Karnival Jom Heboh Sabah (KJH Sabah) mencatatkan kejayaan luar biasa dengan kehadiran lebih 300,000 pengunjung yang membanjiri perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu sepanjang tiga hari acara berlangsung (27-28 Disember 2024). Sebagai penghujung bagi jelajah 2024, KJH Sabah memukau pengunjung dengan pelbagai aktiviti yang memenuhi selera semua lapisan masyarakat. Ini menjadikan karnival ini sebagai pilihan utama untuk seisi keluarga yang mencari hiburan serta pengalaman menarik.
Kehadiran beberapa tetamu kehormat pada 28 dan 29 Disember menambahkan lagi kemeriahan acara ini. Antara tetamu yang hadir ialah Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Bin Samitah, Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, ACP Ahmad Bin Jawila dari Jabatan Pengurusan IPK Sabah, serta Datuk Janih Bangud, Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Sabah. Mereka diiringi oleh Datuk Mohd Efendi Omar, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Farrah Naz Karim, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, serta Encik Azhari Muhiddin, Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA), Rangkaian Televisyen Media Prima.

Karnival ini juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal tanah air di Studio Tonton Drama Sangat. Pengunjung berpeluang bergambar dan beramah mesra dengan selebriti seperti Khai Bahar, Reen Rahim, Imran Aqil, Rita Nadira, Nelissa Nizam, Sophia Albarakbah, Sharifah Rose, dan ramai lagi. Untuk menambah keseronokan, Studio Tonton Drama Sangat turut mengadakan cabutan bertuah, menawarkan hadiah utama Samsung Smart TV 65” bernilai RM3,500.
Kemeriahan KJH Sabah memuncak dengan Konsert Jom Heboh yang dikuasakan oleh U Mobile. Konsert ini berlangsung pada 28 dan 29 November 2024, di mana pengunjung disajikan dengan persembahan hebat daripada penyanyi terkenal tanah air. Malam pertama dihangatkan dengan persembahan oleh Floor 88, Bella Astillah, Wani Kayrie, Ara Johari, Marsha Milan, dan Khai Bahar. Malam kedua pula menyaksikan persembahan memukau daripada Hael Husaini, Ayu Damit, Amylee Azizan, Shila Amzah, Stacy, dan Suki Low. Kehadiran alumni One In A Million pada malam kedua menambah semangat untuk meraikan kebangkitan program ikonik ini setelah 15 tahun menyepi.

Sebagai tambahan, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang dianjurkan oleh New Straits Times Press (NSTP) dan Todak turut mencuri perhatian. Dengan tema Todak x NSTP Mari Bah Kita Langgar, kejohanan ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan yang melibatkan lebih 200 pemain berdaftar. Kejohanan ini bertujuan untuk memperkenalkan dunia e-sukan kepada generasi muda Malaysia serta memberi mereka platform untuk bersaing dan mempamerkan bakat.
KJH Sabah 2024 berakhir sebagai satu kejayaan besar, dan edisi jelajah KJH 2025 sudah pasti dinanti-nantikan. KJH yang diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Acara Padang Paling Lama’ terus menjadi fenomena yang menarik lebih 300,000 pengunjung setiap tahun. Ia adalah acara wajib yang tidak boleh dilepaskan oleh seisi keluarga. Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web rasmi kami di www.jomheboh.com.my dan ikuti kami di media sosial @jomhebohofficial di Facebook dan Instagram.