Blog

  • Ikhlas sedia perkhidmatan korban dalam talian

    Ikhlas sedia perkhidmatan korban dalam talian

    Jenama baharu perniagaan AirAsia.com, Ikhlas menyediakan perkhidmatan korban dalam talian bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah berkenaan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan.

    Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, inisiatif berkenaan membolehkan umat Islam memenuhi kewajipan masing-masing dengan mudah dan lancar pada harga berpatutan menerusi ikhlas.com/qurban.

    “Bagi sambutan Aidiladha tahun ini, kami ingin menawarkan cara yang paling mudah untuk melaksanakan ibadah korban kepada semua.

    “Pasukan Ikhlas akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami di 35 buah negara untuk mengagihkan daging kepada komuniti yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Beliau berkata, terdapat dua pakej agihan disediakan melalui perkhidmatan berkenaan iaitu untuk komuniti luar negara dan komuniti tempatan.

    “Bagi pakej agihan kepada komuniti di luar negara, satu bahagian lembu berharga RM300 dan seekor lembu (7 bahagian) berharga RM2,100 manakala seekor kambing berharga RM580.

    “Bagi pakej agihan komuniti tempatan pula, satu bahagian lembu berharga RM750 dan seekor lembu berharga RM5,250,” katanya.

    Jelasnya, setiap pakej korban yang ditempah akan menerima Mata Ganjaran BIG (1 Mata Ganjaran BIG untuk setiap RM1) manakala sebahagian daripadanya pula akan disalurkan ke tabung ‘Derma Dengan Ikhlas’.

    Tambahnya, individu yang membuat tempahan daging korban akan menerima sijil rasmi memaparkan lokasi agihan.

    Tempahan untuk perkhidmatan korban dalam talian itu dibuka sehingga 30 Julai 2020.



    Sumber

  • Peluang pendidikan di Akademi Vokasional McDonald’s

    Peluang pendidikan di Akademi Vokasional McDonald’s

    KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) kepada pelajar lepasan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) yang berminat dalam bidang perkhidmatan makanan.

    Melalui jalinan kerjasama strategik tersebut, pelajar kolej vokasional yang menyertai program anjuran McDonald’s Malaysia itu akan dianugerahkan SKM Tahap Tiga oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia setelah tamat mengikuti program.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, kerjasama dengan McDonald’s Malaysia merupakan inisiatif positif ke arah menyediakan akses kepada pendidikan alternatif untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran yang lebih luas kepada pelajar berusia 15 tahun ke atas apatah lagi dalam era pasca koronavirus (Covid-19), kerjasama institusi pendidikan dan pihak industri perlu dipergiat bagi membangunkan modal insan secara holistik dan berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta negara keseluruhannya.

    “KPM melalui Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) akan terus memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mendukung hasrat kerajaan dalam memacu pembangunan tenaga mahir tempatan ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat berbilang bangsa.

    “Inisiatif ini juga dilihat dapat memperkasa TVET melalui program SLDN sedia ada yang ditawarkan di 15 kolej vokasional merangkumi 26 bidang,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) McDonald’s Malaysia dengan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.

    Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, pihaknya gembira KPM melalui BPLTV memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Akademi Vokasional McDonald’s untuk menawarkan program pembelajaran berbentuk kemahiran kepada pelajar kolej vokasional.

    “Melalui program disediakan ini, ia mampu memberi lebih banyak peluang kepada belia untuk memenuhi potensi diri mereka, mempelajari kemahiran baharu dan membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan.

    “Dengan standard dan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa terbaik yang kami miliki, ini merupakan kelebihan dan kelainan yang ingin kami ketengahkan kepada belia,” katanya

    Azmir berkata, buat masa ini, Kolej Vokasional ERT Setapak merupakan satu-satunya kolej vokasional yang menawarkan program SLDN McDonald’s.

    Menurutnya, program itu akan ditawarkan secara berperingkat di kolej vokasional terpilih lain di seluruh negara.

    “Pelajar kolej vokasional yang mengikuti program tersebut bakal ditaja sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia termasuk diberi elaun bulanan sebanyak RM1,200, tempat tinggal, faedah perubatan dan insurans serta makanan percuma.

    “Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan RM30,000 untuk seorang pelajar.

    “Setelah tamat program, dengan SKM Tahap Tiga yang diperoleh, mereka layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di negara ini atau menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya.



    Sumber

  • Penghuni flat ceria dapat makan spageti percuma

    Penghuni flat ceria dapat makan spageti percuma

    SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, hampir keseluruhan rakyat Malaysia turut menerima kesan kewangan kerana wabak berkenaan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan B20).

