Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka meningkat

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka meningkat

KONTRAK niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan, menurut peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata, ini disebabkan output yang lebih lemah daripada jangkaan berikutan kekurangan buruh yang berlaku baru-baru ini.

“Kami mengunjurkan harga diniagakan di antara RM3,600 dengan RM4,100 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh menjangkakan pasaran MSM diniagakan antara RM3,000 dan RM3,100 satu tan pada minggu depan di tengah-tengah paras inventori yang tinggi dan kebimbangan mengenai kemelesetan global.

Beliau berkata, harga yang lebih rendah itu diharap akan memanfaatkan pengguna dan membantu mengurangkan kenaikan inflasi makanan.

Bagi minggu dagangan baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya rendah, dipengaruhi oleh pasaran minyak kacang soya Chicago, paras inventori yang tinggi di Malaysia dan Indonesia, harga minyak mentah yang berubah-ubah serta langkah Indonesia membatalkan levi eksportnya ke atas minyak sawit.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak bulan semerta Ogos 2022 meningkat RM147 kepada RM3,707 satu tan, September 2022 tinggi RM116 kepada RM3,701 satu tan, Oktober 2022 menokok RM90 kepada RM3,720 satu tan dan November 2022 naik RM73 kepada RM3,751 satu tan.

Komtrak Disember 2022 meraih RM53 kepada RM3,800 satu tan dan Januari 2023 menokok RM41 kepada RM3,850 satu tan.


Jumlah dagangan meningkat kepada 360,695 lot daripada 270,789 lot pada minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka naik kepada 264,060 kontrak daripada 222,879 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan kekal tidak berubah pada RM3,800 satu tan daripada Julai Selatan. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber