Blog

  • Ringgit meningkat berbanding Dolar AS ketika ditutup

    Ringgit meningkat berbanding Dolar AS ketika ditutup

    RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS untuk hari kedua berturut-turut, sejajar dengan mata wang serantau.

    Seorang penganalisis berkata, pasaran kewangan masih lagi bimbang dengan penularan koronavirus (Covid-19) yang boleh mempengaruhi pertumbuhan di Amerika Syarikat.

    Pada jam 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.2600/2650 berbanding dolar AS iaitu 4.2720/2770 ketika ditutup pada hari sebelumnya

    Penganalisis pasaran kanan OANDA untuk Asia Pacific Jeffrey Halley berkata, ringgit seharusnya mampu terus mengaut keuntungan dalam tempoh terdekat terutama dengan meningkatnya minat pelabur mengambil risiko memandangkan perolehan bon terus jatuh.

    “Dolar AS/ringgit boleh merosot sehingga 4.2400 pada awal minggu depan sekiranya situasi sebegini berterusan,” kata beliau kepada Bernama.

    Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

    Mata wang tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0595/0642 daripada 3.0600/0642 pada Rabu dan tinggi sedikit berbanding yen pada 3.9702/9752 daripada 3.9703/9768 semalam.

    Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.8262/8335 daripada 4.8167/8236 dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3906/3982 daripada 5.3503/3587. – Bernama



    Sumber

  • KPDNHEP, Shopee lancar Kempen Beli Barangan Malaysia

    KPDNHEP, Shopee lancar Kempen Beli Barangan Malaysia

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Shopee Malaysia telah melancarkan [email protected] bagi membantu mempertingkatkan keberkesanan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020.

    Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, kempen yang berlangsung sehingga Disember itu kembali lagi di platform tersebut untuk tahun kedua dengan tawaran lima kali ganda berbanding tahun lepas.

    Katanya, ia melibatkan pelbagai segmen peruncitan seperti barang runcit, kecantikan dan kesihatan, fesyen dan pakaian, keperluan isi rumah, permainan, buku dan hobi, barangan sukan, automotif dan tawaran dari sektor perkhidmatan seperti makanan serta minuman.

    “Kerjasama ini perlu untuk memacu pendigitalan perniagaan di Malaysia, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam memastikan ekonomi domestik tidak ketinggalan.

    “Kedua-dua sektor ini memainkan peranan untuk menangani keadaan ekonomi yang mencabar dengan melaksanakan strategi kerajaan serta menawarkan penyelesaian praktikal yang mampu memberi manfaat kepada peniaga dan pengguna,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis perasmian [email protected] dan pelancaran Buy Malaysia Circle di ibu pejabat Shopee Malaysia di Kuala Lumpur kelmarin.

    Alexander berkata, kerjasama berterusan antara KPDNHEP dan Shopee itu didorong oleh keyakinan pihaknya susulan kejayaan dicapai pada tahun lepas di mana tempahan purata harian bagi barangan buatan Malaysia di platform tersebut meningkat sebanyak 330 peratus berbanding pada tahun-tahun sebelumnya.

    Pada tahun ini, beliau berkata, Shopee ditugaskan untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dalam merancakkan semula ekonomi pasca koronavirus (Covid-19).



    Sumber

  • Public Bank kurangkan BR sebanyak 0.25 peratus

    Public Bank kurangkan BR sebanyak 0.25 peratus

    PUBLIC Bank akan mengurangkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR)/Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 0.25 peratus berkuat kuasa 10 Julai ini.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad, Tan Sri Tay Ah Lek berkata, ia selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 25 mata asas daripada 2.00 peratus kepada 1.75 peratus pada 7 Julai lalu.

    “Pada masa sama, kadar deposit tetap Public Bank juga akan diselaraskan sebanyak 0.25 peratus, berkuat kuasa pada yang sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Katanya, pengurangan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman (OPR) itu akan terus merangsang proses pemulihan ekonomi negara.

    “Public Bank komited memberi bantuan kewangan sementara berterusan kepada pelanggannya dalam tempoh mencabar yang belum pernah berlaku ini,” katanya.

    Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihaknya akan menyemak semula BR sebanyak 25 mata asas iaitu daripada 2.77 peratus kepada 2.52 peratus, sementara BFR disemak semula daripada 5.72 peratus kepada 5.47 peratus.

