Nilai ringgit rendah sedikit – Sinar Harian

Nilai ringgit rendah sedikit – Sinar Harian

RINGGIT diniagakan rendah sedikit berbanding dolar AS pada sesi awal hari ini kerana sesetengah pelabur dilihat mengambil kesempatan daripada nilai dolar AS yang lemah, kata peniaga.

Pada jam 9.30 pagi, nilai mata wang tempatan menyusut kepada 4.4220/4260 berbanding dolar AS daripada kadar penutup semalam 4.4160/4200.

Dalam nota pada Jumaat, peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, nilai dolar AS telah turun berikutan kenaikan sedikit dalam kadar faedah di Amerika Syarikat.

“Biasanya mata wang meningkat seiring dengan kadar faedah negara pengeluar. Walau bagaimanapun, kenaikan terbaharu di AS sudah dijangkakan dan komen daripada pegawai Rizab Persekutuan (Fed) nampaknya kini membayangkan dasar monetari yang kurang ketat.

“Sesetengah penganalisis sudah mula meramalkan Rizab Persekutuan mungkin menghentikan seketika kenaikan itu. Selain itu, dolar AS turut terjejas oleh data Jualan Rumah/Kediaman Baharu untuk bulan Februari, yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.7864/7907 daripada 4.8055/8098 pada penutup semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4254/4303 daripada 5.4379/4428 pada Khamis, tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.3950/3986 daripada 3.3679/3712 sebelumnya.

Pada masa yang sama, berbanding mata wang ASEAN yang lain, ringgit didagangkan lebih rendah.

Ringgit menyusut nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 288.1/288.5 daripada 287.70/288.10 pada penutup Khamis dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3293/3328 daripada 3.3278/3313 sebelumnya.

Mata wang tempatan itu turut turun berbanding baht Thailand kepada 12.9765/9947 daripada 12.9562/9741 semalam dan susut berbanding peso Filipina kepada 8.14/8.15 daripada 8.13/8.14 sebelumnya. – Bernama

Sumber