    Dengan semangat kekitaan bersandarkan kepada slogan #kitajagakita, seluruh warganegara bersatu untuk membantu mereka yang terbeban dengan masalah kewangan dan kesulitan hidup ini.

    Rakyat Malaysia berusaha menggunakan pelbagai cara dan platform untuk menyalurkan sumbangan dan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, jenama Prego Malaysia terpanggil untuk menyerlahkan nilai keprihatinan kepada masyarakat.

    Oleh itu, melalui program amal #PregoCares satu inisiatif pengumpulan sumbangan diwujudkan di mana setiap rakyat Malaysia boleh menyumbang apabila membeli sebarang produk keluaran Prego bermula 1 Jun lalu sehingga 30 Jun nanti.

    Setiap unit produk Prego yang terjual, sebanyak RM0.30 akan disumbangkan untuk membeli barangan keperluan bagi dihulurkan kepada kumpulan sasar.

    Pada akhir kempen sumbangan itu nanti, Campbell Malaysia akan menyalurkan pek bantuan barangan keperluan harian termasuk semua produk rangkaian Campbell Malaysia bernilai RM50 setiap kepada 1,400 isi rumah.

    Justeru itu, rakyat Malaysia diseru untuk menghulurkan sumbangan dengan cara membeli sebarang produk Prego sama ada melalui platform pembelian secara atas talian, Lazada atau mengunjungi mana-mana kedai mahupun pasaraya yang menjual produk jenama Prego di seluruh negara.

    Dengan cara ini, setiap lapisan masyarakat dapat membantu satu sama lain terutamanya mereka yang memerlukan bantuan akibat masalah pandemik Covid-19 ini.

    Bukan sekadar itu sahaja, pihak Prego juga turut melaksanakan aktiviti turun padang melalui program amal bantuan makanan #PregoCares yang bermula pada 27 Mei lalu hingga 29 Jun.

    Jenama sos pasta terkemuka di Malaysia ini menyasarkan untuk menyediakan 70,000 bantuan makanan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

    Melalui Program Amal Bantuan Makanan #PregoCares, sejumlah 14,000 hidangan akan diedarkan selama tempoh 28 hari iaitu sebanyak 500 hidangan sehari.

    Hidangan makanan berkenaan disumbangkan kepada komuniti yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Lembah Klang.

    Program amal Prego ini juga menyaksikan kolaborasi bersama syarikat katering; Chef on Wheels dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang bertindak sebagai kumpulan pengedaran makanan.

    Prego berharap dengan sumbangan bantuan makanan ini mampu meringankan beban dihadapi golongan B40 dan B20 dengan menyediakan hidangan yang menyihatkan untuk seisi keluarga.

    Prego berharap dengan sumbangan bantuan makanan ini mampu meringankan beban dihadapi golongan B40 dan B20 dengan menyediakan hidangan yang menyihatkan untuk seisi keluarga.

    Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa sepanjang program #PregoCares dengan melayari laman web Prego Malaysia dan Facebook Prego Malaysia.



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

    KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan penyusutannya apabila dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas harga minyak tidak mengalami sebarang kenaikan.

    Pada jam 9.10 pagi, ringgit disebut harga pada 4.2850/2900 berbanding 4.2840/2880 sewaktu ditutup semalam.

    Menurut Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes, sentimen juga ternyata tidak memberangsangkan susulan perkembangan luaran namun di Asia khususnya terdapat risiko membabitkan isu perundangan Hong Kong yang mendapat bantahan daripada AS, United Kingdom serta Jepun.

    “Saya berpendapat kesan daripada amaran agensi (penarafan) mengenai hutang akan terus mempengaruhi prestasi ringgit sepanjang minggu ini.

    “Risiko tukaran asing misalnya dijangkakan tidak berlaku hari ini berikutan peristiwa penting dan berisiko itu hanya ketara menjelang pengumuman mengenai data gaji bukan perladangan AS,” katanya kepada Bernama.

    Minyak mentah Brent diniagakan lebih rendah pada AS$41.90 setong manakala harga West Texas Intermediate (WTI) susut kepada AS$39.64 setong.

    Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama.

    Unit tempatan itu rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0743/0781 daripada 3.0718/0756 serta susut berbanding pound Britain kepada 5.3438/3513 daripada 5.3100/3167, semalam.

    Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.8211/8271 daripada 4.8007/8068 serta susut berbanding yen Jepun pada 3.9868/9922 daripada 3.9833/9881. – Bernama



    Sumber

  • Allianz unjur pertumbuhan hasil satu digit

    ALLIANZ Malaysia Bhd (Allianz) mengunjurkan pertumbuhan hasil satu digit sahaja bagi tahun kewangan 2020.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata, Allianz berjaya mencatatkan kenaikan hasil pada

    Sumber

  • SME Bank peruntuk RM2.1 bilion bantu kontraktor kecil, PKS

    SME Bank memperuntukan dana sehingga RM2.1 bilion untuk Skim SME Go dan program Dana SME Transformasi Teknologi PKS (STTF).

