Blog

  • Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

    Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS

    RINGGIT ditutup tidak berubah berbanding dolar AS hari ini apabila Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) hari ini.

    Pada jam 6 petang, ringgit kekal pada paras penutup Isnin pada 4.2750/2800 berbanding dolar AS.

    Pada mesyuarat keempatnya tahun ini, MPC mengurangkan OPR kepada 1.75 peratus, kadar terendah sejak tahun 2004.

    Mesyuarat itu memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, pada awalnya ringgit mengukuh atas sokongan kenaikan pasaran bon apabila Sekuriti Kerajaan Malaysia menarik permintaan yang cepat.

    Bagaimanapun momentum itu merosot apabila pasaran ekuiti tempatan bergelut susulan sekatan pergerakan di Melbourne selepas kes baharu koronavirus (Covid-19) melonjak di bandar kedua terbesar di Australia itu.

    “Jika inflasi kekal rendah BNM mungkin akan melaksanakan satu atau dua lagi penurunan yang dijangka memberi impak kecil kepada mata wang kerana hasil sebenar di Malaysia masih kekal tinggi,” kata Innes dalam satu nota penyelidikan hari ini.

    Indeks harga pengguna Malaysia turun 2.9 peratus tahun ke tahun pada Mei 2020 tidak berubah dari April 2020.

    Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

    Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0164/0659 daripada 3.0698/0745 pada Isnin dan mengukuh berbanding yen kepada 3.9679/9729 daripada 3.9745/9803.

    Ringgit juga menokok berbanding pound Britain kepada 5.3326/3410 daripada 5.3420/3500 dan meningkat berbanding euro kepada 4.8188/8257 daripada 4.8273/8347. – Bernama



    Sumber

  • BNM turunkan kadar faedah

    BNM turunkan kadar faedah

    KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi kepada 1.75 peratus, kadar terendah sejak tahun 2004.

    BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2 peratus dan 1.50 peratus.

    “Pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global. Keadaan ekonomi global terus lemah dengan pertumbuhan global diunjurkan negatif pada tahun ini,” kata bank pusat.

    Menurut BNM, pengurangan OPR memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

    “MPC akan terus menilai keadaan yang sentiasa berubah-ubah dan implikasinya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri secara keseluruhan. BNM akan terus menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan,” kata bank pusat.

    Walaupun paras terendah dijangka berlaku pada suku kedua, kelemahan menyeluruh dalam pasaran pekerja dan sikap isi rumah dan perniagaan yang berhati-hati boleh menjejaskan pemulihan pada masa depan.

    “Beberapa ekonomi utama telah mula melonggarkan langkah-langkah pembendungan pandemik Covid-19 yang membawa kepada penyambungan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur. Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun kegiatan penghindaran risiko terus tinggi.

    “Risiko prospek global menjadi lebih perlahan masih wujud, terutamanya jika pandemik kembali menular dan memerlukan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan,” kata bank pusat.

    Bagi Malaysia, aktiviti ekonomi menguncup dengan ketara pada suku kedua tahun ini disebabkan oleh langkah-langkah yang diperkenalkan untuk membendung pandemik pada peringkat global dan dalam negeri.

    “Susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur dan berperingkat sejak awal bulan Mei, kegiatan ekonomi telah mulai pulih daripada paras terendah pada suku kedua. Pakej rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan terus memperkukuh prospek pertumbuhan ekonomi,” kata BNM.

    Ekonomi dalam negeri yang diunjurkan bertambah baik dijangka terus disokong oleh pemulihan keadaan pertumbuhan global secara beransur-ansur.

    Bagaimanapun, kadar dan kekuatan pemulihan masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan yang berpunca daripada faktor dalam dan luar negeri.

    “Hal ini termasuk sekiranya wabak pandemik kembali menular yang menyebabkan pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan, keadaan pasaran buruh yang semakin lemah, dan pemulihan pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan,” kata bank pusat.

