Maybank Islamic lancar EzyWasiat – Sinar Harian

Maybank Islamic lancar EzyWasiat – Sinar Harian

SHAH ALAM – Maybank Islamic Berhad (Maybank Islamic) telah melancarkan EzyWasiat, perkhidmatan penulisan wasiat yang inovatif dan efisien untuk umat Islam di Malaysia pada Rabu.

Maybank Islamic dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan digital baharu itu membolehkan pelanggan merancang dan menyiapsediakan wasiat mereka dengan lebih cekap dan teratur, selaras dengan syariah dan undang-undang faraid.

“Platform EzyWasiat dibangunkan mengikut model bantuan unik di mana pelanggan akan dibantu secara langsung oleh penasihat pengurusan kekayaan patuh syariah atau pengurus hubungan yang akan menggabungkan algoritma faraid untuk memudahkan proses penulisan wasiat.

“Pelanggan hanya perlu menyediakan dokumen yang betul, dan dengan bayaran serendah RM600, penulisan wasiat mereka boleh disempurnakan dalam masa 30 minit sahaja,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, tujuan utama EzyWasiat adalah untuk memberikan kelapangan minda dalam pengurusan harta dan memastikan harta tersebut diuruskan dengan betul setelah pemergian individu.

“Produk ini disasarkan kepada umat Islam dan tidak hanya terhad kepada mereka yang sudah lama berniat untuk menyediakan wasiat tetapi terhalang sama ada disebabkan oleh faktor kerumitan proses, kos atau kurangnya kemudahan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, untuk menyediakan kemudahan itu kepada pelanggan, Maybank Islamic telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat fintech, CreateWills Sdn Bhd serta menggabungkan nasihat sokongan dan pegawai perhubungan pelanggan Maybank Islamic yang berdedikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, pelancaran EzyWasiat adalah selaras dengan aspirasi bank itu untuk membangunkan penyelesaian baharu dan inovatif yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti secara meluas.

“Kami kekal komited untuk menerajui perbankan patuh syariah bukan sahaja di rantau ini malah serata dunia. Berbekalkan jalinan perkongsian pintar, kami berada pada kedudukan yang strategik untuk membuka jalan ke arah fasa pertumbuhan kewangan Islam yang seterusnya.

“Selain memenuhi janji kami terhadap kelestarian kewangan Islam, kami juga berusaha untuk mendigitalkan produk-produk kami dalam menawarkan penyelesaian kepada para pelanggan, maka tercetusnya kerjasama dengan CreateWills ini.

“Kerjasama antara Maybank Islamic dan CreateWills menandakan pencapaian penting dalam bidang perkhidmatan penulisan wasiat bagi umat Islam, khususnya dari segi perancangan harta patuh Syariah. Ia juga mengukuhkan komitmen Maybank Islamic untuk menjadikan perkhidmatannya mudah diakses oleh semua umat Islam di Malaysia,” tambah Rafique.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Kekayaan dan Pembangunan Perniagaan Patuh Syariah Maybank Islamic, Ahmad Shareza Abdul Rahman berkata, dengan EzyWasiat, umat Islam dapat memanfaatkan perkhidmatan penulisan wasiat khusus untuk mereka yang menitikberatkan keperluan syarak dan perancangan masa hadapan demi orang yang tersayang.

“Dengan proses penulisan wasiat yang dapat diselesaikan dalam tempoh 30 minit dan struktur harga yang berpatutan, kami ingin memastikan agar tiada sesiapapun yang terkecuali daripada bantuan guaman perancangan harta yang berkualiti tinggi.

“Malah, EzyWasiat yang berasaskan teknologi digital ini mudah untuk diubahsuai dari masa ke masa jika diambil kira realiti perubahan hidup dan peredaran masa yang dinamik,” jelas Ahmad Shareza.

Sumber