    Peruntukan itu disediakan berikutan mandat yang diberikan oleh Perdana Menteri,

    Sumber

  • Axiata Digital peroleh pelaburan RM299.3 juta

    Axiata Digital peroleh pelaburan RM299.3 juta

    AXIATA Digital Services Sdn Bhd (Axiata) memperoleh pelaburan strategik bernilai AS$70 juta (RM299.3 juta) daripada Great Eastern Holdings Ltd untuk memperkukuh perkhidmatan kewangan digitalnya (DFS) yang sedang pesat berkembang di seluruh rantau ini.

    Menerusi pelaburan berkenaan, Great Eastern memegang 21.8 peratus kepentingan dalam perniagaan DFS Axiata Digital iaitu Boost Holdings Sdn Bhd manakala bakinya sebanyak 78.1 peratus dimiliki Axiata Digital.

    Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah berkata, pelaburan strategik itu adalah pencapaian terpenting kepada Axiata untuk mengembangkan portfolio perniagaan DFS di Malaysia dan rantau ini.

    “Pelaburan ini adalah yang ketiga diraih Axiata Digital selepas Sumitomo melabur RM85.53 juta dalam pengiklanan digital dan Mitsui membuat pelaburan RM213.8 juta ke dalam syarikat ini.

    “Kerjasama ini secara tidak langsung membawa hubungan antara Axiata Digital dan Great Eastern ke tahap baharu bersandarkan kepada pengalaman dan kepakaran dimiliki syarikat insurans terkemuka itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai perjanjian antara Axiata Digital-Great Eastern secara maya yang dipancarkan secara langsung dari Singapura baru-baru ini.

    Perjanjian itu dimeterai antara Mohd Khairil dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern, Khor Hock Seng dan disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

    Sementara itu, Hock Seng berkata, pelaburan strategik dengan Axiata membolehkan Great Eastern menyertai teknologi kewangan itu yang merancang untuk mengembangkan perniagaannya di rantau ini.

    “Dengan memanfaatkan rangkaian dan keupayaan Axiata, kami ingin mengembangkan jangkauan kami ke segmen pelanggan baharu untuk memenuhi keperluan kewangan mereka,” katanya.



    Sumber

  • Covid-19: Bursa Malaysia ditutup tinggi

    Covid-19: Bursa Malaysia ditutup tinggi

    KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengekalkan momentum positif sepanjang hari untuk ditutup tinggi hari ini disokong oleh kaunter berkaitan penjagaan kesihatan dan produk pengguna meskipun kebimbangan berterusan terhadap koronavirus (C) yang memberi kesan kepada semua sektor.

    Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.54 mata atau 0.43 peratus untuk ditutup kepada 1,500.97 daripada paras penutup 1,494.43 pada Isnin.

    Indeks itu dibuka turun 1.02 mata kepada 1,492.07 dan bergerak antara paras 1,494.97 dan 1,509.12 sepanjang hari dagangan.

    Keseluruhan suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 554 berbanding 388, manakala 448 kaunter tidak berubah, 560 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan turun kepada 5.34 bilion saham bernilai RM3.74 bilion daripada 6.01 bilion saham bernilai RM3.05 bilion pada Isnin.

    Di peringkat serantau, Nikkei Jepun meningkat 1.63 peratus kepada 22,354.38, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.01 peratus kepada 24,301.28 dan Indeks Straits Times Singapura naik 0.94 peratus kepada 2,598.36.

    Di dalam negara, lebihan perdagangan Malaysia meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun kepada RM10.41 bilion bulan lepas, lebihan perdagangan bulanan tertinggi yang direkodkan pada Mei sejak Mei 2008.

    Ia juga merupakan kali keempat negara mencapai lebihan perdagangan di atas paras RM10 bilion tahun ini dan melantun semula daripada defisit RM3.5 bilion yang dicatatkan pada April, defisit bulanan pertama Malaysia dalam tempoh 22 tahun.

    Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM7.51, IHH Healthcare turun 10 sen kepada RM5.50, Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.20, manakala Tenaga dan Public Bank menokok enam sen setiap satu masing-masing kepada RM11.62 dan RM16.50.

    Dalam kalangan kaunter paling cergas, AT Systematization susut 3.5 sen kepada 10.5 sen, VSolar turun setengah sen kepada 6.5 sen Careplus berkurangan empat sen kepada RM1.42 dan waran HLT Global jatuh satu sen kepada 43.5 sen, manakala Sapura Energy meningkat setengah sen kepada 9.5 sen.

    Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 59.6 mata kepada 10,551.98, Indeks FBMT 100 naik 59.8 mata kepada 10,413.00 dan FBM 70 menokok 132.01 mata kepada 12,939.63.

    Indeks FBM Emas Shariah naik 85.8 mata kepada 12,039.29 manakala FBM ACE susut 40.62 mata kepada 6,164.31.

    Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.1 mata kepada 133.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.75 mata kepada 12,712.51 dan Indeks Perladangan menokok 16.1 mata kepada 6,710.24.

    Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.57 bilion saham bernilai RM2.91 bilion daripada 2.53 bilion saham bernilai RM2.3 bilion pada Isnin.

    Jumlah dagangan waran naik kepada 486.17 juta unit bernilai RM131.97 juta berbanding 443.87 juta bernilai RM103.76 juta sebelumnya.

    Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 2.28 bilion saham bernilai RM691.41 juta daripada 3.03 bilion saham bernilai RM645.07 juta.

    Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 310.15 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (672.3 juta), pembinaan (192.0 juta), teknologi (164.09 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (48.23 juta), hartanah (143.3 juta), perladangan (33.05 juta), REITs (20.36 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (646.9 juta), penjagaan kesihatan (99.92 juta), telekomunikasi dan media (75.47 juta), pengangkutan dan logistik (138.47 juta) dan utiliti (27.57 juta). – Bernama



    Sumber

  • ASNB umum agihan pendapatan ASB 3 Didik, ASN Equity

    ASNB umum agihan pendapatan ASB 3 Didik, ASN Equity

    KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3 (ASB 3 Didik) dan 2.00 sen seunit untuk dana harga berubah, ASN Equity 2, bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2020.

    Jumlah pengagihan pendapatan bagi ASB 3 Didik adalah sebanyak RM275.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 298,560 pemegang unit yang memiliki lebih 6.5 bilion unit.

    Jumlah pembayaran agihan pendapatan ASN Equity 2 pula sebanyak RM29.4 juta dan akan memberi manfaat kepada 33,277 pemegang unit, yang memiliki lebih 1.4 bilion unit.

    Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, agihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi ASB 3 Didik itu telah mengatasi penanda aras pulangan 2.10 peratus yang dicatatkan oleh Deposit Tetap 12-Bulan Maybank iaitu sebanyak 215 mata asas.

    “Setakat 31 Mei, 2020 ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasikan bernilai RM251.4 juta,” menurut PNB dalam kenyataan hari ini.

    PNB berkata, hasil dividen sebanyak 4.04 peratus bagi ASN Equity 2 itu adalah berdasarkan Nilai Aset Bersih dana setakat 25 Jun, 2020 manakala setakat 31 Mei, 2020 ASN Equity 2 mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasikan sebanyak RM34.6 juta.

    Pengagihan pendapatan yang diumumkan oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan pendapatan lain, katanya.

    “Ini adalah selaras dengan matlamat PNB untuk terus memberikan pulangan jangka panjang kepada pemegang unitnya,” menurut PNB.

    Ia berkata, pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik pada 1 Julai 2020 bagi kedua-dua dana tersebut.

    PNB merupakan syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion.

    ASNB pula adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 33 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. Ia kini mengurus 14 dana unit amanah dengan hampir 258 bilion unit dalam edaran serta 14.4 juta akaun. – Bernama



    Sumber

  • TNB buat pembayaran dividen tertinggi

    TNB buat pembayaran dividen tertinggi

    BANGSAR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya melaksanakan pengurusan operasi dan modal yang cekap serta berkesan sekali gus mencatatkan pemberian dividen tertinggi sebanyak RM5.69 bilion bagi tahun kewangan 2019.

    Ini berikutan Lembaga Pengarah TNB turut meluluskan dividen khas 50 sen sesaham menjadikan jumlah dividen sesaham RM1.

    Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persetujuan Lembaga Pengarah memberi dividen khas tambahan adalah cerminan pengurusan modal secara berkesan dan sebagai ganjaran tambahan atas kesetiaan dan sokongan berterusan para pemegang saham.

    “TNB komited memberikan nilai kepada pemegang saham dengan mengimbangi pertumbuhan syarikat melalui pengurusan modal yang proaktif,” katanya selepas mempengerusikan AGM TNB di sini hari ini.

    Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama TNB secara maya berjalan lancar hari ini selaras mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP), sekali gus memastikan keselamatan dan kesihatan para pemegang saham.

    Turut bersama pada AGM ke-30 di Kompleks Balai Islam An-Nur itu ialah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan barisan pengurusan tertinggi Syarikat.

    Mahdzir berkata, mesyuarat agung dalam talian itu adalah antara mercu tanda TNB menyesuaikan diri dengan norma-norma baru dalam usaha berterusan kita membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).



    Sumber