    Sementara itu, BNM berkata, tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana pada 2020 apabila purata inflasi keseluruhan berkemungkinan menjadi negatif pada tahun ini, mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang jauh lebih rendah

    “Risiko penurunan harga yang menyeluruh dan berterusan adalah terhad apabila kegiatan ekonomi diteruskan semula dan keadaan permintaan bertambah baik. Namun begitu, prospek inflasi masih dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia. Inflasi asas diunjurkan rendah dan pada kadar yang dijangkakan,” kata bank pusat. – Bernama



    Sumber

  • Global Beauty Concept anjur bengkel kecantikan

    Global Beauty Concept anjur bengkel kecantikan

    GLOBAL Beauty Concept mengajak orang ramai menyertai bengkel kecantikan yang dianjurkan iaitu Beauty Business Workshop pada 12 Julai ini di Aras 9, Menara Summit, USJ 1, Subang Jaya, Selangor.

    Pengasasnya, Rozieta Ghazali berkata, bengkel yang bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang itu bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang kecantikan.

    “Kami mengenakan bayaran serendah RM100 sahaja kepada peserta dan mereka akan diberikan panduan perniagaan melalui teori serta praktikal untuk menjadi usahawan dalam bidang kecantikan.

    “Mereka juga akan didedahkan cara untuk membina perniagaan dalam bidang kecantikan sebagai eksekutif spa bergerak atau ejen Giena & Co yang mampu menjana pendapatan sehingga lima angka sebulan,” katanya kepada Bisnes Sinar.

    Menurutnya, peserta juga akan didedahkan dengan kursus pemasaran bagi membantu mereka memasarkan dan melariskan produk serta menarik pelanggan.

    “Bidang kecantikan penting bagi mereka yang mengambil berat terhadap kecantikan dan penampilan diri.

    “Justeru, peluang harus diambil kerana industri ini mampu menjana pendapatan lumayan kepada mereka yang sentiasa berusaha dan mempunyai minat dalam bidang kecantikan,” katanya.

    Rozieta berkata, beliau menyasarkan seramai 50 peserta akan mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan dan setakat ini seramai 20 peserta telah mendaftarkan diri.

    “Mereka yang mahu menambah pendapatan, terutamanya suri rumah, ibu tunggal, golongan hilang pekerjaan akibat koronavirus (Covid-19) dan graduan dipelawa untuk bersama kami.

    “Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, mereka harus merebut peluang ditawarkan kerana bidang kecantikan mempunyai potensi yang cerah,” katanya.

    Katanya, beliau yakin bengkel dianjurkan itu mampu meningkatkan keyakinan peserta yang menceburi perniagaan kecantikan, sekali gus memperbaiki taraf ekonomi mereka.

    “Mereka yang berminat menyertai bengkel ini boleh menghubungi kami di talian 017-274 6880.

    “Peserta hanya perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM50 manakala selebihnya dilunaskan pada hari penganjuran bengkel ini,” katanya.

    Tambahnya, mereka yang menyertai bengkel akan menerima hadiah menarik dan pelbagai ganjaran lain.

    Rozieta merupakan seorang usahawan berjaya yang menceburi perniagaan kecantikan sejak 23 tahun lalu dengan hanya bermula dari rumah.

    Beliau memiliki sebuah spa iaitu Beauty Palace Muslimah Spa dan produk kecantikan sendiri, Giena & Co yang mempunyai 18 rangkaian produk.



    Sumber

  • KDNK berkembang 6.3 -7.5 peratus pada 2021: Tengku Zafrul

    KDNK berkembang 6.3 -7.5 peratus pada 2021: Tengku Zafrul

    KUALA LUMPUR – Agensi-agensi antarabangsa telah mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2021 akan berada dalam sekitar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Menteri Kewangan berkata, unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam mengurus koronavirus (Covid-19), serta memacu dan memelihara ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan.

    “Memandangkan Malaysia adalah ekonomi terbuka, sama ada pertumbuhan kita akan bentuk U ataupun V, ia juga tertakluk kepada faktor luaran seperti pemulihan rakan dagang utama kita serta rantaian bekalan global,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada acara “Invest Malaysia 2020” yang berlangsung di sini hari ini.

    Malaysia mencatatkan hanya lima kes baharu Covid-19 pada Isnin, dengan 198 kes aktif serta kadar pemulihan sekitar 98 peratus setakat ini.

    “Kadar jangkitan mungkin rendah di negara kita, tetapi masyarakat sentiasa diingatkan agar jangan terlalu leka.

    “Setiap orang telah diminta untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan aktiviti bagi mencegah jangkitan baharu di negara ini,” kata beliau.