    Katanya, keputusan itu sejajar dengan langkah penurunan (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh BNM iaitu daripada 2.00 peratus kepada 1.75 peratus.



    Sumber

  • Oxwhite terima pelaburan RM5.8 juta

    Oxwhite terima pelaburan RM5.8 juta

    PLATFORM e-dagang Oxwhite memecah rekod ekuiti pendanaan awam Malaysia apabila berjaya meraih pelaburan sebanyak AS$ 1.1 juta (RM5.8 juta) daripada 485 pelabur pada Disember tahun lalu.

    Pengasasnya, CK Chang berkata, pelaburan diperoleh hasil strategi perniagaan yang tepat dan pengurusan kewangan berhemah.

    “Di peringkat global, dianggarkan sekitar 30 peratus perniagaan baharu gagal pada dua tahun pertama dan 50 peratus pada lima tahun pertama.

    “Dari tahun ini hingga 2023, ia merupakan tahun penting buat jenama ini untuk fokus dalam memenangi ruang gaya hidup premium dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Chang berkata, Oxwhite merancang mengembangkan perniagaan, meningkatkan usaha pemasaran dan menambah tenaga kerja, sekali gus memenuhi matlamat untuk mencapai pertumbuhan dua digit pada akhir tahun ini.

    “Kami turut menyasarkan untuk menambah pangkalan pelanggan dan mencapai sekurang-kurangnya pertumbuhan 200 peratus pada akhir tahun ini.

    “Malah, kami juga akan melancarkan 50 produk merangkumi penjagaan rumah, penjagaan diri dan pakaian sukan,” katanya.

    Oxwhite merupakan platform e-dagang gaya hidup yang menawarkan produk premium pada harga berpatutan.

    Platform berkenaan memulakan operasinya pada 2018 dengan menjual kemeja putih.

    Setakat ini, Oxwhite yang mempunyai 80,000 pengguna itu telah menjual lebih 400,000 item sejak 2018.



    Sumber

  • Bank Muamalat turunkan kadar faedah mulai 13 Julai

    Bank Muamalat turunkan kadar faedah mulai 13 Julai

    KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Bhd akan menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas, masing-masing kepada 2.56 peratus dan 5.56 peratus berkuat kuasa 13 Julai ini.

    Ini akan memberi kesan kepada semua pakej pembiayaan kadar terapung yang disandarkan kepada BR dan BFR selain kadar deposit akaun-i jangka tetap berikutan semakan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kata kumpulan perbankan Islam itu dalam kenyataan hari ini.

    “Penurunan itu akan merendahkan kos pembiayaan dan menyebabkan peningkatan pendapatan boleh guna kepada pengguna. Kami berharap ini akan mendorong perbelanjaan dan merancakkan ekonomi domestik,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Khairul Kamarudin.

    Beliau berkata, Bank Muamalat akan terus menguruskan aset dan liabilitinya dengan penuh tanggungjawab di samping menyokong inisiatif pertumbuhan ekonomi semasa. – Bernama



    Sumber

  • Guru bersara naik helikopter

    Guru bersara naik helikopter

    Guru Penolong Kanan Ko-Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh, Jumilah Zakaria melambai ke arah pelajarnya sebelum menaiki helikopter ketika diraikan pada majlis persaraan beliau hari ini.

    Jumilah yang telah berkhidmat sebagai guru selama 30 tahun turut diarak menaiki kereta mewah pada majlis tersebut. – Foto Bernama



    Sumber

  • Sime Darby Plantation bimbang tuduhan dihadapinya

    Sime Darby Plantation bimbang tuduhan dihadapinya

    KUALA LUMPUR – Sime Darby Plantation Bhd (SDP) meluahkan kebimbangan terhadap tuduhan dalam petisyen yang dikemukakan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS).

    Petisyen dikemukakan pada 20 April lalu itu untuk menyekat produk minyak sawit dan minyak sawit yang dihasilkan sepenuhnya atau sebahagiannya oleh buruh paksa dan buruh kanak-kanak dimiliki SDP serta syarikat gabungannya yang diumumkan Liberty Shared semalam.

    SDP berkata, tuduhan itu adalah berat dan bertentangan dengan komitmen dinyatakan pengeluar minyak sawit seperti terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia dan Piagam Pertanian Bertanggungjawab.

    “Kami percaya selama bertahun-tahun kami membuat kemajuan dalam menambah baik amalan melibatkan pekerja kami di lapangan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi dan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Usaha kami dapat dilihat dalam pelbagai kenyataan kami keluarkan termasuk Laporan Kemampanan 2019 terbaharu kami yang diterbitkan pada Mei, 2020.

    “Kami akui cabaran dan kerumitan melibatkan rantaian bekalan di seluruh industri dalam melaksanakan komitmen kami iaitu Dasar ‘Tiada Penebangan Hutan, Tiada Gambut dan Tiada Eksploitasi’ (NDPE),” kata SDP dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, syarikat tersebut komited untuk membasmi sebarang perilaku ketidakpatuhan dengan melakukan tindakan pembetulan segera dan sesuai sekiranya ia berlaku.

    Menurut SDP, petisyen itu dikemukakan tanpa mendapat maklum balas daripada syarikat.

    “Ketika ini, SDP hanya memiliki akses kepada kenyataan ringkas petisyen itu yang menyatakan isu dibangkitkan tanpa sebarang perincian mengenai temubual yang dijalankan.

    “Dalam semangat keterbukaan, ketelusan dan kerjasama SDP, kami berhasrat untuk berhubung dengan Liberty Shared untuk lebih memahami dakwaan tersebut secara terperinci untuk membolehkan kami melakukan penyiasatan menyeluruh dengan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.

    “Kami percaya ia akan membantu memperkukuhkan amalan kami di peringkat antarabangsa untuk memastikan kami menghormati Hak Asasi Manusia di lapangan dalam semua operasi kami,” katanya.- Bernama



    Sumber

  • Kempen ‘Masks4all’ CNI galak pakai pelitup muka

    Kempen ‘Masks4all’ CNI galak pakai pelitup muka

    SYARIKAT jualan langsung, CNI Enterpise (M) Sdn Bhd menganjurkan kempen ‘Masks4all’ bagi menggalakkan setiap individu menggunakan pelitup muka yang boleh digunakan semula dalam memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

    Pemilik Pusat Gaya Hidup Sihat CNI Changlun, Siti Rawan Ahmad berkata, kempen berkenaan bukan sahaja memelihara alam sekitar melalui penyelesaian kitar semula, malah dapat mengurangkan pembuangan pelitup muka secara tidak betul.

    Menurutnya, pelitup muka diperbuat daripada kain yang selesa digunakan itu diedarkan secara percuma sebagai tanggungjawab sosial (CSR) menerusi Yayasan CNI.

    “Pelitup muka ini boleh dibasuh dan digunakan semula, ia selamat digunakan dan mesra alam.

    “Ini antara sumbangan CNI kepada masyarakat ketika negara berdepan wabak Covid-19.

    “Sebanyak 1,000 unit diedarkan kepada penduduk, persatuan ibu tunggal serta usahawan kecil yang sentiasa bergerak mencari rezeki agar menjaga diri dan kesihatan,” katanya selepas penyerahan pelitup muka guna semula kepada 10 wakil yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah di sini semalam.

    Sementara itu, Amiruddin menyifatkan usaha CNI wajar diteruskan dalam mendidik orang ramai menjaga kesihatan diri selepas pasca Covid-19.

    “Penggunaan pelitup muka guna semula ini baik untuk alam sekitar. Jangan leka walaupun kita kini berada di penghujung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana kebarangkalian wabak berulang tetap berisiko seperti berlaku di Australia,” katanya.



    Sumber

  • Hotel MiTC tawar tiga pakej menarik

    Hotel MiTC tawar tiga pakej menarik

    MELAKA TENGAH – Dalam mendepani pandemik koronavirus (Covid-19), Hotel MiTC terus proaktif dan positif meneruskan usaha menarik kehadiran pengunjung.

    Eksekutif Pemasarannya, Nabila Mahat berkata, pihaknya mengambil pendekatan mempromosikan produk yang disediakan hotel secara kreatif melalui tawaran tiga pakej penginapan menarik seperti ‘Family Sport Package’ iaitu menikmati penginapan 2 hari 1 malam sambil bermain golf dan boling dengan harga RM130 sebilik.

    Menurutnya, bagi penggemar durian, pihaknya menyediakan pakej ‘Durian Weekend Gateway’ dan pelanggan berpeluang menikmati raja buah sambil merasai keindahan suasana Dusun Eco De Bem dengan potongan diskaun sebanyak 20 peratus dari harga pasaran.

