Blog

  • Tesco teroka tenaga solar

    Tesco teroka tenaga solar

    SEBANYAK 15 daripada 62 cawangan pasar raya Tesco di seluruh negara akan dijana dengan tenaga solar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores Sdn Bhd (Tesco), Paul Ritchie.

    Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah hasil kerjasama pasar raya berkenaan dengan syarikat usaha sama PETRONAS dan NEFIN Group iaitu NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS) melalui Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) untuk tenaga solar di Malaysia.

    Beliau berkata, perjanjian selama 20 tahun sehingga 2040 itu akan menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di atas bumbung 15 cawangan Tesco terpilih.

    Jelasnya, pemasangannya yang dijangka selesai pada Oktober itu merupakan fasa pertama dalam usaha Tesco mengunakan tenaga boleh diperbaharui.

    “Panel solar PV ini secara kolektif akan menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

    “Tenaga yang dihasilkan dari panel-panel solar PV juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama satu tahun,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

    Cawangan yang dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Jitra, Tesco Kulim dan Tesco Stargate di Kedah; Tesco Ipoh, Tesco Station 18 dan Tesco Kampar di Perak; Tesco Klang, Tesco Puchong, Tesco Bukit Puchong dan Tesco Rawang di Selangor; Tesco Bukit Mertajam dan Tesco Seberang Jaya di Pulau Pinang serta Tesco Extra Seremban Jaya di Negeri Sembilan.

    Beliau berkata, usaha tersebut dalam masa sama turut membantu Tesco mengurangkan pelepasan karbon dan menggunakan tenaga bersih di cawangan dinyatakan. Sementara itu, Pengarah NESS, Dr Jay Mariyappan berkata, pihaknya yakin dapat menyokong Tesco merealisasikan matlamat menjaga kelestarian alam sekitar.

    “NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di semua 15 cawangan Tesco, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem.

    “Kami telah melantik Solarvest sebagai kontraktor Kejuruteraan Perolehan Pembinaan (EPC) tempatan untuk projek ini,” katanya.

    Tesco-NESS PPA sangat penting kepada Tesco kerana ia menyokong matlamat syarikat induknya, Tesco Group untuk menjadi perniagaan tanpa karbon menjelang 2050.



    Sumber

  • PMB Investment umum lima dana terbaik

    PMB Investment umum lima dana terbaik

    PMB Investment Berhad (PMB Investment) yang merupakan ahli kumpulan Pelaburan MARA Berhad mengumumkan lima daripada 16 dana di bawah pengurusannya merekodkan prestasi cemerlang.

    Dana tersebut terdiri daripada PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD, PMB Shariah Growth Fund, PMB Shariah Small-Cap Fund, PMB Dana Mutiara dan PMB Shariah Index.

    Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, dana tersebut berada dalam Lipper Investment Management bagi kategori unit amanah Ekuiti Malaysia, Ekuiti Pertumbuhan, Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan dan dana Ekuiti Index.

    Menurutnya, PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD bagi kategori dana Ekuiti Pertumbuhan mencatat pulangan sebanyak 29. 6 peratus bagi tempoh setahun hingga 30 Jun 2020 dan 12.1 peratus bagi tempoh tiga bulan bermula 31 Mac lalu.

    “PMB Shariah Growth Fund yang berada di pasaran bagi Ekuiti Pertumbuhan Malaysia mencatat pulangan sebanyak 24.7 peratus untuk prestasi setahun dan pulangan sebanyak 42 peratus bagi tempoh tiga bulan.

    “Sementara PMB Shariah Small-Cap Fund mencatat pulangan sebanyak 15.2 peratus setahun atau 26 peratus untuk tempoh tiga berakhir 30 Jun bagi kategori Ekuiti Pertumbuhan Malaysia,” katanya pada pengumuman prestasi lima dana terbaik PMB Investment di 1 Sentral Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

    Najmi Mohamed - Foto:ROSLI TALIB

    Najmi Mohamed – Foto:ROSLI TALIB

    Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

    Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Isnami A Mohtar.

