LTAT mahu tambah peruntukan ekuiti awam, sasar pelaburan global

LTAT mahu tambah peruntukan ekuiti awam, sasar pelaburan global

KUALA LUMPUR: -Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyasarkan untuk meningkatkan pendedahan ekuiti awamnya kepada 50 peratus menerusi pelarasan semula peruntukan aset sejajar dengan rancangan bagi memasuki pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, dana persaraan itu berhasrat meningkatkan peruntukan ekuiti awamnya kepada 50 peratus daripada 44.1 peratus dengan 30 peratus khusus bagi pelaburan asing.

“Oleh itu, LTAT akan menumpukan sebanyak 30 peratus bagi tujuan pelaburan luar negara manakala baki 20 peratus untuk pasaran domestik.

“Kami menyasarkan untuk melakukan pelaburan (luar negara) pada suku ketiga atau suku keempat tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia,” katanya pada sesi bual bicara ‘MIDF Conversations’ dengan Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Nazim berkata, LTAT juga merancang untuk mengurangkan pendedahannya dalam sektor hartanah kepada 10 peratus berbanding 27.3 peratus sebelum ini dan meningkatkan pendedahan dalam segmen pendapatan tetap kepada 20 peratus berbanding 8.4 peratus.

“Kami berhasrat untuk mengurangkan pendedahan dalam ekuiti swasta kepada 10.0 peratus daripada 13.3 peratus sebelum ini. Ini sejajar dengan strategi untuk memberi pulangan mampan kepada angkatan tentera berbanding dividen yang tinggi,” katanya.

Menjawab soalan mengenai kedudukan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang berdepan isu kewangan, Ahmad Nazim berkata, LTAT kini dalam proses menyusun semula syarikat berkenaan dengan rangka kerja tepat bagi membolehkan projek kapal tempur litoral dapat diteruskan.

LTAT mempunyai pendedahan langsung menerusi pegangan majoriti 59.4 peratus dalam Boustead Holdings Bhd (BHB) yang tersenarai di Bursa Malaysia serta 61 peratus kepentingan dalam BNS yang mana 82 peratus kepentingannya dimiliki oleh BHB.

“Memang ada idea untuk mengeluarkan perniagaan pertahanan daripada entiti yang tersenarai. Kewujudan perniagaan pertahanan dalam kumpulan itu telah mewujudkan banyak ketidaktentuan, terutamanya bagi kalangan penganalisis dan pengurus dana.

“Oleh itu, dengan mengeluarkannya, perniagaan lain (dalam kumpulan) seperti Pharmaniaga dan Affin Bank dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

LTAT merupakan sebuah badan berkanun kerajaan yang menyediakan aspek simpanan persaraan serta manfaat untuk kalangan pegawai serta anggota lain-lain pangkat dan anggota kerahan sukarela.

Setakat Disember 2021, dana tersebut mempunyai aset di bawah pengurusan yang bernilai hampir RM9.7 bilion.

Portfolio pelaburannya merangkumi pelbagai kelas aset dan industri sejak 2019 dan LTAT telah melaksanakan pelan transformasi lima tahun dengan aspirasi menjadi dana persaraan bertaraf dunia yang mampu memberi dividen kompetitif dan mampan, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan meningkatkan kesejahteraan anggota tentera serta anggota kerahan sukarela.

Impak transformasi itu dapat dilihat menerusi pengumuman dividen sebanyak 4.1 peratus kepada lebih 110,000 ahlinya bagi tahun fiskal 2021 — meningkat daripada 3.5 peratus pada 2020 serta angka tertinggi sejak 2018. -Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber