkan kepada petugas kesihatan di fasiliti kesihatan sejak program wakaf tersebut bermula April lalu.


    “Kita telah agihkan 69,101 kepada hospital, klinik kesihatan untuk mereka gunakan dan mengamalkannya,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini didorong oleh kenaikan harga minyak mentah global.

    Pada jam 9.18 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2750/2850 berbanding dolar AS daripada 4.2770/2850 yang dicatatkan semalam.

    Seorang peniaga berkata, harga minyak global menunjukkan tanda-tanda pemulihan berikutan pengeluaran yang lebih terhad ketika sebahagian besar negara telah membuka ekonomi masing-masing.

    “Harga minyak global berpotensi untuk mencecah sehingga AS$50 setong pada akhir tahun dan sebarang kenaikan harga itu sememangnya baik untuk pendapatan minyak dan gas Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama kecuali bagi dolar Singapura yang menyaksikan ringgit mengukuh pada 3.0621/0704 daripada 3.0657/0717 semalam.

    Ringgit bagaimanapun susut berbanding yen Jepun kepada 4.0028/0133 daripada 3.9987/9080, rendah berbanding pound Britain kepada 5.3211/3344 daripada 5.3035/3151 dan turun berbanding euro kepada 4.8060/8189 daripada 4.7954/7052. – Bernama



    Sumber

  • Celcom lancar dua pelan internet prabayar tanpa had

    Celcom lancar dua pelan internet prabayar tanpa had

    CELCOM Xpax telah melancarkan dua pelan internet prabayar tanpa had terbaharu bagi memberikan kepuasan lebih kepada para pelanggan untuk melayari internet, berhibur, berhubungan dengan mereka yang tersayang dan bermacam-macam lagi.

    Pelayaran internet lancar tanpa had ini pastinya memberikan pengalaman lebih menarik untuk pelanggan Celcom Xpax prabayar untuk melakukan pelbagai aktiviti di platform media sosial seperti membuat panggilan dan berchatting dengan rakan serta keluarga, menonton filem dan sebagainya di rangkaian terluas di Malaysia! Pasti pelan terbaharu ini amat mengujakan!

    Para pelanggan boleh mendapatkan tawaran prabayar tanpa had Celcom Xpax untuk pelayaran internet dan panggilan tanpa had serendah RM12 sebulan.

    Selain pelan mingguan RM12, ia juga ditawarkan secara bulanan berharga RM35.Pas internet mingguan dan bulanan tanpa had Celcom Xpax ini membolehkan pelanggan menikmati aktiviti internet yang digemari dengan kuota tanpa had serta panggilan tanpa had ke semua rangkaian.

    Pelanggan prabayar Celcom Xpax kini boleh menikmati kemudahan akses internet berkelajuan tinggi di mana dan boleh melanggan pas internet prabayar ini bila-bila sahaja melalui aplikasi Celcom Life.

    Pengguna juga akan menikmati data ‘Hotspot’ mingguan 1GB PERCUMA dan data ‘Hotspot’ bulanan 3GB PERCUMA!

    Selain itu, pas internet mingguan dan bulanan Tanpa Had Celcom Xpax ini juga turut didatangkan dengan ciri pembaharuan secara automatik, di mana pelan yang dilanggan akan diperbaharui setiap penghujung hari ketujuh bagi pas Mingguan atau hari ke-30 bagi pas Bulanan.

    Ciri ini bagi memastikan pelanggan prabayar Celcom Xpax kekal terhubung di mana sahaja mereka berada.

    Ultra Hour Pass Celcom Xpax turut memberikan kelajuan tanpa had pada bila-bila masa yang diperlukan dengan hanya RM1 sejam, memacu kelajuan serta mengubah had kelajuan 3Mbps.

    Pelanggan hanya perlu log masuk ke aplikasi Celcom Life, dan memilih menu ‘Buy More’, diikuti dengan mana-mana pilihan Hourly Unlimited Internet.

    Pas Internet Tanpa Had prabayar Celcom Xpax yang terbaru ini kini tersedia bagi semua pelanggan prabayar Celcom yang baru dan sedia ada. Untuk melanggan, log masuk ke aplikasi Celcom Life atau dengan mendail kod USSD *118*2#.

    Bukan itu saja tau, Celcom juga menawarkan peluang untuk memenangi barangan keperluan harian percuma selama setahun di mana promosi berkenaan bakal berakhir pada 31 Julai depan.

    Rebut peluang keemasan ini dan beralih segera kepada pelan Prabayar Tanpa Had daripada Celcom Xpax dengan melayari laman web www.celcom.com.my/xpax sekarang!