    Sementara itu, Najmi berkata, PMB Investment turut merekodkan kedudukan cemerlang dalam kategori Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan Malaysia bagi tempoh setahun dan tiga bulan.

    “Ia melalui PMB Dana Mutiara yang merekodkan pulangan sebanyak 13.2 peratus setahun dan 31.2 peratus bagi tempoh tiga bulan yang berakhir 30 Jun 2020.

    “Pelaburan PMB Shariah Index juga berjaya melepasi penanda aras FBM Emas Syariah dalam kategori Ekuiti Syariah Indeks Malaysia apabila mencatatkan prestasi pulangan berjumlah 9.7 peratus setahun dan 25.5 peratus bagi tempoh tiga bulan,” kata beliau.



    Sumber

  • Hamdi Rich sasar keluarkan 20 produk OEM baharu

    Hamdi Rich sasar keluarkan 20 produk OEM baharu

    PENGELUAR rangkaian produk berasaskan herba berjenama Hafana, Hamdi Rich Sdn Bhd (Hamdi Rich) mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan perniagaannya dengan meneroka segmen pengeluaran produk tulen (OEM) khusus untuk pasaran tempatan.

    Pengasasnya, Farizan Zakaria atau dikenali sebagai Pak Long Hafana berkata, permintaan tinggi terhadap produk OEM dengan pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah memberangsangkan, sekali gus menjadikannya peluang perniagaan yang baik kepada syarikat.

    Menurutnya, sebanyak 35 syarikat telah menghasilkan produk OEM bersama Hamdi Rich seperti produk minuman dan jus dengan pelbagai jenis pembungkusan seperti botol dan paket.

    “Sebanyak 70 peratus daripada syarikat OEM menghasilkan produk minuman berasaskan koko, kopi, teh, barli dan soya manakala selebihnya menghasilkan jus kesihatan,” katanya kepada Bisnes Sinar.

    Beliau berkata, walaupun masih baharu dalam segmen OEM, sebanyak lima syarikat terlibat menumpukan kepada pasaran tempatan telah menjana pendapatan tujuh angka, sekali gus membuktikan Hamdi Rich sebagai pengeluar produk OEM yang dipercayai.

    “Dengan pengalaman hampir 12 tahun dalam industri penghasilan makanan berasaskan herba dan minuman dan jus, kami terus menawarkan produk yang berkualiti dan memenuhi kehendak semua pelanggan,” katanya.

    Beliau berkata, Hamdi Rich menyasarkan untuk berkolaboratif bersama 20 syarikat baharu untuk menghasilkan pelbagai jenis produk minuman dan jus menjelang akhir tahun ini.

    Katanya, sehingga Jun 2020, pihaknya telah menerima enam syarikat baharu yang berminat untuk bekerjasama dengan Hamdi Rich.

    Jana pendapatan RM1 juta

    “Syarikat juga mengunjurkan untuk melahirkan lima lagi usahawan OEM menjana pendapatan sehingga RM1 juta pada tahun ini.

    “Saya berkeyakinan sasaran ini mampu dicapai berikutan beberapa produk yang kami hasilkan menjadi pilihan utama dalam pasaran,” katanya.

    Tambahnya, syarikatnya yang terletak di Kompleks Perniagaan Taman Kasih, Kuala Sungai, Alor Setar, Kedah itu telah menghasilkan dua tan metrik produk minuman atau jus dalam sehari.

    Hamdi Rich terlibat dalam segmen OEM sejak 2015 dengan membantu usahawan yang berminat untuk mengeluarkan produk menggunakan jenama sendiri.

    “Bermodalkan RM2,000 mereka boleh mempunyai produk sendiri dengan kami,” katanya yang turut mengikuti pelbagai latihan dan kursus dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Sirim Berhad serta agensi kerajaan lain.

    Farizan berkata, untuk memantapkan usahawan, syarikat turut berkolaboratif dengan Kolej Komuniti Bandar Darul Aman bagi mewujudkan Akademi Hafana yang telah melahirkan 140 usahawan alumni.

    “Akademi Hafana ditubuhkan untuk membantu dan mengajar usahawan menghasilkan pelbagai jenis produk seperti sabun, syampu, minyak wangi.

    “Seramai 23 usahawan telah berjaya menghasilkan produk yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran tempatan,” katanya.

    Justeru, beliau berkata, Hamdi Rich merancang untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu secara berperingkat menjelang akhir tahun 2020.

    Produk berasaskan herba

    Selain menerajui penghasilan produk OEM di utara Semenanjung Malaysia, Farizan juga menumpukan perhatian kepada perniagaannya dengan mengeluarkan produk berasaskan herba berjenama Hafana, sekali gus terlibat dalam bidang pembangunan dan penyelidikan produk.

    Menurutnya, Hafana terkenal dengan produknya Vitagrac selain mempunyai 17 rangkaian produk termasuk produk minuman sedia untuk diminum (RTD), pencuci dikenali sebagai Tonyoh dan sebagainya.

    “Terdapat beberapa produk yang mendapat permintaan tinggi seperti Kokoha, Kopi Sumac, Tigo Malt dan Teh Sumac yang mencatatkan jualan sebanyak 70,000 unit sebulan. Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), produk Kopi Sumac mencatatkan jualan 40,000 unit.

    “Saya menyasarkan jualan keseluruhan produk ini mencecah 100,000 unit sebulan sebelum akhir tahun ini. Sasaran ini mampu dicapai kerana strategi syarikat untuk menambah bilangan ejen kepada 500 orang dan memfokuskan kepada pemasaran digital yang agresif selain penjenamaan produk,” katanya.

    Katanya, syarat menjadi ejen Hafana dengan bermodalkan RM120 sahaja dan memperoleh empat bungkus Kopi Sumac dan mereka yang berminat boleh menghubungi Hamdi Rich di talian 016-3884819 dan melayari www.myhafana.com.my.

    Farizan yang berpengalaman dalam bidang perniagaan sejak 2005 mula menghasilkan jenama Hafana pada tahun 2008.

    Beliau kini merancang mengeluarkan lima produk baharu menjelang hujung akhir tahun ini.



    Sumber

  • Ringgit dibuka tinggi seiring harga minyak mentah

    Ringgit dibuka tinggi seiring harga minyak mentah

    RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, seiring dengan prestasi harga minyak mentah yang meningkat 0.23 peratus kepada AS$43 setong.

    Pada 9 pagi ini, ringgit mengukuh kepada 4.2630/2680 berbanding dolar AS daripada 4.2680/2720 semalam.

    Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata, walaupun ringgit meningkat sedikit namun secara keseluruhannya pasaran mata wang lebih kepada kedudukan bertahan menjelang pertemuan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dijadualkan hari ini.

    “Saya tidak yakin mesyuarat OPEC itu akan banyak menjejaskan pasaran. Oleh itu, pasaran tukaran asing tidak akan banyak dipengaruhi dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bersama OPEC itu,” katanya kepada Bernama.

    Menurut Innes, meskipun langkah perintah berkurung California merupakan sesuatu yang tidak menarik untuk pasaran, namun risiko di Asia agak terpencil dalam konteks mendapat rangsangan susulan pembukaan semula China.

    “Mujurlah ringgit mampu berharap kepada China tetapi saya tidak nampak sebarang langkah ketara dalam pasaran tukaran asing minggu ini berikutan tindakan peniaga yang lebih dalam kedudukan bertahan.

    “Namun sekali lagi, minggu depan akan menyaksikan faktor luaran menjejaskan lonjakan ringgit. Bagaimanapun dalam tukaran asing Asia, ringgit dijangka kekal bertahan sambil menunggu rangsangan seterusnya daripada renminbi,” katanya.

    Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama pagi ini, kecuali yen yang menyaksikan ringgit meningkat kepada 3.9730/9780 berbanding 3.9758/9806.

    Berbanding dolar Singapura, ringgit diniagakan rendah pada 3.0645/0696 daripada 3.0628/0661.

    Dari segi perbandingan dengan pound Britain, ringgit susut kepada 5.3599/3679 daripada 5.3431/3485 manakala berbanding euro, ringgit rendah kepada 4.8645/8719 daripada 4.8484/8534. – Bernama



    Sumber

  • Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

    Bursa Malaysia bercampur-campur pada tengah hari

    BURSA Malaysia kekal bercampur-campur pada tengah hari ini tetapi terus berlegar di atas paras 1,600.

    Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.67 mata kepada 1,601.51 dipacu terutamanya oleh kaunter pengeluar sarung tangan, Top Glove dan Hartalega.

    Indeks itu dibuka tinggi naik 4.56 mata kepada 1,596.40 berbanding paras penutup 1,591.84 pada Jumaat dan melepasi paras 1,600 selepas 34 minit dagangan.

    Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 549 berbanding 423, manakala 379 kaunter tidak berubah, 603 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah RM5.69 bilion saham bernilai RM3.25 bilion.

    “Pelabur membeli teknologi selamat secara besar-besaran dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko bagi perjalanan dan perkhidmatan.

    “Peningkatan kes Covid-19 di Amerika Syarikat ketika musim pelaporan pendapatan AS menyaksikan pelabur menyimpan saham yang mereka rasakan akan mampu bertahan dengan pelaksanaan kawalan pergerakan,” kata Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes kepada Bernama.

    Beliau berkata pasaran juga melihat kebimbangan menjelang mesyuarat jawatankuasa pemantauan menteri bersama Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) pada minggu ini.

    Pelabur juga menunggu keputusan dasar monetari oleh Bank Pusat Eropah dan Bank of Japan, serta musim pelaporan pendapatan yang akan bermula minggu depan.

    Mereka juga memantau data ekonomi yang termasuk bacaan ekonomi suku kedua China.

    Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Top Glove meningkat RM1.98 kepada RM23.90, Hartalega naik 52 sen kepada RM17.58, PetChem menambah lapan sen kepada RM6.38 dam IHH menokok tiga sen kepada RM5.37.

    Sementara itu, Maybank dan Maxis turun dua sen setiap satu masing-masing kepada RM7.88 dan RM5.30 manakala Public Bank susut enam sen kepada RM18.44.

    Dalam kalangan kaunter paling cergas, PDZ Holdings meningkat 4.5 sen kepada 25 sen, Pegasus naik satu sen kepada 2.5 sen dan Vivocom meningkat setengah sen kepada 4.5 sen.

    Di papan indeks, FBM Emas meningkat 84.01 kepada 11,290.82, Indeks FBMT 100 naik 86.51 mata kepada 11,147.89 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 163.55 mata kepada 12,975.50.

    FBM 70 meningkat sebanyak 185.01 mata kepada 14,001.86 manakala FBM ACE turun 12.16 mata kepada 7,163.49.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 57.62 mata kepada 13,489.02, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.32 mata kepada 139.39 dan Indeks Perladangan turun 21.34 mata kepada 6,839.74.- Bernama



    Sumber

  • Bursa dibuka tinggi hampir mencecah paras 1,600

    Bursa dibuka tinggi hampir mencecah paras 1,600

    BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini berikutan keyakinan terhadap pemulihan pandemik Covid-19 selepas Gilead Sciences melaporkan beberapa perkembangan positif mengenai data percubaan klinikal.

    Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.28 mata kepada 1,599.12 daripada paras penutup 1,591.84 pada Jumaat minggu lepas.

    Indeks itu dibuka tinggi naik 4.56 mata kepada 1,596.40.

    Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 380 berbanding 164, manakala 299 kaunter tidak berubah, 1,111 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

    Jumlah dagangan berjumlah RM1.01 bilion saham bernilai RM396.9 juta.

    Malacca Securities berkata, pasaran saham Amerika Syarikat melantun semula apabila Dow Jones naik 1.4 peratus mencecah paras psikologi 26,000 selepas Gilead Sciences berkata Remdesivir mengurangkan risiko kematian bagi pesakit Covid-19 dan lebih banyak kajian diperlukan.

    Bagaimanapun di dalam negara ia berkata, pelabur mungkin kekal tidak memasuki pasaran susulan persidangan pertama Parlimen sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini apabila mereka menunggu perkembangan seterusnya politik tanah air.

    “Semakan semula peraturan pemutus litar (circuit breaker) mungkin memberi sokongan bagi peningkatan seterusnya,” kata firma pembrokeran itu.

    Pada Jumaat, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia mengumumkan semakan semula sementara pengurusan pasaran sedia ada dan mekanisme kawalan seperti pemutus litar bagi menyediakan kestabilan dan keyakinan kepada pasaran.

    Mekanisme yang disemak semula itu adalah bagi tempoh 20 Julai, 2020 hingga 18 Jan, 2021.

    Antara lainnya, dagangan akan dihentikan sepanjang hari apabila indeks jatuh sebanyak agregat lebih daripada 15 peratus daripada indeks penutup hari pasaran sebelumnya.

    Ketika ini, mata pencetus bagi menghentikan dagangan untuk sepanjang hari adalah apabila FBM KLCI turun sebanyak agregat 20 peratus.

    “Mengikut sektor, kami masih memilih sektor penjagaan kesihatan dalam situasi Covid-19 yang masih belum mereda ini.

    “Dalam pada itu, sektor pembinaan mungkin juga mencatatkan kenaikan sekiranya tidak berlaku perubahan besar politik dalam tempoh terdekat ini,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan.

    Malacca Securities berkata momentum kecenderungan meningkat melepasi paras yang disebut di atas mungkin merangsang bursa tempatan melonjak lagi ke arah paras 1,600, diikuti 1,615, manakala risiko menurun kekal pada 1,550, diikuti 1,530.

    Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Top Glove meningkat RM1.20 kepada RM23.12, Hartalega naik 54 sen kepada RM17.60 dan PetChem menokok lapan sen kepada RM6.38.

    Bagaimanapun, harga minyak turun menjelang mesyuarat pengeluar-pengeluar utama pada minggu ini.

    Sementara itu, Maybank dan Tenaga susut dua sen setiap satu masing-masing kepada RM7.88 dan RM11.34, manakala Public Bank berkurangan 22 sen kepada RM18.28.

    Dalam kalangan kaunter paling cergas, PDZ Holdings meningkat 10.5 sen kepada 31 sen. Vivocom naik setengah sen kepada 4.5 sen dan VSolar susut satu sen kepada 4.5 sen.

    Di papan indeks, FBM Emas meningkat 68.55 mata kepada 11,275.36, Indeks FBMT 100 menokok 68.26 mata kepada 11,129.64 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 130.33 mata kepada 12,942.28.

    FBM 70 naik sebanyak 155.72 mata kepada 13,972.57 manakala FBM ACE meningkat 57.56 mata kepada 7,233.21.

    Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 24.50 mata kepada 13,522.14, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.61 mata kepada 139.68 dan Indeks Perladangan meningkat 82.09 mata kepada 6,872.11. – Bernama



    Sumber

  • Peraduan Cari Milo & Menang tawar bonus simpanan RM240,000

    Peraduan Cari Milo & Menang tawar bonus simpanan RM240,000

    MILO melancarkan Peraduan Cari Milo & Menang dengan menawarkan bonus simpanan kewangan berjumlah RM240,000 secara keseluruhan dan 168 hadiah menarik kepada pelanggan mereka khususnya pengguna produk UHT MILO.

    Peraduan yang bermula pada 6 Julai sehingga 31 Ogos di seluruh Malaysia itu bakal memilih seorang pemenang hadiah utama pada setiap minggu yang bakal membawa pulang wang tunai RM10,000 dan 20 pemenang hadiah sagu hati.

    Pengurus Pemasaran Pengguna Nestle (Malaysia) Berhad, Angeline Lim berkata, penganjuran peraduan berkenaan sebagai tanda bagi membalas sokongan pelanggan mereka khususnya sewaktu menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

    “Kami harap dengan hadiah wang tunai yang ditawarkan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban pelanggan-pelanggan kami dan mendorong mereka untuk membuat simpanan kewangan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Peraduan Cari Milo & Menang menawarkan hadiah simpanan kewangan kepada pemenang.

    Peraduan Cari Milo & Menang menawarkan hadiah simpanan kewangan kepada pemenang.

    Menerusi peraduan tersebut, Angeline berkata, ia terbuka buat semua warganegara Malaysia berumur 7 tahun ke atas iaitu mereka hanya perlu membeli produk UHT MILO bernilai sekurang-kurangnya RM4 dan melampirkan resit pembelian bersama borang penyertaan.

    Beliau berkata, peserta juga perlu memberikan jawapan betul bagi setiap kuiz dipaparkan menerusi borang penyertaan berkenaan.

    “Pemenang dipilih akan menerima wang tunai yang akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan Maybank/Maybank Islamic,” katanya



    Sumber

  • Beku pengambilan pekerja asing punca kekurangan sarung tangan getah

    Beku pengambilan pekerja asing punca kekurangan sarung tangan getah

    KUALA LUMPUR – Wabak Covid-19 yang masih berlarutan di luar sempadan Malaysia menyebabkan permintaan sarung tangan getah meningkat – sesuatu yang syarikat sarung tangan terbesar di dunia gembira mengenainya, tetapi tidak dalam keadaan kekurangan pekerja.

    Bermula Mac lalu, Malaysia mengenakan sekatan perjalanan ke negara ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung Covid-19.

    Walaupun sekatan dilonggarkan berikutan penurunan jumlah kes, kerajaan baru-baru ini mengumumkan penangguhan pengambilan pekerja asing baharu hingga akhir tahun, sambil mendorong syarikat mengambil lebih ramai rakyat Malaysia bekerja.

    Pengerusi dan Pengasas Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai memberitahu Bernama, mengharapkan hanya kepada penduduk tempatan untuk mengisi kekosongan itu bukan sesuatu yang realistik, dan akan mengurangkan daya saing Malaysia.

    Beliau berkata, pihaknya telah mengupah 2,500 pekerja tempatan tahun lalu, sebahagian daripada 19,000 tenaga kerja syarikat di seluruh dunia.

    Di sebalik usaha menggaji pekerja, tenaga kerja ketika ini tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan sarung tangan yang meningkat mendadak disebabkan Covid-19.

    “Sebelum Covid-19, kapasiti kami sekitar 80 hingga 85 peratus. Sekarang ia mencecah lebih 100 peratus. Walaupun kita tambah kemampuan baharu, kita masih belum dapat memenuhi permintaan, permintaannya terlalu banyak.

    “Jadi kami berharap kerajaan akan buka (proses pengambilan pekerja) membolehkan kami mengisi kekurangan tenaga kerja. Diharapkan menjelang 1 September selepas PKP berakhir,” katanya.

    Menurut syarikat itu, sekarang tempoh masa untuk memenuhi pesanan sarung tangan lebih dari setahun – bermakna jika seseorang memesan sarung tangan hari ini, ia akan mengambil masa lebih setahun sebelum penghantaran tiba. Sebelum wabak melanda, tempoh masanya antara 10 hingga 60 hari.

    Bernama cuba menghubungi Kementerian Sumber Manusia, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas setakat ini.

