Insulet rancang pelaburan besar di Malaysia

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > AKTIVITI > Insulet rancang pelaburan besar di Malaysia

Insulet rancang pelaburan besar di Malaysia

WASHINGTON DC – Peneraju global dalam teknologi pam insulin tanpa tiub, Insulet Corporation merancang untuk mewujudkan kemudahan pengurusan insulin di Johor pada 2 Jun 2022 dengan jumlah pelaburan ‘yang besar’, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, fasa awal pelaburan itu dijangka mewujudkan kira-kira 500 pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk tenaga kerja tempatan.

“Kejayaan pelaburan ini bukan hanya pada pelaburan modal, tetapi juga untuk membantu membina ekosistem rantaian bekalan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kita,” katanya kepada Bernama di luar majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Rabu.

Azmin kini dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) selama 10 hari di Amerika Syarikat (AS) sejak 8 Mei manakala Ismail Sabri tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja selama empat hari, termasuk menemui Presiden AS, Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Katanya, Insulet mempunyai pelan pelaburan jangka panjang di Malaysia berikutan ia melihat Malaysia sebagai hab pembuatan peranti perubatan untuk memenuhi permintaan bukan sahaja dari Malaysia, tetapi juga dari rantau ini dan pasaran eksport lain.

Beliau berkata, ‘pengumuman penting’ akan dibuat pada 2 Jun sempena pelancaran kemudahan baharu itu di Johor.

Insulet merupakan syarikat peranti perubatan yang inovatif mengeluarkan Omnipod, peranti automatik yang digunakan untuk pesakit diabetes menggunakan insulin.

Terdahulu pada Rabu, Azmin mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Operasi Insulet, Charles Alpuche.

Dalam Twitter beliau, Azmin berkata, keputusan Insulet memilih Malaysia adalah berdasarkan tenaga kerja Malaysia dan akses ke pelabuhan yang amat baik untuk menyokong rantaian bekalannya.

“Insulet telah menyatakan minatnya untuk membangunkan ekosistem tempatan dan memajukan lagi program pemindahan pengetahuan melalui kerjasama dengan universiti dan pihak berkepentingan industri lain untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja tempatan.

“Saya menyatakan kepada Insulet bahawa Malaysia amat menghargai peluang ini dan berharap untuk berkembang bersama-sama dengan mereka,” katanya dalam Twitter.

Katanya, pelaburan Insulet akan membuka peluang yang luas untuk Malaysia, terutamanya dalam memacu permintaan bagi bahagian dan komponen tempatan untuk pengeluar peranti perubatan.

“Malah, Alpuche memaklumkan kepada saya bahawa Omnipod terdiri daripada 72 komponen dan mereka akan menyumber luar beberapa komponen kepada vendor tempatan di Malaysia.

“Ini akan membuka pintu kepada kemungkinan yang besar untuk vendor tempatan kita disepadukan dalam rantaian bekalan global industri ini,” menurut beliau dalam Twitter.

Dalam tweet berasingan, Azmin berkongsi bahawa beliau telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Boston Scientific Corporation, peneraju dalam sektor peranti perubatan pada Rabu.

“Sejak kehadirannya di Malaysia pada 2015, Boston Scientific terus berkembang, memperkasakan industri perubatan tempatan melalui kerjasama strategik usaha pembangunan vendor tempatan dan program pembinaan kapasiti.

“Dengan kesihatan semakin penting dalam dunia pasca pandemik, kehadirannya di Malaysia akan terus memberi impak positif kepada pembangunan industri peranti perubatan kita, terus menambah nilai kepada ekosistem,” katanya dalam Twitter. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber