Mengapa syarikat penerbangan tidak boleh bekerjasama? – Tony Fernandes

Mengapa syarikat penerbangan tidak boleh bekerjasama? – Tony Fernandes

SYARIKAT penerbangan disaran menjalin kerjasama agar dapat memacu sektor pelancongan yang berperanan besar dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata, langkah strategik bekerjasama dengan Garuda Indonesia Group memberi contoh kepada industri bahawa dengan mengurangkan persaingan dan bekerjasama, ia akan menghasilkan manfaat lebih baik kepada syarikat dan pelanggan, sekali gus memacu ekonomi negara.

“Kerjasama antara dua syarikat penerbangan kini menjadi kenyataan, yang menjadi perintis.

Dari segi sejarah penerbangan, saya berpendapat bahawa kerjasama ini akan menetapkan piawaian, di mana kita tidak perlu sentiasa bersaing dan boleh bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Capital A dan Garuda Indonesia Group di Jakarta pada Rabu, di mana kedua-dua syarikat menjalin kerjasama strategik melibatkan perniagaan penerbangan komersial kos rendah, logistik, serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Mengakui syarikat penerbangan bersaing dengan sengit, Tony berkata, mereka masih mampu bekerjasama walaupun persaingan bukan sahaja tidak dapat dihalang, malahan mesti diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, banyak peluang telah disia-siakan di Malaysia meskipun terdapat pelbagai usaha boleh dilakukan dengan syarikat penerbangan tempatan jika mereka berganding bahu.

Mengambil contoh Malaysia Airlines Berhad, yang telah menghadapi isu hidangan makanan dalam penerbangan baru-baru ini, beliau berkata Santan berupaya menghasilkan makanan untuk syarikat tersebut memandangkan jenama makanan dan minuman AirAsia itu telah menghasilkan 90 juta hidangan.

“Kami turut menawarkan Malaysia Airlines peluang untuk menjual tiket mereka di AirAsia Move, di mana kami mempunyai pangkalan data yang jauh lebih besar dan ia berpotensi mendapat pelanggan dari seluruh dunia.

“Bagaimanapun, mereka memfailkan saman untuk menghalang kami daripada berbuat demikian.

Kita boleh bersaing tetapi kita harus boleh menjalin kerjasama untuk memajukan Malaysia.

Kenapa Malaysia Airlines dan AirAsia tidak boleh bekerja?” dakwa beliau.

Menekankan potensi pertumbuhan pendapatan syarikat dan ekonomi negara menerusi kerjasama syarikat penerbangan, Tony berkata, kerjasama dengan Garuda akan meningkatkan bilangan penerbangan dan laluannya, serta menawarkan lebih manfaat kepada pelanggan.

“Kedudukan kami kukuh di Indonesia pada peringkat antarabangsa tetapi kita tidak mempunyai rangkaian domestik yang besar, kita tidak pergi banyak tempat.

CitiLink mempunyai 56 pesawat terbang domestik, pergi ke banyak destinasi yang kami tidak lakukan.

“Justeru sebagai rakyat Malaysia, anda boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Jakarta, dan dari Jakarta anda kini mempunyai banyak lagi tempat yang boleh anda pergi,” ujar beliau.

Tony berkata, inisiatif AirAsia dan Garuda tersebut bukan sahaja menjadi peneraju, malah turut memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar untuk kedua-dua negara, di mana industri penerbangan tidak pernah mempunyai kerjasama kukuh di ASEAN. – DagangNews

Sumber