    Andy Hall, pekerja migran bebas Britain merangkap aktivis hak asasi buruh terkejut kerana syarikat itu meminta kerajaan membenarkan lebih ramai pekerja asing masuk.

    “Ia kerja yang susah, jadi tak ramai penduduk tempatan yang nak kerja di sana. Penduduk tempatan datang sekejap dan lepas tu tak datang lagi. (Pekerja asing) sanggup bekerja keras dengan upah yang sikit dan itu bukan perkara bagus.

    “Jika mereka mahukan lebih ramai pekerja bagus, tapi beri lebih banyak insentif dan perlindungan,” tambahnya.

    Top Glove menjadi tumpuan berita, didakwa melanggar hak pekerja, termasuk yang terbaru oleh Channel 4, saluran berita televisyen di United Kingdom, mengatakan syarikat itu memaksa kerja berlebihan, memotong gaji secara tidak sah dan tidak beretika ketika mengupah pekerja.

    Syarikat itu menyifatkan laporan Saluran 4 sebagai ‘tidak benar’. Beberapa syarikat sarung tangan getah lain di Malaysia turut tidak terlepas kritikan.

    Ketika ditanya, Wee Chai akui syarikatnya melakukan beberapa kesalahan dan syarikat dalam usaha memperbaikinya sebaik mungkin.

    Tambah beliau, pekerja menerima gaji sekurang-kurangnya RM1,600, melebihi gaji minimum di Malaysia, diberi pampasan mengikut masa bekerja dan mengikut kekananan, dan sesuai dengan undang-undang buruh tempatan.

    Katanya, syarikat tu juga menyediakan perkhidmatan kesihatan dan makanan percuma kepada pekerja mereka.

    Hall mengakui syarikat itu sudah menunjukkan sedikit kemajuan dalam mengatasi beberapa masalah, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.

    “Pematuhan sosial mereka semakin baik,” katanya berdasarkan pengumuman syarikat yang akan membayar pampasan kepada pekerja mereka, sebagai contoh.

    Menurut laporan berita, Top Glove telah melabur berbilion ringgit untuk mengatasi kekurangan pekerja asing.

    Ia dijangka dapat menambah 42 lagi barisan pengeluaran kepada 700 yang sedia ada menjelang akhir tahun ini, namun mustahil untuk mempercepat masa penghantaran kepada pelanggan buat masa ini.

    Sarung tangan getah, lateks dan nitril terpakai digunakan dalam industri penjagaan kesihatan, makanan dan minuman dan sanitasi.

    Syarikat ini turut menghasilkan pelitup muka, kondom, ubat gigi dan produk kesihatan yang lain.

    Menurut syarikat itu, bahagian pasarannya ialah 26 peratus dan kapasiti tahunan sarungan tangan 78.7 bilion.

    Berikutan permintaan tinggi untuk kelengkapan perlindungan diri (PPE), merangkumi sarung tangan, di tengah-tengah penularan Covid-19, syarikat mencatatkan keuntungan sebanyak RM575 juta pada Mei.

    Pada Januari, sebelum bermulanya wabak, Top Glove diperdagangkan dengan harga di bawah RM5 di Bursa Malaysia, tetapi sejak itu ia melonjak melebihi RM20.

    Nilai bersih keuntungan Wee Chai dari AS$1.2 bilion kepada AS$4.4 bilion, menjadikannya jutawan ke-1,613 dalam Senarai Individu Paling Kaya Forbes. – Bernama



    Sumber

  • Mangga Pakistan dipasarkan di semua kedai Mydin

    Mangga Pakistan dipasarkan di semua kedai Mydin

    SUBANG JAYA – Syarikat pemborong dan peruncit tempatan terbesar Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan mempromosi dan memasarkan mangga Pakistan di semua cawangannya di seluruh negara.

    Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur menerusi Kempen Promosi Mangga Pakistan 2020.

    Beliau berkata, dengan kerjasama yang dijalinkan itu, mangga berkualiti Pakistan akan dijual di semua kedai Mydin mulai hari ini.