    Sementara itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah memasuki fasa pemulihan dan bermakna banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat.

    Namun Celcom tetap prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat akibat pandemic Covid-19 dengan menawarkan ganjaran Belanja Barangan Dapur Selama Setahun untuk menggembirakan para pelanggan mereka.

    Peraduan itu disediakan khusus untuk para pelanggan Celcom dengan hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM500,000.

    Peraduan ini dijalankan dari 12 Mei hingga 31 Julai 2020 dan dalam tempoh tiga bulan ini para pelanggan Celcom memiliki peluang besar untuk memenangi hadiah wang tunai.

    Peraduan ini terbuka untuk semua pelanggan prabayar Celcom Xpax dan pelanggan pascabayar Celcom yang layak.

    Pelanggan hanya perlu membuat sebarang transaksi samada pembayaran bil, langgan pelan internet, Walla dan sebagainya secara dalam talian atau di mana-mana cawangan bluecube Celcom serta wakil Celcom yang sah.

    Pelanggan akan menerima penyertaan mengikut jumlah transaksi. Sebarang bayaran bil akan menerima 1 penyertaan, terhad kepada dua kali bayaran sebulan. Transaksi berjumlah RM1 – RM10 akan menerima dua penyertaan, sehinggalah transaksi RM51 dan ke atas menerima 5 penyertaan.Sepanjang tempoh peraduan, semakin banyak transaksi yang dilakukan oleh pelanggan di akaun mereka yang aktif, maka semakin tinggi peluang mereka untuk menang.

    Terdapat dua kategori pemenang, iaitu pemenang mingguan dan pemenang satu tahun. Hadiah yang diberikan pula dalam bentuk kredit e-wallet Boost. Pemenang mingguan akan menerima kredit Boost bernilai RM100, manakala pemenang kategori satu tahun akan menerima kredit Boost RM1,000 selama 12 bulan berturut-turut, dalam akaun Boost mereka.

    Senarai pemenang akan diumumkan di halaman Kempen Raya Celcom atau dimaklumkan melalui aplikasi Celcom Life.

    Senang cerita, anda cuma perlu lakukan rutin bulanan seperti membayar bil sudah melayakkan anda menyertai Peraduan Ceria Raya Celcom 2020 ini. Tetapi kalau nak dapat lebih penyertaan, kenalah buat perkara lain seperti transaksi pembelian barangan atau perkhidmatan di platform atas talian seperti dinyatakan. Yang penting, jangan lupa bayar bil setiap bulan untuk memastikan anda berpeluang memenangi hadiah kredit e-wallet Boost ini. Mana tahu, boleh dapat RM1,000 selama 12 bulan.



    Sumber

  • Niaga hadapan KLCI dibuka tinggi

    Niaga hadapan KLCI dibuka tinggi

    KONTRAK niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dibuka tinggi pagi ini, meskipun prestasi kadar asas pasaran tunai agak lemah.

    Pada jam 9.30 pagi, kontrak bulan semerta Jun 2020 meningkat 1.0 mata kepada 1,504.5, Julai 2020 dan September 2020, masing-masing menokok 0.5 mata kepada 1,502.0 dan 1,487.5, sementara September 2020 naik 2.5 mata kepada 1,482.0.

    Jumlah dagangan ialah 3,580 lot dengan kepentingan terbuka pada 31,266 kontrak.

    Petunjuk pasaran FBM KLCI turun 1.49 mata kepada 1,505.77 selepas 30 minit diniagakan. – Bernama



    Sumber

  • Saham FGV meningkat susulan pengurangan yuran Lembaga Pengarah

    Saham FGV meningkat susulan pengurangan yuran Lembaga Pengarah

    KUALA LUMPUR – Saham FGV Holdings Bhd di Bursa Malaysia meningkat pagi ini berikutan pelabur memberi reaksi positif ke atas pengurangan yuran Lembaga Pengarahnya sebanyak 20 peratus.

    Pada 9.59 pagi, kaunter tersebut menokok tiga sen kepada RM1.06 sen dengan 566,250 saham bertukar tangan.

    Semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-12 pada Jumaat, pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd bersetuju pengurangan yuran sebanyak 20 peratus berkuat kuasa Julai 2020 hingga Disember 2020.

    Selain itu, beliau berkata, kakitangan dalam pengurusan kanan akan mengambil dua hari cuti mandatori tanpa gaji dan pengurangan 20 peratus elaun kereta mereka dalam tempoh sama.

    “Dari perspektif Lembaga Pengarah, adalah wajar kami memainkan peranan untuk membantu walaupun kecil,” katanya pada sidang akhbar maya selepas AGM berkenaan. – Bernama



    Sumber