Lexis Hibiscus 2 mampu tarik 400,000 pelancong ke PD

Lexis Hibiscus 2 mampu tarik 400,000 pelancong ke PD

  • July 28, 2019
  • 0 comments

LEBIH 400,000 pelancong dijangka ke daerah ini setiap tahun selepas projek pembangunan resort Lexis Hibiscus 2 siap menjelang tahun 2024.

Resort mewah bertaraf lima bintang itu akan dibangunkan Kumpulan Kuala Lumpur Metro bersebelahan Lexis Hibiscus sedia ada dan dijangka mencatatkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM500 juta.

Pengerusi KL Metro, Datuk Mat Hassan Esa berkata, melalui projek terbaharu ini kelak, ia mampu menjadi daya tarikan kepada pelancong luar negara untuk ke Malaysia khususnya Negeri Sembilan.

Menurutnya, projek pembangunan ikonik terbaharu itu adalah dengan kerjasama Lexis Hotel Group dan diyakini akan terus mengekalkan rekod pengiktirafan diterima dalam Guinness World Of Record, resort yang mempunyai banyak kolam renang.

“Resort itu bakal memiliki 760 vila berkolam renang terdiri daripada 582 vila atas air dan 178 vila sky pool dengan setiap vila mempunyai kolam renang peribadi untuk keselesaan pengunjung.

“Berbekalkan kepakaran dan pengetahuan pasaran tempatan yang utuh, kami percaya dapat membantu Lexis Hibiscus 2 mencapai kejayaan setara Lexis Hibiscus dan menjadi pembangunan rumah atas air terbesar dunia.

“Kita juga mampu menarik ramai pelancong ke PD (Port Dickson). Jika setiap pelancong berbelanja RM600 bagi penginapan satu malam, ini bakal menjana pendapatan RM240 juta setahun sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat melalui 3,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Usahasama dan Pengumuman Rasmi Lexis Hibiscus 2 di Port Dickson malam semalam.

Majlis berkenaan disaksikan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengarah Urusan KL Metro, Datuk Low Tak Fatt.

Mat Hassan berkata, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan kerajaan bagi mempromosi industri pelancongan di Port Dickson dengan menarik pelancong dari segmen pelancong solo dan bebas (FIT), lawatan rombongan, percutian korporat, mesyuarat serta persidangan.

Sementara itu, Aminuddin pada sidang akhbar berkata, perjanjian projek yang dibina atas tanah kerajaan negeri seluas 32 hektar itu diluluskan oleh pentadbiran lama.

Bagaimanapun katanya, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) terpaksa menangguhkan kelulusan projek tersebut untuk membuat semakan semula perjanjian, bagi menangani beberapa isu termasuk melihat kepentingan serta kebajikan nelayan.

“Menerusi perjanjian baharu dibuat, pihak pemaju hartanah perlu memperuntukkan pampasan RM12 juta kepada 42 keluarga nelayan sebaik proses pembinaan bermula.

“Kerajaan negeri juga akan mempunyai unjuran pendapatan sebanyak 20 peratus daripada setiap keuntungan resort,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge