Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS

Nilai ringgit meningkat berbanding dolar AS

NILAI ringgit meningkat sedikit pagi Jumaat berbanding dolar AS pada pembukaan dagangan, menyaksikan bank-bank pusat utama lebih berhati-hati dalam strategi mengetatkan monetari masing-masing berikutan kebimbangan dalam sektor perbankan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4950/4990 berbanding dolar AS daripada kadar penutup semalam pada paras 4.5005/5055.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Bank Pusat Eropah (ECB) mengumumkan keputusan mengetatkan monetarinya dengan semua kadar penanda aras utama dinaikkan sebanyak 50 mata asas dengan Kemudahan Deposit kini berada pada 3.00 peratus.

Sementara itu, beliau menyatakan beberapa data di Amerika Syarikat (AS) dilihat menyokong dolar dengan data Housing Starts melantun kepada 1.45 juta pada Februari berbanding konsensus 1.31 juta, manakala Tuntutan Pengangguran Awal merosot kepada 192,000 minggu lepas daripada konsensus 205,000.

“Oleh itu, kami percaya ringgit akan meningkat sedikit kepada sekitar RM4.48 hingga RM4.49 hari ini,” katanya.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz pula berkata, dorongan makro utama seterusnya yang mungkin dapat memacu pergerakan pasaran ialah keputusan Rizab Persekutuan mengenai kadar faedah di AS, yang dijadualkan pada 22 Mac.

“Dari sudut teknikal, gandingan USD/MYR terperangkap dalam pergerakan mendatar. Penembusan melepasi paras 4.5300 mungkin memberi ruang untuk kenaikan selanjutnya,” katanya.

Sebaliknya, sekiranya penembusan di bawah 4.4630 boleh menyebabkan gandingan USD/MYR turun serendah 4.3650 dalam masa beberapa hari.

Sementara itu, mata wang tempatan diniaga kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3701/3736 daripada 3.3866/3909 pada penutup Khamis dan lebih tinggi berbanding euro menjadi 4.7728/7770 daripada 4.7777/7830 tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.4443/4492 daripada 5.4330/4390.

Pada masa yang sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding dengan mata wang utama Asean yang lain.

Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia kepada 292.00/292.50 daripada 292.30/292.90 pada Khamis, mengukuh berbanding dolar Singapura menjadi 3.3380/3415 daripada 3.3399/3438, manakala menyusut nilai berbanding baht Thai pada 13.0760/0937 daripada 13.0737/0947 semalam dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.20/8.22 berbanding 8.20/8.21 sebelumnya. – Bernama

Sumber