    Tengku Zafrul berkata, untuk 2020, KDNK telah dianggarkan dalam sekitar -3.8 peratus hingga 0.5 peratus oleh pelbagai agensi.

    Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berada dalam lingkungan -2.0 peratus hingga – 0.50 peratus, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (-3.8 peratus) dan Bank Dunia (-3.1 peratus).

    “Ini memang dijangka sepenuhnya memandangkan lebih 150 daripada 195 negara di dunia diramal mencatatkan pertumbuhan negatif untuk tahun ini.

    “Tetapi, apa yang paling penting adalah memastikan krisis kesihatan dunia tidak berubah menjadi krisis ekonomi. Dan itu sebabnya, Malaysia telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kata beliau.

    Sementara itu, mengenai kesihatan dan daya tahan pasaran modal Malaysia, Tengku Zafrul berkata sejak dekad lepas, pasaran modal Malaysia telah berkembang pada purata 5.1 peratus setiap tahun dan bernilai lebih RM3 trilion, yang kini dua kali lebih besar saiz KDNK negara.

    Ini adalah hampir sama dari segi jumlah permodalan pasaran ekuiti serta nilai bon yang belum dijelaskan, kata beliau.

    Tengku Zafrul menambah FBM KLCI juga telah menunjukkan ketahanan berbanding negara-negara lain pada akhir Jun, 2020.

    “Dan antara pasaran baharu muncul ASEAN, pasaran kita adalah yang terbaik. Pada urus niaga penutup semalam, FBM KLCI hampir dapat mengumpulkan lebih RM200 bilion permodalan pasaran, menyaksikan pasaran kembali ke paras yang pernah dilihat pada awal tahun,” kata beliau.

    Dari segi jumlah aset yang diuruskan oleh pengurus dana, Malaysia telah menyaksikan purata pertumbuhan tahunan sembilan peratus kepada RM823 bilion pada akhir 2019, dipacu oleh pelaburan dalam dana unit amanah, yang menyaksikan purata pertumbuhan tahunan 8.7 peratus sepanjang tempoh yang sama, dengan jumlah nilai aset bersih RM482 bilion.

    “Tanpa ragu, pasaran modal telah berperanan sebagai platform utama menggerakkan simpanan dan pelaburan dengan memperuntukkan sumber dengan cekap bagi membiayai perniagaan yang mewujudkan pekerjaan dan kekayaan,” kata beliau.

    Pada bulan Mei sahaja, negara ini menyaksikan purata nilai dagangan harian meningkat 65 peratus berbanding April dan mencatatkan nilai dagangan harian tertinggi berjumlah RM9 bilion.

    “Jumlah dagangan harian sebanyak 11 bilion saham direkodkan pada bulan yang sama, paras yang tidak pernah dicapai sejak 2010. Ini mencerminkan keyakinan pelabur dalam pembukaan semula ekonomi secara berperingkat di Malaysia, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah,” kata Tengku Zafrul.

    Sementara itu, pelabur runcit tempatan telah membeli bersih lebih daripada RM6 billion pada akhir Jun, dengan nilai purata dagangan harian (ADV) RM0.9 bilion, iaitu 90 peratus daripada ADV institusi tempatan.

    “Ini disokong lagi oleh pertumbuhan ADV sebanyak 128 peratus berbanding pertumbuhan tahunan purata 9.7 peratus sejak tiga tahun lepas.

    “Seperti yang sering diungkap, di sebalik setiap krisis, terdapatnya peluang. Kita percaya pelabur yang kembali ke pasaran Malaysia pada bulan Mei untuk melabur dalam syarikat yang meraih keuntungan bukan sahaja daripada pembukaan semula ekonomi, tetapi dari sejumlah langkah-langkah rangsangan dan insentif cukai yang ditawarkan oleh kerajaan,” tambah beliau.

    Selain daripada itu, Tengku Zafrul berkata, pelbagai penarafan global juga telah mengesahkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai metrik dan ini adalah bukti terhadap dasar dan langkah kukuh negara.

    Antaranya, Malaysia berada di kedudukan keempat dunia dalam menangani krisis Covid-19 oleh Indeks Toluna-Blackbox Persepsi Krisis Global 2020; tempat ke-12 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 serta dalam Indeks “DHL Global Connectedness Index 2019”; tempat ke-26 dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020; dan tempat ke-27 Indeks Daya Saing Global 2019 Forum Ekonomi Dunia.

    Beliau berkata, daripada kesemua penarafan itu, jumlah pelaburan Malaysia yang diluluskan adalah bukti kedudukan negara dalam memudahkan perniagaan.

    Awal tahun ini, lima projek pembuatan dan perkhidmatan oleh pelaburan asing bernilai RM4.6 bilion telah diluluskan dalam sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik serta peranti perubatan.

    Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM208 bilion.- Bernama



    Sumber

  • Tekun sasar 500 rider

    Tekun sasar 500 rider

    Tekun Nasional menyasarkan 500 penghantar (rider) e-panggilan menyertai skim Tekun Mobileprenuer 2.0 yang menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Wan Jaafar berkata, setakat ini seramai 48 rider telah mendaftar skim berkenaan yang mana lima daripadanya telah diluluskan.

    “Sebanyak RM5 juta telah disediakan untuk Tekun Mobileprenuer 2.0 yang mana skim bertujuan untuk membeli motosikal baharu dan modal pusingan kepada rider yang telah mendaftar dengan syarikat e-panggilan.

    “MEDAC dan Tekun Nasional membuka peluang ini kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat koronavirus (Covid-19) untuk menjadi ‘gig worker’ atau penghantar makanan yang telah mendaftar dengan syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tekun Mobileprenuer di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

    Hadir sama ialah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi Tekun Nasional, Shaharizukirnain Abd Kadir.

    Wan Junaidi berkata, skim Tekun Mobileprenuer 1.0 telah diadakan pada awal April 2020 merupakan skim pembiayaan tanpa faedah kepada rider e-panggilan dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000.

    Sehingga kini, beliau berkata, seramai 215 permohonan telah diluluskan melalui Tekun Mobileprenuer 1.0 dan menerima pembiayaan dengan nilai RM402,000.

    “Kedua-dua skim yang ditawarkan Tekun Nasional adalah terbuka khusus untuk Bumiputera dan India sahaja.

    “Sasaran penyertaan di bawah program ini ialah seramai 1,000 rider e-panggilan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian mencadangkan agar rider menubuhkan koperasi untuk membolehkan mereka mendapat manfaat dan keuntungan berpanjangan.

    Sementara itu, katanya, Tekun Nasional turut menawarkan pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun mulai 13 Julai ini bagi membolehkan syarikat mikro memulihkan perniagaan.

    Jelasnya, sebanyak RM100 juta telah disediakan bagi tujuan berkenaan melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

    “Skim ini menyediakan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dengan kadar faedah yang dikenakan sebanyak 3.5 peratus setahun.

    “Setiap pembiayaan akan diberikan tempoh moratorium selama enam bulan,” katanya.



    Sumber

  • Bank Islam sedia bantu pelanggan terjejas Covid-19

    Bank Islam sedia bantu pelanggan terjejas Covid-19

    BANK Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menasihatkan pelanggannya yang terjejas akibat koronavirus (Covid-19) supaya menghubungi pihaknya bagi mengatur penyelesaian terbaik memandangkan tempoh moratorium selama enam bulan dijadualkan tamat pada September ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya peka dengan keperluan pelanggan dan secara proaktif telah menyediakan pelbagai penyelesaian untuk membantu mereka mengatasi keadaan ekonomi yang tidak menentu ini.

    “Pelan strategik telah dirangka dan pelanggan hanya perlu datang untuk berbincang dengan kami. Mereka dinasihatkan hadir ke cawangan Bank Islam berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Bank Islam,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Beliau berkata, Covid-19 membawa cabaran yang tidak diduga dan kesukaran dialami semua pihak adalah berbeza.

    Justeru, bank telah memberikan moratorium selama enam bulan dan pelanggan akan membayar jumlah ansuran yang sama selepas tempoh tersebut.

    Jelasnya, sebanyak 394,000 pelanggan daripada segenap segmen telah diberikan kemudahan berkenaan.



    Sumber

  • GSC galak pembelian tiket secara dalam talian

    GSC galak pembelian tiket secara dalam talian

    GOLDEN Screen Cinema (GSC) menggalakkan orang ramai yang mahu menonton wayang di pawagamnya membeli tiket secara dalam talian, menurut syarikat berkenaan dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Katanya, langkah tersebut adalah satu daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan pelanggan selepas pawagam berkenaan dibenarkan beroperasi semula pada 1 Julai lalu.

    “Pembelian dalam talian membolehkan jarakkan sosial dilakukan bagi mengelakkan pelanggan beratur di kaunter, sekali gus mengurangkan kontak sesama mereka,” menurut kenyataan itu.

    Menurutnya, tiket boleh dibeli menerusi aplikasi Mobil GSC atau laman web mereka di www.gsc.com.my.

    “Pelanggan kemudiannya boleh menuntut tiket di pintu masuk pawagam dengan mengimbas kod respon pantas (QR) di pagar auto.

    “Sekiranya pagar auto tidak berfungsi, pelanggan boleh menunjukkan pas dalam talian kepada kakitangan kami,” katanya.

    GSC menjelaskan, antara langkah lain yang diambil bagi menjamin keselamatan pelanggan ialah mengambil bacaan suhu, mengisi borang pengisytiharan digital, proses nyahkuman di setiap pawagam serta kawalan jarak.

    Selain itu, GSC turut mewajibkan pemeriksaan suhu dan pemakaian topeng muka kepada semua kakitangannya yang bertugas di pawagam.

    “Mereka yang mempunyai bacaan suhu melebihi 37.5 darjah celcius dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan untuk memasuki pawagam,” katanya.

    Terdahulu, GSC menghentikan operasi pawagamnya selama tiga bulan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).



    Sumber

  • Bank Rakyat bantu rakyat terjejas

    Bank Rakyat bantu rakyat terjejas

    BANK Rakyat menawarkan pelbagai kemudahan kewangan kepada pelanggan sebagai inisiatif membantu mereka yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

    Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyedari keperluan pelanggan yang terjejas dan berharap tawaran tersebut boleh membantu mereka menampung keperluan kehidupan khususnya yang memerlukan aliran tunai segera.

    Menurut kenyataan itu, tawaran istimewa tersebut meliputi produk pembiayaan peribadi sehinggalah produk bagi program usahawan.

    “Kita sedang giat mempromosikan kempen BizCare untuk usahawan dengan peruntukan kemudahan pembiayaan bernilai RM250 juta manakala BizLady pula, peruntukan bernilai RM50 juta menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM300 juta.

    “Sebanyak RM5.4 juta diperuntukkan kepada 26 pemohon sejak April sehingga Jun tahun ini untuk wilayah utara. Kempen yang bermatlamat membantu melonjakkan semula pertumbuhan ekonomi negara ini ditawarkan sehingga 31 Disember ini,” katanya.

    Bank Rakyat berkata, menerusi kedua-dua kempen tersebut, usahawan bagi perusahaan mikro yang menepati kriteria ditetapkan berpeluang memperoleh pembiayaan minimum sebanyak RM1,000 sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga 5.75 tahun atau 69 bulan.

    “Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan koperasi, pelanggan berpeluang mendapatkan pembiayaan minimum berjumlah RM20,000 sehingga RM300,000 bagi tempoh sehingga 5.75 tahun atau 69 bulan.

    Selain itu, Bank Rakyat turut menawarkan produk Pembiayaan Peribadi-i dengan kadar pembiayaan serendah 2.51 peratus setahun.

    “Pembiayaan ini bagi pelanggan yang memerlukan aliran tunai segera,” kata kenyataan itu.

    Menerusi kempen Stay Safe, Save More! di bawah produk Pembiayaan Kenderaan-i, ia bagi pelanggan yang berhasrat untuk membeli kereta baharu dan tawaran tersebut telah berlangsung dari 17 Jun sehingga 30 September ini.

    Menurutnya, Bank Rakyat turut memperkenalkan Kempen 7 Bulan dan 11 Bulan menerusi Akaun Deposit-i Berjangka (Individu).

    “Kempen ini bagi menghargai kesetiaan pelanggan yang mana, ia juga untuk membantu pelanggan merancang kewangan dengan bijak serta meningkatkan potensi keuntungan dalam menghadapi kehidupan norma baharu.

    “Pelanggan hanya perlu mendeposit minimum sebanyak RM10,000 dalam Akaun Deposit-i Berjangka dan boleh membuat pilihan untuk meletakkan deposit bagi tempoh 11 bulan dengan kadar keuntungan sebanyak 3.0 peratus setahun atau 2.8 peratus setahun until tempoh tujuh bulan,” kata kenyataan itu lagi.

    Pelanggan di Pulau Pinang yang berminat boleh menghubungi cawangan Bank Rakyat di Georgetown, Bukit Mertajam, Jawi, Jelutong, Seberang Jaya, Kepala Batas dan Bayan Baru.

    Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian tele-Rakyat di 1300-80-5454 atau kunjungi laman web korporat di www.bankrakyat.com.my atau laman media sosial @mybankrakyat (Facebook, Instagram dan Twitter).



    Sumber

  • Perodua catat jualan bulanan tertinggi

    Perodua catat jualan bulanan tertinggi

    PERODUA mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada Jun lalu iaitu sebanyak 21,250 kenderaan, hampir tiga kali ganda lebih tinggi daripada bulan sebelumnya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

    Menurutnya, peningkatan tersebut dirangsang oleh pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan bagi membantu industri automotif.

    “Langkah kerajaan untuk mengecualikan cukai jualan membolehkan pembeli menikmati harga kenderaan yang dikurangkan – bagi Perodua kurang antara 3 hingga 6 peratus.

    “Kenaikan jualan kami ini dipacu oleh penurunan harga tersebut, sekali gus membolehkan Perodua membantu ekosistem pembekal dan pengedar pada masa yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Justeru, katanya, Perodua akan memastikan pembeli menerima kenderaan mereka secepat mungkin tanpa berkompromi dengan keselamatan dan kualitinya.

    Pada 5 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan insentif cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) dan pengecualian 50 peratus bagi kenderaan yang diimport sepenuhnya (CBU) sehingga akhir tahun ini.

    Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, jualan Perodua setakat tahun ini (YTD) kini berjumlah sekitar 74,000 unit.

    “Perodua berjaya menjual 8,601 kenderaan pada Mac sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada 18 Mac, sekali gus membawa kepada penutupan operasinya selama dua bulan.

    “Perodua kembali beroperasi secara rasmi di seluruh negara pada 19 Mei dan berjaya menjual 7,886 kenderaan sebelum akhir bulan tersebut,” katanya.



    Sumber

  • MBSB catat untung RM716.9 juta

    MBSB catat untung RM716.9 juta

    MALAYSIA Building Society Berhad (MBSB) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM716.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding pencapaian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

    Untung sebelum cukai pada tahun kewangan berakhir Disember 2019 ialah RM897.43 juta dipacu oleh pendapatan perbendaharaan lebih tinggi hasil pelaburan kewangan yang turut menyumbang RM3.01 bilion dan kenaikan 5.21 peratus dari tahun sebelumnya.

    Aset meningkat hingga RM50.71 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 daripada RM45.43 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

    Kedudukan modal kumpulan tetap kukuh, melaporkan Nisbah Common Equity Tier 1 (CET1) lebih tinggi pada 19.1 peratus untuk tahun kewangan berakhir Disember 2019.

    Kos nisbah pendapatan (CIR) meningkat pada tahun 2019 kepada 28.37 peratus berbanding 29.53 peratus pada tahun sebelumnya.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman menyampaikan prestasi kewangan MBSB kepada pemegang sahamnya dari Wisma MBSB di Kuala Lumpur menerusi penstriman video.

    Hadir sama, Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Kewangan, Tang Yow Sai.

    Beliau berkata, MBSB berjaya bertahan walaupun pertumbuhan ekonomi lemah.

    “Kami memahami persekitaran akan terus menjadi sangat mencabar, namun kami akan tetap fokus kepada rancangan kami yang disemak semula akibat koronavirus (Covi-19).

    “MBSB mencadangkan Single-Tier Final Dividend sebanyak tiga sen setiap saham biasa untuk Tahun Kewangan Berakhir 2019,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, bank telah melancarkan inisiatif digitalnya seperti aplikasi perbankan mudah alih, pembukaan akaun dalam talian dan e-wallet tahun ini.

    “MBSB akan mengoptimumkan portfolio pelaburannya dengan membina keupayaan transaksi untuk meningkatkan pendapatan yuran.

    “Kami juga memfokuskan kepada penggunaan teknologi serta mempercepatkan usaha untuk membangunkan perniagaan baharu dan kemampuan operasi melalui automasi,” katanya.



    Sumber