    Sebahagian tetamu yang hadir pada majlis minum petang bersama rakan di Hotel MiTC, Ayer Keroh baru-baru ini.

    Sebahagian tetamu yang hadir pada majlis minum petang bersama rakan di Hotel MiTC, Ayer Keroh baru-baru ini.

    Malah katanya, melalui pakej golf pula, pelanggan yang menginap di hotel akan mendapat harga istimewa untuk setiap kelab Golf di Melaka seperti Ayer Keroh ‘Country and Golf Club’ dengan harga RM153.20 seorang, Tiara Melaka Golf and Country Club’ dengan harga RM160.20 seorang dan ‘Orna Golf and Country Club’ dengan harga RM130 seorang di mana tawaran itu termasuk harga buggy, insurans dan green fees.

    “Usaha yang dilakukan ini bertujuan untuk mempergiatkan sektor pelancongan Melaka sekali gus memberi dorongan positif kepada rakan industri pelancongan negeri dan negara.

    “Secara tidak langsung memberi aspirasi kepada usahawan lain untuk meningkatkan semangat produktiviti dalam memajukan industri pelancongan Melaka seterusnya mempromosikan ‘Melaka Is The Place To Be’ dan ‘Melakaku Maju Jaya Rakyat Bahagia Menggamit Dunia,” katanya selepas majlis minum petang bersama rakan di Hotel MiTC, Ayer Keroh baru-baru ini.



    Sumber

  • Penurunan OPR didorong keadaan ekonomi global

    Penurunan OPR didorong keadaan ekonomi global

    KUALA LUMPUR – Langkah Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini kepada kadar terendah 1.75 peratus daripada 2.00 peratus sebelum ini, didorong oleh keadaan ekonomi global yang masih pada awal tahap pemulihan pandemik Covid-19.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan jangkaan pelbagai agensi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, lebih 150 dari 195 negara di seluruh dunia dijangka merekodkan penguncupan ekonomi pada 2020.

    “Keputusan menurunkan kadar OPR ternyata bertujuan mempercepatkan kadar pemulihan dan seterusnya merangsang ekonomi negara.

    “Kerajaan percaya bahawa keputusan ini, digabung dengan langkah-langkah proaktif yang diperkenalkan sejak Mac 2020 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS+ dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), akan mampu merangsang ekonomi dengan mewujudkan pekerjaan, mengembalikan keyakinan pengguna dan pelabur, serta membendung kemungkinan penguncupan ekonomi yang mendadak,” katanya.

    Tengku Zafrul berkata, pemulihan ekonomi Malaysia turut tertakluk kepada usaha sama semua pihak termasuk syarikat-syarikat korporat, perusahaan kecil dan sederhana, peniaga dan pengguna terutamanya bagi memastikan nyawa dan kehidupan rakyat dilindungi serta ekonomi diperkukuhkan.

    Setakat ini, pakej-pakej rangsangan yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion telah memanfaatkan kira-kira 800,000 perniagaan dan menyelamatkan kira-kira 2.6 juta pekerjaan.

    Beliau berkata tempoh tiga hingga enam bulan akan datang merupakan tempoh yang penting bagi menjayakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Penjana yang dijangka membuahkan hasil menjelang suku ketiga atau keempat 2020.

    Selain itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia telah membuktikan daya ketahanannya dalam menangani pelbagai cabaran termasuk Krisis Kewangan Asia dan Krisis Kewangan Global berteraskan asas ekonomi yang kukuh dan kerangka institusi yang baik serta pasaran modal dan kewangan yang mantap, berdaya saing dan dikawal selia dengan baik.

    “Kerajaan akan terus memastikan ekosistem kewangan dan pelaburan Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan pada jangka masa pendek dan sederhana untuk terus menjamin kemampanan dan ketahanan ekonomi Malaysia,” katanya.

    Mengenai pengurangan terkini OPR, Bank Negara Malaysia berkata pandemik Covid-19 telah memberikan kesan yang ketara ke atas ekonomi global dan pengurangan itu akan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepat kadar pemulihan ekonomi.

    Kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2 peratus dan 1.5 peratus. – Bernama

    ARTIKEL BERKAITAN: BNM turunkan kadar faedah



    Sumber