Malaysia diunjur kekal terajui pasaran perbankan Islam rantau ini

Malaysia diunjur kekal terajui pasaran perbankan Islam rantau ini

MALAYSIA diunjurkan untuk kekal sebagai pasaran perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik dengan 62.7 peratus daripada jumlah aset segmen itu di rantau ini dan dijangka mengekalkan kedudukan kukuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang, kata S&P Global Ratings.

Agensi penarafan itu berkata, pembiayaan Islam di Asia Tenggara turut diunjur berkembang sebanyak lapan peratus dalam tempoh dua tahun akan datang yang menyaksikan Malaysia mengekalkan kedudukan dominannya dalam pasaran.

“Bank-bank Islam dalam pasaran utama Malaysia dan Indonesia mempunyai permodalan sihat dan asas deposit runcit yang stabil,” katanya dalam laporan mengenai sektor perbankan Islam Asia Pasifik, hari ini.

Menurut unjuran S&P Global, Asia Pasifik menyumbang 20.7 peratus bahagian aset perbankan Islam global (Iran dikecualikan berikutan ketidaktentuan melampau mata wang negara tersebut) manakala Asia Tenggara menguasai 80 peratus daripada aset perbankan Islam Asia Pasifik.

Bagi aspek enjin pertumbuhan rantau itu, S&P Global berkata, ini termasuk cadangan penggabungan Malaysia Building Society Bhd dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd yang mewujudkan bank dengan perkhidmatan Islam sepenuhnya di Malaysia serta meningkatkan pendigitalan perkhidmatan perbankan di rantau ini.

Satu lagi pemacu pertumbuhan adalah permintaan kukuh dan potensi pasaran belum diterokai yang ketara di Indonesia, Bangladesh dan Pakistan, kata agensi itu.

S&P Global turut mengunjurkan bahagian pembiayaan Islam oleh bank-bank Islam Malaysia di Asia Tenggara akan meningkat kepada 45 peratus menjelang 2026.

Dari segi aliran keuntungan, agensi penarafan itu berkata, bank-bank Malaysia dijangkakan kekal mendatar pada tahun ini.

“Penurunan margin dan kos pembiayaan yang tinggi akan diimbangi oleh normalisasi kadar cukai,” katanya.

Dalam pada itu, S&P Global berkata, terdapat beberapa bank Islam kecil yang berjaya mencatat pemulihan keuntungan yang ketara berikutan peruntukan lebih rendah.

“Bagaimanapun, dalam tempoh dua tahun akan datang, bank-bank besar Malaysia akan terus mengatasi prestasi bank lebih kecil kerana mempunyai kepelbagaian profil perniagaan dan kecekapan operasi,” katanya.

Ia juga menyifatkan bank-bank Islam Malaysia berperanan sebagai peneraju dalam aspek amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

S&P Global berkata, 18 peratus daripada jumlah pembiayaan telah disalurkan kepada sektor utama dengan perusahaan kecil dan sederhana menjadi penerima terbesar pembiayaan bertanggungjawab (61.8 peratus).

Insentif kawal selia, katanya, akan memudahkan peningkatan penerbitan sukuk kemampanan, termasuk potongan cukai sehingga 2025 serta geran dalam usaha menampung kos semakan luaran.

“Selain itu, penerbitan sukuk kelestarian antarabangsa akan mempelbagaikan asas pelabur dan memperluas kesedaran mengenai kewangan Islam,” katanya. – Bernama

Sumber