    “Kita hargai peluang yang diberikan Suruhanjaya Tinggi Pakistan kepada Mydin menerusi kerjasama ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Promosi Mangga Pakistan yang dirasmikan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan, Amna Baloch di Mydin USJ di sini semalam.

    Pelancaran itu diadakan sempena Festival Mangga Pakistan anjuran Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Kuala Lumpur dengan sokongan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP).

    Penganjuran festival itu sebelum ini berjaya memberi pendedahan dan membuka pasaran mangga Pakistan dalam kalangan rakyat Malaysia.

    Ameer berkata, latar belakang Mydin yang bertapak sejak 63 tahun lalu sebagai pemborong dan peruncit terbesar negara dengan kutipan jualan tahunan sebanyak kira-kira RM12.8 bilion akan dapat membantu memasarkan mangga Pakistan secara lebih meluas.

    “Diharap kerjasama yang terbentuk ini diperluaskan lagi bukan hanya untuk memasarkan mangga tetapi untuk produk berkualiti lain dari Pakistan,” katanya.

    Sementara itu, Amna berkata, promosi itu bertujuan memberi peluang rakyat Malaysia menikmati keenakan rasa mangga Pakistan.

    “Kita menyusun satu siri promosi mangga Pakistan di rangkaian pasar raya Mydin iaitu Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor; Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan sepanjang musim mangga.

    “Kerjasama bersama Mydin akan diteruskan lagi dengan memperkenalkan produk Pakistan yang lain di pasaran Malaysia pada masa akan datang,” katanya.

    Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia akan bekerjasama erat dengan TDAP untuk memperkenalkan barang Pakistan di Malaysia dan mempelbagaikan import dari Pakistan kerana rakyat Malaysia sangat berminat dengan barang berkualiti dari negara berkenaan.

    Dalam pada itu, Kaunselor Perdagangan dan Pelaburan Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Shafqat Ali Khan Niazri berkata, Pakistan adalah negara pengeluar mangga keenam terbesar dunia dengan jumlah pengeluaran tahunannya sebanyak 1.8 juta tan metrik.

    “Pakistan menduduki tangga kelima terbesar dunia dari segi jumlah eksport.

    “Malaysia pula mengimport sebanyak 51,158 tan metrik mangga setiap tahun dan daripada jumlah itu sebanyak 334 tan metrik diimport dari Pakistan,” katanya.



    Sumber

  • Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

    Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

    RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan penurunan harga minyak kerana lonjakan dalam kes-kes baharu koronavirus (Covid-19) di Amerika Syarikat telah menjejaskan mood para pelabur, kata seorang penganalisis.

    Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu merosot kepada 4.2670/2750 berbanding dolar AS daripada 4.2600/2650 ketika ditutup pada Khamis.

    Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, pergerakan rancak ringgit berubah menjadi teruk kerana peningkatan kes baharu Covid-19 di AS telah menimbulkan kebimbangan mengenai penutupan ekonomi yang boleh terus menjejaskan keadaan.

    “Pertambahan kes baharu AS telah memacu pembetulan harga minyak semalaman sebanyak tiga peratus dengan penularan virus itu menyaksikan negeri-negeri seperti California, Texas dan Florida, yang menghasilkan minyak untuk negara itu, mencatatkan beberapa kes kenaikan terbesar setiap hari dan kematian minggu ini,” kata beliau kepada Bernama.

    Sementara itu, Ambank Research pula dalam notanya menjangkakan ringgit diniagakan antara paras sokongan 4.2537 dan 4.2583 sementara paras halangan pada 4.2672 dan 4.2726.

    Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

    Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura pada 3.0621/0685 daripada 3.0595/0642 pada Khamis dan lebih rendah berbanding yen pada 3.9838/9923 daripada 3.9702/9752 semalam.

    Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.8106/8213 daripada 4.8262/8335 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3726/3835 daripada 5.3906/3982. – Bernama



    Sumber